MyMetroUtama

Suraya Roslan dan Firdaus Hashim
am@hmetro.com.my
“SAYA perlu berterima kasih
kepada (Datuk) Ong Kim Swee sebab bagi saya rehat, tahun ini saya terlampau
penat dengan jadual perlawanan yang padat,” kata Safawi Rasid.
Pemain sayap Harimau Malaya
memberi reaksi itu ketika ditanya mengenai pengguguran namanya daripada skuad
Sukan SEA Filipina yang akan bermula minggu depan.
Safawi berkata, dia tidak kesal
namanya tidak berada dalam senarai pemain dengan alasan dirinya terlampau penat
selepas mengharungi jadual perlawanan yang padat sepanjang musim ini.
“Tidak kesal, mungkin orang tahu
tahun ini saya banyak perlawanan, kalau orang tahu main bola akan faham saya
tiada rehat langsung tahun ini.
“Keputusan jurulatih
(menggugurkan nama), memberi peluang kepada pemain baharu bawah 18 tahun kerana
bagi saya ada lagi pemain yang bagus,” katanya.
Ditanya pengguguran namanya bakal
mengecewakan peminat, Safawi enggan mengulas lanjut berhubung hal itu.
“Saya baru tahu (nama digugurkan)
selepas tengok senarai nama pemain,” katanya.
Safawi disahkan tidak akan
beraksi di Filipina selepas Kim Swee mengumumkan pada sesi latihan yang
berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), hari ini.
Keputusan berkenaan sememangnya
di luar jangkaan kerana pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu awal-awal lagi
dicanang bakal memperkuatkan pasukan negara yang menyasarkan mara ke pentas
final temasya dwitahunan itu.
Malah, Safawi juga sebelum ini
adalah ketua pasukan skuad B-22 ketika mengharungi pusingan kelayakan Kejuaraan
Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Kuala Lumpur Mac lalu yang seharusnya
kekal memimpin pasukan di Filipina.
Menurut Kim Swee, beliau
memutuskan untuk menggugurkan nama Safawi atas kerelaan hati selepas pemain
kelahiran Dungun, Terengganu itu menempuh jadual yang amat padat sepanjang
musim ini.
Katanya, keputusan beliau tidak
dipengaruhi oleh mana-mana pihak sebaliknya mahu memberi rehat buatnya yang
sudah mengharungi berpuluh perlawanan sama ada bersama JDT (Liga Super, Piala
FA, Piala Malaysia, Liga Juara-Juara Asia) dan skuad kebangsaan (kelayakan AFC
B-23, aksi persahabatan antarabangsa, kelayakan Piala Dunia).
“Satu keputusan yang amat berat
dan sukar untuk saya lakukan tapi demi kebaikan Safawi yang mana kita tahu dia
sudah bermain begitu banyak perlawanan dengan kelab dan mewakili negara,
termasuk mewakili pasukan B-22 awal tahun ini.
“Jadi demi kebaikan semua saya
terpaksa memutuskan untuk Safawi berehat yang mana kita mempunyai jadual amat
penting tahun hadapan. Saya harap semua pihak harus faham dengan apa yang saya
lakukan.
“Bukan saja untuk kepentingan
diri saya tetapi untuk kepentingan kelab dan negara,” kata pengendali dari
Melaka itu.
Kim Swee yang pernah
menghadiahkan pingat emas Sukan SEA di Indonesia 2011 dan pingat perak pada
edisi dua tahun lalu di Kuala Lumpur diletakkan dalam Kumpulan A di Filipina
kali ini.
Skuad negara dijadual bertemu
Myanmar pada aksi pertama Isnin ini sebelum turun menentang tuan rumah (29
November) disusuli Timor Leste (2 Disember) dan Kemboja (4 Disember).
Jelas Kim Swee lagi, ketiadaan
Safawi bakal membuka ruang kepada pemain lain untuk merebut tempat dan percaya
ketiadaan pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) di Anugerah Bolasepak
Kebangsaan (ABK) baru-baru ini mampu ditampung pemain lain.
“Ini membuka ruang kepada pemain
lain... kalau Safawi berada dalam skuad mungkin peluang tertutup untuk satu
atau dua pemain, tetapi dengan ketiadaan Safawi ini memberi peluang kepada
mereka untuk membuktikan dan mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama mahupun
senarai terakhir 20 pemain,” katanya.
Selain itu, Kim Swee turut
mengesah tonggak pertahanan tengah JDT, Adam Norazlin dipilih mengisi kuota
pemain lebih berusia selepas seorang lagi pertahanan, Irfan Zakaria dipanggil
sebelum ini.
Terdahulu, beberapa nama besar
turut mewarnai skuad B-22 negara, termasuk bintang Sporting Kansas City di Liga
Bolasepak Utama Amerika (MLS), Wan Kuzain Wan Kamal, penyerang prolifik B-18 yang
akan beraksi bersama kelab Belgium, KV Kortrijk tahun depan, Luqman Hakim
Shamsudin serta penyerang kelab Jepun, Hadi Fayyadh Abdul Razak.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Rabu, 20 November 2019 @ 11:00 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan