MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY | | 19
November 2019

Safawi menjaringkan dua gol untuk
skuad negara malam ini.
HARIMAU Malaya meneruskan
momentum kemenangan dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 apabila
menumpaskan Indonesia 2-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.
Dua gol daripada penyerang
sensasi negara, Muhammad Safawi Rasid meleburkan impian skuad Garuda untuk cuba
melakar kejutan ke atas Malaysia.
Bagaimanapun, Indonesia yang bermain
dengan taktikal bertahan pada separuh masa pertama nyata berjaya mengekang
corak permainan yang cuba diatur Harimau Malaya.
Anak didik Yeyen Tumina itu juga
mampu beberapa kali untuk mencemaskan gawang yang dikawal oleh Khairulazhan
Mohd Khalid melalui beberapa serangan balas pantas.
Indonesia terlebih dahulu menguji
gawang pasukan negara melalui percubaan Teuku Muhammad Ichsan pada minit ke-8
namun percubaannya melewati palang gol negara.
Malaysia cuba bertindak balas
melalui sepakan penjuru Muhammad Safawi Rasid yang ditampan penjaga gol
Indonesia, Muhammad Ridho pada minit ke-10.
Larian deras penyerang Garuda,
Febri Hariyadi pada minit ke-19 hampir memberikan gol kepada pasukan pelawat, namun
Khairulazhan pantas menampan bola tersebut sebelum dikeluarkan oleh Shahrul
Saad untuk menyelamatkan gawang negara.
Tindakan berani Khairulazhan
menyelamatkan bola daripada situasi bahaya itu bagaimanapun dibayar mahal
apabila penjaga gol Selangor itu mengalami kecederaan dan terpaksa dikeluarkan
digantikan oleh Mohd Farizal Marlias.
Gol yang ditunggu 70,000
penyokong Harimau Malaya muncul jua apabila sepakan percuma cantik Safawi pada
minit ke-30 berjaya menewaskan Muhammad Ridho.
Bersambung separuh masa kedua,
Harimau Malaya terus mendominasi perlawanan dan hampir menambah jaringan
melalui Muhammad Syahmi Safari pada minit ke-52, namun percubaannya tersasar ke
kanan gol lawan.
Safawi terus cemerlang menambah
derita skuad Garuda apabila meledak gol kedua pada minit ke-73 selepas bijak
merampas bola daripada pertahanan lawan sebelum merembat deras menewaskan
Ridho.
Indonesia berpeluang merapatkan
kedudukan pada minit ke-83 selepas dihadiahkan sepakan penalti, namun Farizal
Marlias cemerlang untuk menafikan sepakan Osas Marvellous Ikpefua.
SUMBERArtikel Penuh :
https://www.sinarharian.com.my/article/58130/BERITA/Sukan/Harimau-garang-jinakkan-Garuda
© 2018 Hakcipta Terpelihara
Kumpulan Karangkraf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan