MyMetroArena

Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
“THAILAND berlagak sangat, final
ini saya mahu buat mereka kecewa,” kata penyerang skuad bawah 22 tahun (B-22)
negara Safawi Rasid menjelang perlawanan akhir dengan pasukan juara bertahan,
Thailand pada final acara bola sepak lelaki di Stadium Shah Alam, esok.
Menurutnya, dia dan rakan
sepasukan begitu bersemangat untuk menyekat dominasi Thailand yang kini memburu
kejuaraan hatrik.
“Kita berjaya menundukkan
Indonesia (1-0) di separuh akhir dan ia bukan perlawanan mudah. Kejayaan itu
memberikan kita keyakinan dan kita akan bermain di tempat sendiri bersama
sokongan padu penyokong. Saya fikir kita boleh beri persembahan lebih baik di
final.
“Ini kali pertama saya bermain di
Sukan SEA dan kali pertama ke final. Kita akan bermain untuk merebut ibu segala
pingat dan sudah pasti kita ingin menewaskan Thailand untuk leburkan ego mereka
di mana sebelum ini mereka memperlekehkan kemampuan kita,” katanya.
Semangat pemain negara kian
membara apabila mereka kini hanya selangkah untuk melakar sejarah merangkul
kejuaraan sejak Sukan SEA Jakarta 2011.
Pada mulanya ramai yang
beranggapan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu sukar untuk ke final
termasuk penyerang Thailand Sittichok Kannoo yang memilih untuk bertemu
Indonesia kerana menganggap pasukan tuan rumah tidak kuat.
Malah keyakinan pemain lawan itu
disuntik dengan kejayaan mereka mengalahkan Malaysia 3-0 pada pertemuan
terakhir di Bangkok dalam saingan kelayakan Kejohanan AFC B-23, bulan lalu.
Safawi yang sudah meledak dua gol
setakat ini menganggap pertemuan itu tidak boleh diambil kira kerana beberapa
perubahan sudah dilakukan Kim Swee.
“Saya fikir kita berada di tahap
terbaik. Di sebalik semangat ini, kita tak boleh terlampau yakin dan tertekan.
“Sebelum ini, ada enam pemain tak
pergi ke Bangkok termasuk saya dan diharap enam pemain ini dapat bantu kejayaan
pasukan,” katanya.
Selain Safawi, lima lagi pemain
yang tidak bersama pasukan menentang Thailand di Bangkok ialah Matthew Davies,
Nor Azam Azih, S Kumaahran, Syamer Kutty Abba dan Haziq Nadzli kerana tidak
mendapat pelepasan pasukan masing-masing namun mereka menjadi tonggak Kim Swee
di Sukan SEA.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Isnin, 28 Ogos 2017 @ 5:14 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan