MyMetroUtama

Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
KEJAYAAN meledak dua gol menerusi
tendangan kaki kiri padu ke atas Indonesia masih tidak memberi kepuasaan buat
pemain sayap Harimau Malaya, Safawi Rasid yang bertekad untuk tampil lebih
berbisa dalam aksi akan datang.
Ledakan berbisa bak peluru
menerusi sepakan percuma babak pertama dan rembatan dalam kotak penalti di
separuh masa kedua memastikan Malaysia merakam kemenangan 2-0 sekali gus meraih
tiga mata berharga untuk naik di tangga kedua Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia
2022/Piala Asia 2023.
Jelas pemain kelahiran Dungun,
Terengganu yang kini beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan
Liga Malaysia itu, dua gol berkenaan amat manis apatah lagi jaringan sepakan
percumanya itu adalah yang kedua di peringkat antarabangsa.
Katanya, biarpun sudah beberapa
kali meledak menerusi sepakan percuma dalam saingan liga tempatan, gol yang
terhasil pada minit ke-30 itu lebih istimewa kerana ia berlaku dalam kempen
kelayakan Piala Dunia.

“Saya bersyukur kerana dapat
membantu pasukan dan gol sepakan percuma itu amat istimewa sekali. Saya gembira
dan berharap mampu melakukannya lagi dalam aksi bersama pasukan negara,”
katanya.
Dua gol berkenaan membolehkan
Safawi mengumpul 10 gol bersama pasukan kebangsaan dengan gol pertama dicetak
ketika menentang Korea Utara dalam saingan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia
2019 yang menyaksikan skuad negara di bawah kendalian Nelo Vingada ketika itu
tewas menerusi agregat 8-2.
Malah, gol menerusi situasi bola
mati itu bukanlah yang pertama buatnya apabila pada kempen Piala AFF tahun lalu
dia turut meledak ketika mengikat Vietnam 2-2 pada final pertama di Bukit
Jalil.
Katanya, dua gol cantik yang
tercipta di Stadium Nasional Bukit Jalil itu turut menambah keyakinannya
menjelang aksi berikutnya menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Mac depan
di Dubai.
“Apa pun saya tetap akan perbaiki
dari hari ke hari untuk Malaysia... saya masih belum puas. Kemenangan ini
penting untuk keyakinan saya menjelang perlawanan menentang Emiriah Arab
Bersatu (UAE) nanti.
“Kami akan terus beri komitmen
dan tingkatkan tahap kecergasan,” katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Khamis, 21 November 2019 @ 7:00 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan