MyMetroArena

Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
PEMAIN sayap kebangsaan, Safawi
Rasid yang kemarau jaringan sepanjang empat aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/
Piala Asia 2023 sebelum meledak dua gol untuk skuad Harimau Malaya menewaskan
Indonesia 2-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin, menghadiahkan gol
terbabit kepada Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd
Amin.
Hamidin sebelum itu melontarkan
cabaran kepada pemain berusia 22 tahun itu ketika sesi pertemuan dengan pemain
Harimau Malaya di hotel penginapan pasukan, pagi kelmarin.
Timbalan Presiden FAM, Datuk
Yusoff Mahadi ketika mendedahkan rahsia itu berkata, Safawi sebenarnya
diberikan ‘amaran’ oleh Hamidin kerana gagal menjaringkan sebarang gol selepas
empat perlawanan Kumpulan G ini berlangsung.
“Cabaran itu dilontarkan presiden
di hadapan semua pemain ketika beliau hadir bersarapan pagi bersama pemain pada
pagi hari perlawanan (kelmarin) dan secara khususnya beliau mahu Safawi
menjaringkan gol untuknya.
“Bagi presiden, walaupun Malaysia
menang ke atas Indonesia sekali pun, beliau tetap mahu melihat nama Safawi
dalam senarai penjaring kerana Safawi masih belum menjaringkan gol dalam
pusingan kelayakan ini.
“Jadi pada akhirnya, Safawi
menyahut cabaran itu dengan positif apabila berjaya menjaringkan dua gol dan
bolehlah dikatakan kemenangan ke atas Indonesia ini dibantu dengan ‘sentuhan
khas’ daripada Presiden FAM,” katanya.
Dengan kemenangan ke atas
Indonesia itu, Malaysia kini di tangga kedua kumpulan dengan sembilan mata, di
belakang pendahulu Vietnam yang gah dengan mengumpul 11 mata.
Manakala, tiga lagi pasukan lain
Thailand, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Indonesia masing-masing di kedudukan
ketiga hingga lima.
Jelas Yusoff yang juga pengurus
pasukan, Safawi yang meledak dua gol cantik turut berjaya membuktikan
reputasinya sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) pada Anugerah Bolasepak
Kebangsaan (ABK) 2019 yang berlangsung baru-baru ini.
“Kami barisan pegawai dan
kejurulatihan skuad Harimau Malaya sentiasa memberi dorongan dan sokongan
kepada Safawi sepanjang kem latihan pusat kali ini untuk dia terus berada pada
prestasi terbaik pada setiap perlawanan.
“Sesuai dengan reputasinya di
peringkat domestik sebagai MVP, saya rasa dua gol yang dijaringkannya
membuktikan tahap profesional Safawi yang sentiasa berusaha untuk berada pada
tahap prestasi yang sama ketika perlawanan peringkat antarabangsa,” katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Khamis, 21 November 2019 @ 4:45 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan