MyMetroArena

Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
SKUAD Harimau
Malaya meraih tonik berharga menjelang aksi wajib menang berdepan Thailand pada
aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Khamis ini selepas menang 1-0
dalam aksi pemanas badan bertemu Tajikistan, sebentar tadi.
Kemenangan ke
atas pasukan di ranking ke-116 dunia itu menyuntik keyakinan dan motivasi
terbaik sebagai persediaan menentang skuad Gajah Perang yang menghuni ranking
ke-109 berbanding Malaysia di kedudukan 158.
Bagaimanapun,
aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil itu tampak
dikuasai Tajikistan terutama 45 minit pertama yang menyaksikan tuan rumah hanya
merekodkan satu percubaan dan dua sepakan penjuru untuk menceritakan betapa
sukarnya peluang Malaysia bertemu Thailand nanti.
Kesilapan
mudah masih dilakukan pemain negara seperti hantaran tidak kemas, kurang idea
di bahagian tengah dan kelonggaran barisan pertahanan dilihat masih menghantui
pasukan negara.
PEMAIN
Malaysia, Syafiq Ahmad diasak pemain Tajikistan di Stadium Nasional, Bukit
Jalil. - FOTO Aizuddin Saad
Bagaimanapun,
segala kelemahan itu sudah pasti dicatat Cheng Hoe yang masih berbaki lima hari
untuk mengatasinya.
Dalam aksi
itu, Cheng Hoe merehatkan enam pemain utama dari skuad yang tewas 0-1 kepada
Vietnam pada aksi ketiga kelayakan bulan lalu dengan Nor Azam Azih kembali
mengisi bahagian tengah selepas disisihkan ekoran kecederaan buku lali sebelum
ini.
Malah, posisi
penjaga gol turut bertukar tangan dengan Khairulazhan Khalid diberi
tanggungjawab dan Aidil Zafuan Abd Radzak diamanahkan memakai lilitan 'amben'
bagi menggantikan Farizal Marlias.
Pelawat yang
akan terbang ke Myanmar bagi menempuh aksi keempat kelayakan hampir menembusi
gawang negara menerusi percubaan Alisher Dzhalilov pada minit ke-18 namun sempat
ditepis Khairulazhan.
Kubu tuan
rumah diuji lagi dan kali ini tendangan Dzhalilov sedikit melambung buat
melegakan benteng negara di minit ke-29.
Bersambung
babak kedua, pelawat terpaksa beraksi 10 pemain apabila penjaga golnya Rustam
Yatimov dibuang padang seawal minit ke-46 selepas menampan bola di luar kotak
penalti.
Cheng Hoe
membuat beberapa pertukaran dengan memasukkan Brendan Gan, Safawi Rasid dan
Norshahrul Idlan Talah bagi menambah tekanan di jentera hadapan.
Percaturan itu
membuahkan hasil apabila pemain terbaik perlawanan akhir final Piala Malaysia
iaitu Safawi berjaya meledak gol hasil tendangan kaki kiri di minit 62.
Keputusan 1-0
itu kekal hingga wisel penamat sekaligus menebus kekalahan lima tahun lalu di
mana skuad negara tewas 1-4 kepada lawan sama dalam aksi persahabatan di
Dushanbe, Tajikistan.
SUMBERArtikel
ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 10:52 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan