SUKAN»Bola
Sabtu, 29
September 2018 | 11:59pm

PEMAIN JDT,
Safawi Rashid meraikan jaringan pertamanya ketika bertemu Pahang dalam
perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 2018 di Stadium Tan Sri Hassan
Yunos, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim
Dua gol Safawi
kecewakan Pahang
Oleh Rizar
Mohd Noor
sukanteam@nstp.com.my
JOHOR BAHRU:
Safawi Rasid muncul wira Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila meledak dua gol untuk
menewaskan Pahang 2-0 pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Tan
Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.
Kemenangan itu
menyaksikan skuad Harimau Selatan semakin hampir untuk mempertahankan kejuaraan
piala berprestij itu selepas mara menerusi agregat 3-1 dan akan berdepan
Terengganu pada aksi separuh akhir.
JDT merobek
semangat skuad Tok Gajah seawal minit pertama menerusi gerakan menarik
dimulakan Fernando Elizari yang bertindak mengumpan bola kepada Ahmad Hazwan
Bakri yang kemudian menyilang umpanan untuk Safawi.
Safawi yang
tidak dikawal mudah melakukan sepakan lencong tepat ke penjuru kanan gawang
yang gagal diselamatkan penjaga gol pelawat, Mohd Helmi Eliza Elias.
PEMAIN JDT,
Ahmad Hazwan Bakri berebut bola dengan pemain Pahang, Mohd Muslim Ahmad ketika
perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 2018 di Stadium Tan Sri Hassan
Yunos, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim
Ahmad Hazwan
yang menjadi perancang gol pertama hampir menambah derita skuad Tok Gajah pada
minit kesembilan namun dia yang menerima umpanan Safawi sekadar menggegar
palang ketika Helmi Eliza sudah tertewas.
Pelawat yang
ketinggalan cuba bangkit dengan mengatur gerakan namun keampuhan benteng tuan
rumah yang diterajui Marcos Antonio dan Aidil Zafuan Abd Radzak berjaya
menghalang gerakan berbahaya anak didik Dollah Salleh.
Bersambung babak
kedua, pelawat makin garang untuk memburu gol penyamaan memaksa benteng tuan
rumah bertungkus lumus menghalang kelicikan Nor Shahrul Idlan Talaha yang
sentiasa cuba menyusup masuk ke dalam kotak penalti.
Tuan rumah
yang sedar gol tunggal itu masih belum mampu menyelamatkan mereka hampir
menambah jaringan pada minit ke-56 namun bola rembatan deras Gonzalo Cabrera
ketika berada di dalam kotak penalti hanya sipi dari gawang gol.
Safawi
kemudian membuktikan dia berada kelas tersendiri apabila menjaringkan gol kedua
peribadi pada minit ke-73 selepas pantas menyambar bola umpanan Natxo Insa
sebelum memperdaya Helmi Eliza.
Kedudukan 2-0
kekal sehingga tamat perlawanan dan kemenangan itu turut menebus kehampaan JDT
ketika tewas 0-3 kepada Pahang dalam aksi suku akhir kedua Piala FA pada 20
April lalu.
SUMBER-BERITA
HARIAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan