MyMetroUtama
Daripada
Aziman Rosdi Kunshan dan China
aziman@nstp.com.my

LANGKAH skuad
negara pada kempen Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23)
Tahun (B-23) akhirnya terhenti di suku akhir apabila tewas 1-2 kepada Korea
Selatan di Stadium Kunshan, China sebentar tadi.
Skuad negara
kendalian Datuk Ong Kim Swee cuba bangkit untuk melakar satu lagi sejarah
selepas ketinggalan menerusi jaringan terpantas kejohanan oleh Cho Jae Wan
dengan mengikat kedudukan hasil percubaan pemain gantian N Thanabalan pada
babak kedua.
Namun, impian
itu berkecai dengan jaringan kemenangan lawan menerusi Han Seung Gyu lima minit
sebelum permainan tamat.
Biarpun
dihimpit dengan masalah kecederaan beberapa pemain, Kim Swee masih mengekalkan
hampir semua kesebelasan utama ketika menewaskan Arab Saudi 1-0 sebelum ini
dengan hanya memasukkan Nik Akif Syahiran menggantikan R Kogileswaran di
bahagian serangan.
Belum sempat
pemain negara mengatur permainan, mereka dikejutkan dengan serangan awal Korea
Selatan dari sebelah kanan.
Rembatan padu
Jae Wan gagal diselamatkan penjaga gol negara, Haziq Nadzli ketika saingan baru
memasuki 15 saat.
Namun jaringan
awal skuad naib juara 2016 itu tidak menyentap semangat juang anak buah Kim
Swee yang cuba menguasai permainan ketika pemain lawan kelihatan bergelut
kepenatan.
Penjaring dua
gol negara di peringkat Kumpulan C, Safawi Rasid memiliki dua peluang terbaik
pada minit ke-16 dan masa tambahan babak pertama, namun diselamatkan penjaga
gol, Kang Hyeon Mu.
Biarpun
memperlahankan permainan, Korea Selatan yang dibimbing Kim Bong Gil tetap
bahaya dengan serangan pantas dan hampir menambah jaringan pada minit ke-31,
namun Haziq cemerlang ketika berdepan situasi satu lawan satu dengan Lee Kuon
Ho.
Ketinggalan
satu gol, Malaysia bangkit mengasak dan hampir membolosi gawang Korea Selatan
menerusi
percubaan Adam Nor Azlin dan Safawi tetapi gagal menepati sasaran.
Kim Swee
melakukan dua pertukaran dengan memasukkan N Thanabalan bagi mengambil tempat
Akhyar Abdul Rashid dan Hadi Fayyadh Abdul Razak bagi memantapkan bahagian
serangan.
Percaturan itu
berbaloi apabila Thanabalan yang mengalami hamstring dan direhatkan ketika
Malaysia seri 1-1 dengan Jordan dan menang 1-0 ke atas Arab Saudi membuktikan
bisa tandukannya dengan menghasilkan gol penyamaan pada minit ke-67.
Namun,
kelincahan Seung Gyu gagal dihalang pertahanan negara yang menyaksikan dia
menyumbat gol kemenangan Korea Selatan pada minit ke-85 bagi mengesahkan
kemaraan ke separuh akhir menentang Uzbekistan Selasa ini.
SUMBER-Artikel
ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2018 @ 6:18 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan