Jumaat, 2 Julai 2021

JDT rebah lagi dek penangan Pohang

  SUKAN






SAFAWI (kiri) cuba melepaskan diri daripada dikawal pemain Pohang pada perlawanan peringkat Kumpulan G, ACL di Stadium Rajamangala, Bangkok petang semalam. – JOHOR SOUTHERN TIGERS

JDT rebah lagi dek penangan Pohang

Oleh MUHAMAD ARDIE PUTRA SUHAIMI

2 Julai 2021, 10:40 am

PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) mengulangi skrip sama apabila tewas sekali lagi kepada wakil Korea Selatan, Pohang Steelers dengan keputusan 0-2 pada aksi Kumpulan G, Liga Juara-Juara Asia (ACL) semalam.

Pada aksi di Stadium Rajamangala itu, skuad Harimau Selatan bimbingan Benjamin Mora membariskan kesebelasan terbaik dalam usaha membalas dendam atas kekalahan 1-4 kepada Pohang, Isnin lepas.

JDT mempertaruhkan jentera serangan terdiri daripada penyerang import, Bergson da Silva dan Safawi Rasid.

Kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan seimbang pada awal saingan dengan JDT terlebih dahulu meraih peluang keemasan tetapi rembatan percuma yang dilakukan oleh Safawi terkena palang gol pada minit ke-16.

Namun, kekebalan benteng JDT tidak bertahan lama apabila akhirnya dibolosi hasil gerakan cantik dilakukan oleh Pohang yang berjaya disudahkan oleh Lee Seung-mo pada minit ke-33.

Momentum tersebut diteruskan skuad Kim Gi-dong untuk menambah jaringan menerusi ledakan Kang Sang-Woo yang bijak menyudahkan hantaran Borys Tashchy berselang empat minit kemudian.

Bersambung babak kedua, skuad JDT memperkemaskan jentera serangan dengan memasukkan Guilherme de Paula dan Mohamadou Sumareh untuk digantikan dengan Bergson serta Safawi.

Namun, Pohang kekal mendominasi saingan dan dilihat memiliki rentetan peluang keemasan tetapi penjaga gol JDT, Farizal Marlias tangkas mengawal gawangnya daripada dibolosi buat kali ketiga.Peluang terbaik JDT pada babak kedua hadir menerusi gerakan cantik pemain muda, Arif Aiman Hanapi pada minit ke-78 tetapi hantarannya gagal disudahkan oleh De Paula dan keputusan kekal sehingga tamat perlawanan.1

________________________________

1https://www.kosmo.com.my/2021/07/02/jdt-rebah-lagi-dek-penangan-pohang/

Khamis, 1 Julai 2021

JDT gagal temui ramuan tundukkan Pohang

Ammar Hakim

Julai 1, 2021 20:06 MYT



JDT gagal temui ramuan tundukkan Pohang

JDT 0 POHANG 2

Johor Darul Ta'zim (JDT) terus dirudum kekalahan dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) selepas tewas 2-0 kepada Pohang Steelers di Stadium Rajamangala, sebentar tadi.

Dalam pertembungan aksi Kumpulan H, skuad kendalian Benjamin Mora itu ibarat harimau terluka disiram cuka, kekalahan 4-1 Isnin kepada lawan sama gagal diperbaiki dalam perlawanan ulangan antara kedua-dua pasukan.

Peluang terbaik juara Liga Super itu terhasil menerusi sepakan percuma Safawi Rasid yang menggegar tiang Pohang pada minit ke-17.

Bagaimanapun, mereka ketinggalan 16 minit kemudian, gerakan satu-dua yang dimulakan Goh Young-jun berjaya mencari Lee Seung-mo mudah meledak gol sulung perlawanan mnewaskan penjaga gol, Farizal Marlias.

Empat minit berselang giliaran Kang Sang-woo pula mencetak nama selaku penjaring selepas JDT sekali lagi gagal membaca permainan licik Pohang sekaligus ketinggalan 2-0 menuju bilik persalinan.

Perlawanan bersambung dalam separuh masa kedua dan JDT terus menyerap asakan pasukan lawan, Pohang melancarkan deretan percubaan demi percubaan untuk mendapatkan gol ketiga namun tidak berhasil.

Kemasukan pemain seperti Mohamadou Sumareh dan Guilhermi de Paula untuk memperkuatkan jentera serangan ternyata tidak menjelmakan impak apabila perlawanan berakhir dengan keputusan 2-0 hingga wisel penamat ditiupkan pengadil.1

_______________________________________________

1https://www.stadiumastro.com/bola-sepak/jdt-gagal-temui-ramuan-tundukkan-pohang-197265

Harimau Selatan tumbang lagi di Bangkok

TERJEMAHAN SINAR HARIAN | | 01 Julai 2021




Safawi Rasid diasak pemain Pohang Steelers dalam aksi Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, malam ini. - Foto Johor Southern Tigers
HASRAT pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk kembali bersaing dalam saingan Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia (ACL) tersentak apabila tewas 0-2 kepada Pohang Steelers di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, malam ini.
Dua gol pada babak pertama daripada Lee Seung-Mo pada minit ke-33' diikuti gol Kang Sang-Woo (37') sudah cukup memberikan laluan berliku kepada Harimau Selatan kendalian Benjamin Mora untuk mara pusingan 16 terbaik kejohanan.
Anak buah Mora akan berdepan dua lagi aksi peringkat kumpulan iaitu menentang Nagoya Grampus dan Ratchaburi FC pada Ahad dan Rabu depan misi kemenangan dalam perlawanan berkenaan.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/147554/BERITA/Sukan/Harimau-Selatan-tumbang-lagi-di-Bangkok© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf.1

__________________________

1https://www.sinarharian.com.my/article/147554/BERITA/Sukan/Harimau-Selatan-tumbang-lagi-di-Bangkok

Rabu, 30 Jun 2021

Khalid gesa pulihkan segera 'Messi Malaysia'

Oleh Zulfaizan Mansor - Jun 30, 2021 @ 1:30pm

zulfaizan@bh.com.my



Khalid Ali (kiri) dan Safawi Rasid.

KUALA LUMPUR: Usah biarkan Safawi Rasid tenggelam!

Itu luahan yang cuba disampaikan legenda bola sepak negara, Khalid Ali selepas dia meminta kemerosotan prestasi pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu segera dipulihkan.

Menganggap Safawi memiliki kelebihan seakan sama dengan bintang dunia, Lionel Messi, Khalid yang juga bekas pemain kebangsaan menjelaskan Safawi memerlukan jurulatih dan pakar psikologi untuk memulihkan semula prestasinya.

Katanya, Safawi memerlukan satu program yang betul dan jurulatih perlu mengkaji segala kekuatan dimilikinya bagi memastikan pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu lebih mantap dalam semua aspek termasuk tahap kecergasan.

"Kelemahan Safawi adalah untuk bermain penuh 90 minit. Jika kecergasan dia berada pada tahap terbaik sepenuhnya iaitu boleh beri komitmen 90 minit dalam sesuatu perlawanan, saya rasa dia memang tidak boleh digugat dan boleh dikatakan dia antara pemain terbaik di Asia.

"Dia masih pemain sayap terbaik di Malaysia dan saya tak nampak kecacatan pada diri Safawi. Tapi tiada orang yang nak keluarkan (kelebihan) dia. Messi boleh dikatakan agak perlahan juga, tapi kekuatan dia adalah berlari dengan bola dan itulah Safawi.

"Jurulatih kena kaji, maksudnya Safawi bukan pemain yang boleh bermain seperti pemain lain iaitu berlari satu padang. Dia main macam Messi, Messi boleh dikatakan bermain dalam satu zon yang mana apabila dia dapat peluang dia akan terus bergerak ke depan dan inilah Safawi," katanya kepada BH Sukan.

Kemerosotan prestasi Safawi menjadi perhatian terutama selepas pulih dari kecederaan yang dialami pada Mac lalu dengan dia dilihat gagal memberikan impak besar buat skuad kebangsaan ketika kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, awal bulan ini.

Mengulas lanjut, Khalid mengakui Safawi memerlukan masa dan bantuan untuk mengembalikan semula prestasinya kepada tahap terbaik.

"Sebenarnya Safawi ini mudah kecewa, dia bukan main tak bagus. Dia kecewa bila dia buat tak jadi, itu kena ada satu jurulatih dan psikologi untuk membetulkan cara dia.


"Kalau di liga tempatan memang keyakinan dia tinggi, letaklah dia menentang Terengganu, Selangor atau sebagainya dia memang yakin. Cuma tahap keyakinan dia untuk aksi antarabangsa tidak sampai lagi.

"Macam saya dulu bermain di posisi pertahan kanan, lepas itu (jurulatih Harimau Malaya) Karl-Heinz Weigang letak saya main penyerang dan tengah, saya tak boleh tapi dia asah saya sampai saya menjadi pemain yang boleh dikatakan terbaik dalam kelayakan ke Sukan Olimpik," katanya.1

______________________________________

1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/06/833897/khalid-gesa-pulihkan-segera-messi-malaysia

Disiarkan pada: Jun 30, 2021 @ 4:00pm.JDT harus bangkit

Rizar Mohd Noor

rizar@mediaprima.com.my



Tonggak JDT, Safawi Rasid menjalani latihan menjelang aksi berdepan Pohang Steelers esok. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers

Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim (JDT) akan bertemu sekali lagi FC Pohang Steleer pada aksi pusingan kedua Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, esok bakal membuat rombakan kecil di posisi pertahanan.

Ini berikutan dua pemainnya Mauricio Dos Santos dan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham terpaksa diketepikan pengendali JDT, Benjamin Mora apabila berdepan kelab dari Korea Selatan selepas mengumpul dua kad kuning.

Apapun Mora sedar kekalahan 1-4 kepada skuad kendalian Kim Gi-dong pada aksi Isnin lalu, beri kesan terhadap prestasi barisan pemainnya namun ia dapat diatasi selepas proses pemulihan dan latihan yang lebih tersusun untuk berdepan sekali lagi kelab dari Korea Selatan pada perlawanan timbal balik.

"Ya.. kami tidak dapat turunkan Mauricio kerana di gantung satu perlawanan tapi kami sudah kenal pasti pemain yang akan mengisi kekosongan tempatnya untuk bergandingan bersama Shane (Lowry) malah posisi Azrif (Nasrulhaq Badrul Hisham) juga ada pengganti.

"Kali kedua kami menentang Pohang dan ia peluang terbaik untuk tebus kesilapan yang dilakukan pada aksi pusingan pertama dan memperbaiki corak permainan yang lebih konsisten. Malah kami tahu cara mereka beraksi.

"Kami bersaing di pentas ACL semestinya mahu buktikan sesuatu dan ia bukan sekadar melengkapkan jadual perlawanan dan pasti akan turun dengan lebih mantap pada tiga aksi bermula dengan menentang kelab dari Korea Selatan," katanya.

Menurut Mora, selepas mengharungi tiga perlawanan yang sukar terutama tekanan pada aspek fizikal dan mental ia adalah keadaan luar biasa kerana belum pernah beraksi dalam saingan ACL dengan jadual yang padat namun proses pemulihan yang tersusun nyata membuat pemain tampak kembali bersedia mengharungi perlawanan seterusnya.

Sementara itu, kapten JDT Farizal Marlias bertekad untuk bangkit bersama rakan sepasukan memburu kemenangan apabila sekali lagi menentang Pohang Steelers dan ia peluang terbaik bagi membalas dendam kekalahan 1-4, baru-baru ini.

"Ia peluang terbaik untuk tebus kesilapan lalu. Kami berada di landasan terbaik untuk menang pada aksi lalu selepas mendahului 1-0 namun tiga sepakan penalti yang diberikan kepada pasukan lawan meranapkan segala harapan.

"Itulah bola sepak namun aksi kali kedua merupakan episod berbeza kerana kami perlu raih mata untuk kekal bersaing di pentas ACL dan harapan kami mahu lakar kejutan," kata Farizal.

Disiarkan pada: Jun 30, 2021 @ 4:00pm1

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/06/724626/jdt-harus-bangkit

Selasa, 29 Jun 2021

Safawi terima ‘layanan terbaik’ di JDT



SAFAWI RASID

Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM

28 Jun 2021, 9:49 pm

JOHOR BAHRU: Prestasi hambar Safawi Rasid yang dilihat bergelut untuk mempamerkan aksi terbaiknya terus menjadi perdebatan antara kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dan skuad kebangsaan.

Pengarah Teknikal Kelab JDT, Alistair Edwards menjelaskan. bahawa Safawi telah menunjukkan kemajuan yang baik susulan kecederaan yang dialami sebelum meninggalkan kelab untuk tugasan antarabangsa.

Itu sekali gus menyangkal dakwaan bekas pemain antarabangsa, Datuk Jamal Nasir dan pemerhati bola sepak, Zakaria Rahim bahawa JDT perlu bertanggungjawab atas aksi hambar Safawi pada masa ini.

Jelasnya, untuk rekod, penyerang kelahiran Terengganu itu mengalami kecederaan pada 13 Mac lalu dan hanya kembali ke kesebelasan utama pada 16 April lalu.

Walaupun masih dalam proses pemulihan hingga ke tahap sepenuhnya, Safawi telah melakukan lima permulaan, tiga kali beraksi dari bangku simpanan dan menjaringkan dau gol dalam 364 minit sebelum ‘international break’.

Untuk mengatakan intensiti latihan adalah tanggungjawab kelab sepenuhnya tidak tepat kerana pemain menjalani kem latihan yang panjang bersama skuad kebangsaan kerana pemain berada di sana dari 16 Mei hingga 16 Jun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Alistair lagi, perjalanan pemulihan untuk kembali ke intensiti tinggi buat Safawi masih lagi berjalan sebelum ‘international break’.

Katanya, penyerang berusia 24 tahun itu hanya kembali ke JDT seminggu sebelum Liga Juara-Juara Asia (ACL) apabila dia terbang terus ke Thailand dari Emiriah Arab Bersatu.

Kelab ini akan membimbing Safawi kembali pulih sepenuhnya, sedia untuk bola sepak intensiti tinggi dan membina semula tahap keyakinan beliau dalam beberapa minggu akan datang,” katanya.

Seblum ini, pemilik pasukan JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menuding jari terhadap skuad kebangsaan yang melakukan latihan berintensiti rendah menjadi punca ayam tambatannya itu hilang taring.

Biarpun dikritik hebat banyak pihak selepas bergelut untuk memberikan persembahan yang terbaik, Tunku Ismail tetap mempertahankan Safawi dan menjelaskan JDT dalam proses membantu memperbaiki prestasi pemain kelahiran Terengganu itu.

Belum pulih 100 peratus daripada kecederaan, jurulatih (Tan Cheng Hoe) mengambilnya untuk sertai Harimau Malaya. Kesan daripada latihan intensiti rendah, Sampai sekarang prestainya masih menurun.

Sekarang kami kena perbaiki dia macam kami kena bantu setiap pemain menyertai pasukan kebangsaan bagi menjalani latihan pusat macam pergi makan angin,” kata Tunku Ismail.1

______________________________________

1https://www.utusan.com.my/sukan/2021/06/safawi-terima-layanan-terbaik-di-jdt/

Safawi alami sindrom OTS

Oleh Zulfaizan Mansor - Jun 29, 2021 @ 2:22pm

zulfaizan@bh.com.my



Safawi (depan) meraikan jaringannya ketika menentang Thailand pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

KUALA LUMPUR: Pemain sayap Harimau Malaya dan Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid didakwa mengalami 'over training syndrome (OTS)' atau sindrom terlebih latihan hingga menyebabkan prestasinya semakin merosot.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa menjelaskan OTS adalah sindrom yang memberi kesan kepada tubuh badan atlet dan gangguan hormon menyebabkan mereka gagal memberikan fokus yang diperlukan dalam pertandingan sebenar.

Justeru, beliau tidak menolak kemungkinan sindrom itu sedang dialami Safawi dan langkah terbaik untuk memulihkan semula prestasinya adalah memberikan rehat yang cukup.

"Selepas liga (Malaysia) musim lalu dia terus pergi Portugal, berlatih. Selepas tiga bulan dia balik Malaysia, berlatih dan selepas itu bermula liga, dia berlatih lagi.

"Kemudian masuk kelayakan Piala Dunia dia pun berlatih juga, jadi dia tiada kadar rehat yang cukup untuk sistem tubuh dia terutama sistem saraf dan Safawi mungkin melalui proses OTS.

"Ia menyebabkan gangguan neurohormon hingga fokusnya terganggu dan dengan latihan berterusan menyebabkan dia kelesuan walaupun dia mengambil vitamin.

"Badan dia juga tidak boleh bertindak balas dengan baik terhadap latihan yang diberikan walaupun luaran nampak dia bekerja. Kelesuan ini bukan sistem tubuh saja, tapi otak pun lesu kerana sistem saraf dikawal oleh otak.

"Safawi perlukan rehat dan tenangkan fikiran. Sebab itu pemain di Eropah pergi bercuti di pantai ketika tempoh rehat liga. Namun, mereka masih berjoging atau buat latihan ringan untuk kekalkan kecergasan," katanya kepada BH Sukan, semalam.

Safawi yang sebelum ini menjadi tonggak harapan Harimau Malaya dan Harimau Selatan dilihat mengalami kemerosotan prestasi terutama ketika kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, awal bulan ini.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa latihan intensiti rendah bersama skuad kebangsaan menjadi antara punca prestasi pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu merosot.

Namun, BH Sukan semalam melaporkan bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail menegaskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan skuad kebangsaan tidak boleh disalahkan kerana yang perlu menyediakan pemain berada pada tahap terbaik adalah tanggungjawab kelab.

Selain itu, Mohd Sadek berpendapat kecederaan yang dialami Safawi sebelum ini juga menyebabkan dia mengalami tekanan tinggi dalam usaha untuk mengembalikan semula prestasi terbaik kerana kesan kecederaan itu.

"Kelab perlu buat kajian, mereka ada psikologi, perubatan dan pakar sains sukan. Maklumat perlu dikumpulkan dan diputuskan barisan kejurulatihan. Kalau dia terus ditekan, itu akan mengganggu mood dia.

"Mungkin dengan memberikan rehat dalam dua atau tiga minggu dapat memulihkan semula keyakinan dan fokus Safawi, serta memulihkan semula sistem neurohormon dia," katanya.1

_____________________________________________

1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/06/833516/safawi-alami-sindrom-ots