SUKAN»Bola
Rabu, 15 Mei
2019 | 12:14am

PEMAIN JDT,
Mohd Akhyar Rashid (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan selepas
menjaringkan gol kedua ketika bertemu Pahang pada perlawanan Liga Super di
Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim
JDT hampakan
Tok Gajah
Oleh Rizar
Mohd Noor
bhsukan.com.my
JOHOR BAHRU:
Johor Darul Ta'zim (JDT) mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Liga Super
selepas menewaskan Pahang 2-0 pada di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin,
sebentar tadi.
Turun beraksi
dengan semangat kemenangan 1-0 ke atas Kashima Antlers dalam saingan Liga
Juara-Juara Asia (ACL) baru-baru ini, skuad kendalian Benjamin Mora nyata
memberi tekanan kepada Pahang sebaik perlawanan bermula.
JDT yang
diperkuatkan kesebelasan utama tampak menguasai perlawanan apabila mengasak ke
kubu skuad Tok Gajah dan menghadirkan percubaan berbahaya pada minit ke-12
selepas bola sepakan lintang Gonzalo Cabrera disambar Safawi Rasid yang
melakukan rembatan kilas namun bola terus ke dakapan penjaga gol, Helmi Eliza
Elias.
Nasib tidak
menyebelahi tuan rumah apabila terlepas membuka tirai jaringan pada minit ke-32
selepas bola umpanan Safawi kepada Cabrera yang berada dalam kedudukan selesa
di dalam kotak penalti tidak berhasil apabila sepakannya meliar ketika Helmi
Eliza sudah pun tertewas.
Pada minit
akhir babak pertama gandingan Safawi dan Cabrera yang kerap mengucar kacirkan
pertahanan pelawat hampir mencipta jaringan tetapi tandukan pemain Argentina
itu berjaya dihalang Helmi Eliza yang berada di posisi tepat untuk menangkap
bola dengan kemas.
Pada babak
kedua, giliran pelawat mula mengasak ke kubu tuan rumah selepas Ze Eduardo
memiliki peluang terbaik pada minit ke-52 apabila cuba melakukan helah hampir
memerangkap penjaga gol, Farizal Marlias sebelum ia diselamatkan.
Pergerakan
Diogo Luis Santo dalam perlawanan itu bagaikan dirantai benteng pertahanan
lawan yang melakukan apa juga cara untuk menyekat kelicikan pemain import JDT
itu yang sering menjadi mangsa terjahan keras pemain pelawat.
JDT memperoleh
gol yang dinanti-nantikan pada minit ke-69 menerusi serangan balas yang
dimulakan kapten pasukan Hariss Harun bersama pemain gantian Akhyar Rashid.
Bergerak di
posisi sayap kanan, Akhyar kemudian menolak semula kepada Hariss yang pantas
melakukan rembatan bagi menewaskan Helmi Eliza.
Dan ketika
aksi babak kedua hampir berakhir, Ahkyar memastikan kemenangan buat tuan rumah
selepas mudah menanduk masuk menewaskan Helmi Eliza yang hanya tergamam melihat
bola menerjah gawangnya.
Kedudukan 2-0
yang memihak JDT menyaksikan juara liga lima musim berturut-turut kini
mengumpul 33 mata dengan mereka kini memiliki perbezaan lapan mata dengan
pencabar terdekat, Pahang.
Sumber-BERITA
HARIAN ONLINE Rabu, 15 Mei 2019 | 12:14am
Tiada ulasan:
Catat Ulasan