SUKAN»Bola
Ahad, 3 November 2019 | 11:18am

Penyerang Johor Darul Ta'zim
(JDT), Muhammad Safawi Rasid. - Foto BERNAMA
Kejayaan JDT hasil kerjasama
semua rakan - Safawi
KUALA LUMPUR: Penyerang Johor
Darul Ta'zim (JDT), Muhammad Safawi Rasid, menyifatkan kejayaan skuad Harimau
Selatan meraih kejuaraan Piala Malaysia buat kali kedua selepas 2017, adalah
hasil kerjasama erat rakan sepasukan.
Penyerang kebangsaan itu yang
dinobatkan sebagai pemain terbaik final Piala Malaysia berkata, kemenangan
selesa 3-0 ke atas Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil, tidak akan hadir
tanpa bantuan rakan sepasukan yang memberi sokongan padu di antara satu sama
lain.
Untuk rekod, JDT menewaskan Kedah
2-0 pada aksi final Piala Malaysia 2017 di Stadium Shah Alam, sekali gus
menamatkan penantian selama 26 tahun pasukan selatan tanah air itu, untuk
menjulang piala berkenaan.
"Saya ucapkan terima kasih
kepada Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) dan semua yang
terlibat dalam kem JDT.
"Saya memang mahu beraksi
pada final tahun ini selepas tidak diturunkan pada 2017 dan impian saya untuk
beraksi tercapai, jadi Alhamdulillah.
“Bukan mudah untuk berada dalam
kesebelasan utama JDT tanpa usaha," katanya pada sidang media selepas
perlawanan berkenaan, malam tadi.
Mengulas lanjut, Muhammad Safawi,
22, turut memuji pengurusan JDT yang membeli beberapa peralatan moden dalam
mempercepatkan proses pemulihan pemain, selepas beraksi secara kompetitif dalam
tempoh yang agak panjang.
Berkongsi pandangan sama adalah
seorang lagi penyerang kebangsaan, Muhammad Syafiq Ahmad, 24, yang gembira
dapat meraih tiga trofi bersama skuad Harimau Selatan pada musim ini setelah
pasukan berkenaan mengekalkan kejuaraan Liga Super buat kali keenam
berturut-turut sejak 2014, selain mengekalkan Piala Sumbangsih buat musim kedua
berturut-turut.
"Bagi saya, jaringan yang
saya hasilkan bukan daripada saya seorang, tetapi daripada setiap pemain yang
beri komitmen dan berusaha membantu saya menghasilkan gol tersebut," jelas
anak jati Sungai Ara, Pulau Pinang itu.
JDT membuka tirai jaringan pada
minit ke-27 menerusi pemain import dari Argentina, Leandro Sebastian Velazquez
yang menolak masuk umpanan cantik Gonzalo Gabriel Cabrera, sebelum Muhammad
Safawi meledak gol kedua, selang tujuh minit kemudian menerusi sepakan percuma
yang menggegar palang sebelum melepasi garisan gol Kedah.
Muhammad Syafiq mengesahkan kemenangan
bergaya JDT, setelah menanduk masuk hantaran silang Mohd Afiq Fazail pada minit
ke-58.
- BERNAMA
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Ahad,
3 November 2019 | 11:18am
Tiada ulasan:
Catat Ulasan