BERNAMA | | 21 November 2019

INI bukan kali pertama bintang
sensasi Harimau Malaya, Muhammad Safawi Rasid diketepikan ketua jurulatih skuad
Bawah 22 Tahun (B-22), negara Datuk Ong Kim Swee dalam pasukannya.
Pada 2016, Kim Swee yang ketika
itu menjawat jawatan selaku ketua jurulatih skuad kebangsaan mengambil
keputusan menggugurkan nama Muhammad Safawi daripada senarai akhir pemain
menghadapi saingan Piala AFF, yang menyaksikan Malaysia gagal mara ke separuh
akhir.
Selepas tiga tahun, Pemain Paling
Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2018 dan 2019 itu kini
menikmati kemuncak karier, selepas membuktikan kualiti dimiliki di pentas
antarabangsa bersama skuad kebangsaan dan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) di
peringkat domestik.
Pengguguran Muhammad Safawi, 22,
pada waktu itu dibaratkan sebagai titik perubahan dalam kariernya, apabila
selepas itu beliau bangkit dengan prestasi lebih meyakinkan dan Kim Swee mahu
setiap pemain muda, mencontohi kesungguhan serta sifat tidak putus asa dimiliki
beliau.
"Kalau tidak silap ia (titik
perubahan) pada Piala AFF 2016 di mana saya menggugurkan beliau (Safawi) ketika
itu. Apabila digugurkan, beliau kembali dengan begitu positif dan tidak
berputus asa... ini memberikan beliau satu keyakinan cukup baik.
"Setiap pemain harus
mencontohi Safawi, di mana apabila beliau gagal atau digugurkan, tetap kembali
dengan lebih kekuatan dan kini beliau merupakan pemain terbaik di negara
kita," kata Kim Swee kepada Bernama.
Kim Swee semalam mengesahkan
untuk tidak menyenaraikan Muhammad Safawi dalam skuad negara ke Sukan SEA 2019
di Filipina, demi kebaikan pemain itu yang telah mengharungi begitu banyak
perlawanan musim ini.
Bekas pemain sayap pasukan T-Team
itu melakar rekod cemerlang bersama JDT musim ini, apabila meledak 20 gol dan
merekodkan 10 'assist' sepanjang 3,088 minit permainan melibatkan 37
penampilan.
Nama Muhammad Safawi kini menjadi
sebutan seluruh peminat bola sepak tanah air, selepas meledak dua gol dalam
kejayaan Malaysia menewaskan Indonesia 2-0 pada aksi Kumpulan G Kelayakan Piala
Dunia 2022/ Piala Asia 2023, di Stadium Nasional Bukit Jalil, dua hari lepas
(Selasa).
Kemenangan itu sekali gus
membantu skuad Harimau Malaya kendalian ketua jurulatih Tan Cheng Hoe,
melengkapkan tahun 2019 dengan penuh gemilang.
Kim Swee yang telah membimbing
Muhammad Safawi bersama skuad kebangsaan serta skuad B-22 negara mengakui,
pemain kebangsaan itu memiliki kekuatan kaki kiri dan sering meluangkan masa
sekitar 15-20 minit membuat latihan tambahan, selepas tamat sesi latihan
pasukan.
"Kita dapat lihat Safawi
kini berada pada tahap berbeza dan ini bukan sahaja daripada hasil usaha
barisan jurulatih, tetapi keyakinan diri Safawi sendiri dan kesungguhan beliau
yang telah membawanya ke tahap cukup baik ini.
"Dalam sesi latihan beliau
fokus kepada setiap situasi tetapi yang memberi kelebihan sudah tentu sepakan
percumanya, di mana beliau mempunyai kesungguhan untuk berlatih (sepakan
percuma) setiap hari, selepas tamat latihan.
"Apabila kita berlatih
dengan baik ketika sesi latihan, ia akan berlaku serta ‘menjadi’ di setiap
perlawanan," jelas Kim Swee.
Pengguguran Muhammad Safawi
mendapat pelbagai reaksi positif dan negatif oleh peminat tempatan, namun apa
yang pasti sebagai jurulatih, Kim Swee hanya mahukan yang terbaik buat pemain
tersebut.
Adakah dengan keputusan Kim Swee
ini, seluruh peminat bola sepak tempatan akan menyaksikan peningkatan prestasi
lebih baik daripada Muhammad Safawi pada musim 2020?. - Bernama
SUMBER-Artikel Penuh :
https://www.sinarharian.com.my/article/58445/BERITA/Sukan/Safawi-bukan-pertama-kali-diketepikan-Kim-Swee
© 2018 Hakcipta Terpelihara
Kumpulan Karangkraf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan