MyMetroArena

Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
KETAJAMAN dua penggempur Johor
Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad yang masing-masing meledak
satu gol pada final Piala Malaysia menentang Kedah di Stadium Nasional Bukit
Jalil Sabtu lalu, diharapkan terus mempamerkan ketajaman apabila turun membantu
skuad Harimau Malaya dalam tiga aksi antarabangsa selepas ini.
Skuad kendalian Tan Cheng Hoe
yang sudah memulakan kem latihan bagi persiapan aksi persahabatan menentang
Tajikistan Sabtu ini serta Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu
Thailand (14 November) dan Indonesia (19 November) dengan semua aksi di Bukit
Jalil sudah tentunya menagih sentuhan berbisa gandingan '2S' itu.
Jelas Cheng Hoe, beliau
mengharapkan kedua-dua pemain itu dapat mengekalkan prestasi cemerlang ketika
membenam skuad Helang Merah 3-0 di final Piala Malaysia itu.
“Barisan serangan kita memang
selalu menjadi bahan pertikaian namun selepas perlawanan peringkat separuh
akhir dan pentas final Piala Malaysia, Safawi dan Syafiq menampilkan prestasi
yang baik.
“Saya harap kedua-dua pemain ini
dapatkan mengekalkan prestasi dan tahap keyakinan mereka bagi perlawanan
pasukan negara. Namun, saya selalu menegaskan kepada anak-anak buah saya bahawa
kekuatan pasukan bukan terletak di tangan dua atau tiga pemain. Kita perlu
bekerja sebagai satu unit,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan.
Skuad Harimau Malaya yang sudah
mengharungi tiga aksi peringkat kelayakan Kumpulan G sekadar menghuni tangga
keempat dengan memungut tiga mata.
Pungutan mata itu hasil
kemenangan mengejut 3-2 ke atas pasukan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno
pada 5 September lalu yang turut dicemari insiden rusuhan oleh penyokong tuan
rumah hingga mengakibatkan skuad Harimau Malaya terpaksa meninggalkan stadium
dengan menaiki kereta perisai Barracuda. Bagaimanapun, kejayaan tiga mata
pertama itu gagal diteruskan dalam dua aksi berikutnya apabila tewas 1-2 kepada
Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Bukit Jalil sebelum tunduk 0-1 di tangan Vietnam
di Hanoi.Lantas, bagi menghidupkan peluang Malaysia pada kempen kali ini, skuad
negara perlu memanfaatkan aksi di tempat sendiri dengan wajib melakar
kemenangan ke atas skuad Gajah Perang dan Garuda di depan penyokong tempatan.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Selasa, 5 November 2019 @ 9:43 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan