MyMetroArena

Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
KETAJAMAN dua
penggempur Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad yang
masing-masing meledak satu gol pada final Piala Malaysia menentang Kedah di
Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu lalu, diharapkan terus mempamerkan ketajaman
apabila turun membantu skuad Harimau Malaya dalam tiga aksi antarabangsa
selepas ini.
Skuad
kendalian Tan Cheng Hoe yang sudah memulakan kem latihan bagi persiapan aksi
persahabatan menentang Tajikistan Sabtu ini serta Kelayakan Piala Dunia
2022/Piala Asia 2023 bertemu Thailand (14 November) dan Indonesia (19 November)
dengan semua aksi di Bukit Jalil sudah tentunya menagih sentuhan berbisa
gandingan '2S' itu.
Jelas Cheng
Hoe, beliau mengharapkan kedua-dua pemain itu dapat mengekalkan prestasi
cemerlang ketika membenam skuad Helang Merah 3-0 di final Piala Malaysia itu.
“Barisan
serangan kita memang selalu menjadi bahan pertikaian namun selepas perlawanan
peringkat separuh akhir dan pentas final Piala Malaysia, Safawi dan Syafiq
menampilkan prestasi yang baik.
“Saya harap
kedua-dua pemain ini dapatkan mengekalkan prestasi dan tahap keyakinan mereka
bagi perlawanan pasukan negara. Namun, saya selalu menegaskan kepada anak-anak
buah saya bahawa kekuatan pasukan bukan terletak di tangan dua atau tiga
pemain. Kita perlu bekerja sebagai satu unit,” katanya ketika ditemui pada sesi
latihan pasukan.
Skuad Harimau
Malaya yang sudah mengharungi tiga aksi peringkat kelayakan Kumpulan G sekadar
menghuni tangga keempat dengan memungut tiga mata.
Pungutan mata
itu hasil kemenangan mengejut 3-2 ke atas pasukan Indonesia di Stadium Gelora
Bung Karno pada 5 September lalu yang turut dicemari insiden rusuhan oleh
penyokong tuan rumah hingga mengakibatkan skuad Harimau Malaya terpaksa
meninggalkan stadium dengan menaiki kereta perisai Barracuda. Bagaimanapun,
kejayaan tiga mata pertama itu gagal diteruskan dalam dua aksi berikutnya
apabila tewas 1-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Bukit Jalil sebelum
tunduk 0-1 di tangan Vietnam di Hanoi.Lantas, bagi menghidupkan peluang
Malaysia pada kempen kali ini, skuad negara perlu memanfaatkan aksi di tempat
sendiri dengan wajib melakar kemenangan ke atas skuad Gajah Perang dan Garuda
di depan penyokong tempatan.
SUMBER-Artikel
ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 9:43 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan