MyMetroUtama

Sukan HM
KUALA LUMPUR:
Penyerang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid mengakui pentas
Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) sebagai pencetus semangat buat mana-mana
pemain untuk meningkatkan prestasi masing-masing.
Jelasnya,
berada di pentas berprestij itu adalah pengiktirafan tertinggi dalam arena bola
sepak tempatan dan pemain perlu berusaha keras untuk menggapai impian itu.
“Memang bukan
saya saja yang suka dan berbangga dengan anugerah ini, malah pemain lain juga
kerana ia seperti menghargai jasa kami yang bermain dalam Liga Malaysia dan
meningkatkan lagi semangat untuk berlatih dua kali ganda bagi mendapatkan trofi
itu pada masa akan datang.
“Tahun lalu
saya dapat anugerah MVP (Pemain Paling Bernilai) dan dua trofi dalam usia muda,
kalau boleh memanglah saya nak dapat lagi MVP tahun ini, tetapi saingan agak
sengit. Saya berharap peminat akan terus menyokong perjalanan karier saya,”
katanya.
Bagi ABK 2019
yang akan berlangsung Jumaat ini, pemain berusia 22 tahun itu berada dalam
pencalonan akhir bersama penyerang senior, Norshahrul Idlan Talaha (Pahang) dan
J Partiban (Perak) untuk merebut gelaran Penyerang Terbaik.
Safawi
bagaimanapun mengakui bukan mudah untuknya mempertahankan gelaran yang
dimenangi selepas merangkul trofi MVP, Pemain Tengah Terbaik dan Pemain Muda
Harapan ABK 2018.
Jelasnya,
anugerah MVP pastinya akan diberikan kepada pemain yang benar-benar layak dan
Safawi tidak menolak musim ini begitu mencabar berikutan ramai pemain lain yang
menyerlah.
“Saya rasa
saingan sangat kuat sebab ramai yang berada dalam prestasi baik sekarang ini
dan saya tidak kisah siapa yang akan mendapat gelaran MVP janji saya
dicalonkan, itu pun sudah cukup baik untuk karier bola sepak saya,” katanya.
Seandainya
Safawi berjaya meraih gelaran MVP sekali lagi, anak jati Terengganu ini tidak
menolak ia akan menjadi pelengkap yang amat manis dalam kariernya musim ini
selepas membantu JDT merangkul Piala Sumbangsih, Liga Super dan Piala Malaysia.
Sementara itu,
pencabar terdekat Safawi bagi Anugerah Penyerang Terbaik, Norshahrul Idlan
Talaha turut menyimpan hasrat menggenggam trofi itu sekali lagi selepas 2012,
selain gelaran MVP pada tahun sama ketika bersama Kelantan.
“Kalau boleh
memang saya ingin kembali memenangi anugerah ini yang pernah berikan kenangan
istimewa kepada saya sepanjang bergelar pemain dan menaikkan nama saya satu
ketika dulu.
“Secara tidak
langsung pengiktirafan itu boleh memberikan kembali keyakinan kepada saya
ketika beraksi,” katanya yang mesra disapa Matyo.
Dalam pada itu
bagi penyerang The Bos Gaurus, J Partiban pula berkongsi perasaan berbeza.
“Sudah
semestinya saya terkejut apabila tercalon buat kali pertama kerana bukan senang
untuk mana-mana pemain tercalon. Apa-apa pun, pesaing saya iaitu Safawi dan
Matyo sememangnya layak untuk berada di ‘top 3’ dan saya berbangga dapat
bersaing bersama pemain hebat seperti mereka,” kata Partiban.
SUMBERArtikel
ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 6:30 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan