SUKAN»Bola
Selasa, 5 November 2019 | 12:02pm

Safawi pasang impian ke Eropah
Oleh Mohd Fitrie Muhamad
mfitrie@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Penyerang negara,
Safawi Rasid menegaskan dia tidak pernah rasa puas dengan prestasi semasanya
dan menjadikan benua Eropah sebagai destinasi pilihan jika berpeluang beraksi
di luar negara.
Bagi seorang pemain profesional,
Safawi berkata impian beraksi di luar negara pasti ada dan sedia berkelana ke
'tempat orang' jika ada menerima sebarang tawaran.
Walaupun memasang impian besar,
Safawi bertegas tidak akan membelakangi Johor Darul Ta'zim (JDT) yang banyak
membantu pengingkatan prestasinya.
"Memanglah dalam hidup ini,
mungkin ini (tawaran) hanya datang sekali seumur hidup. Cita-cita saya memang
mahu beraksi di luar negara dan kalau boleh, saya mahu beraksi di Eropah.
"Mana-mana kelab pun saya
OK, asalkan ia sesuai dan mampu buka peluang lebih baik kepada saya dapat lebih
banyak pengalaman. Apa pun, sebarang tawaran perlulah melalui JDT sebagai
majikan saya," katanya ketika dihubungi.
BH Sukan semalam melaporkan bekas
pemain kebangsaan, Serbegeth Singh menyifatkan Liga Malaysia (Liga M) bukan
lagi tempat yang sesuai buat Safawi.
Justeru, Serbegeth yang lebih
dikenali sebagai Shebby mencadangkan pemain berusia 22 tahun itu berhijrah ke
liga luar negara bagi memastikan prestasinya terus meningkat ke tahap lebih
tinggi.
Mengulas lanjut pujian dan pendapat
dibuat Shebby itu, Safawi akui yang dia seakan kelu untuk berkata-kata untuk
menzahirkan keterujaannya.
"Saya ada baca dan saya pun
tidak tahu macam mana mahu cakap. Apa yang boleh beritahu adalah ucapan terima
kasih.
"Setiap kali diturunkan,
saya tidak rasa begitu (tahap prestasi lebih baik berbanding bola sepak
Malaysia) kerana setiap kali diturunkan, saya hanya fikir untuk fokus dan
berikan sehabis baik selagi kudrat saya mampu.
"Saya mahu terus tingkatkan
lagi prestasi untuk cuba tampil lebih baik. Saya cuba berikan apa yang termampu
dan selebihnya, biarlah orang yang menilai," katanya.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Selasa,
5 November 2019 | 12:02pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan