SUKAN»Bola
Khamis, 21 November 2019 | 5:42pm

Pemain pasukan Malaysia Muhammad
Safawi Rasid meraikan jaringan gol bagi pasukan Malaysia pada perlawanan
kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 ketika menentang Indonesia di
Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto BERNAMA
Digugurkan...titik perubahan
Safawi Rasid
KUALA LUMPUR: Ini bukan kali
pertama bintang sensasi Harimau Malaya Muhammad Safawi Rasid diketepikan ketua
jurulatih skuad Bawah 22 Tahun (B-22), negara Datuk Ong Kim Swee dalam
pasukannya.
Pada 2016, Kim Swee yang ketika
itu menjawat jawatan selaku ketua jurulatih skuad kebangsaan mengambil
keputusan menggugurkan nama Muhammad Safawi daripada senarai akhir pemain
menghadapi saingan Piala AFF, yang menyaksikan Malaysia gagal mara ke separuh
akhir.
Selepas tiga tahun, Pemain Paling
Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2018 dan 2019 itu kini
menikmati kemuncak karier, selepas membuktikan kualiti dimiliki di pentas
antarabangsa bersama skuad kebangsaan dan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada
peringkat domestik.
Pengguguran Muhammad Safawi, 22,
pada waktu itu diibaratkan sebagai titik perubahan dalam kariernya, apabila
selepas itu beliau bangkit dengan prestasi lebih meyakinkan dan Kim Swee mahu
setiap pemain muda mencontohi kesungguhan serta sifat tidak putus asa dimiliki
beliau.
“Kalau tidak silap ia (titik
perubahan) pada Piala AFF 2016 di mana saya menggugurkan beliau (Muhammad
Safawi) ketika itu. Apabila digugurkan, beliau kembali dengan begitu positif
dan tidak berputus asa...ini memberikan beliau satu keyakinan cukup baik.
“Setiap pemain harus mencontohi
Safawi, di mana apabila beliau gagal atau digugurkan, tetap kembali dengan
lebih kekuatan dan kini beliau adalah pemain terbaik di negara kita,” kata Kim
Swee kepada Bernama.
Kim Swee semalam mengesahkan untuk
tidak menyenaraikan Muhammad Safawi dalam skuad negara ke Sukan SEA 2019 di
Filipina, demi kebaikan pemain itu yang mengharungi begitu banyak perlawanan
musim ini.
Bekas pemain sayap pasukan T-Team
itu melakar rekod cemerlang bersama JDT musim ini, apabila meledak 20 gol dan
merekodkan 10 ‘assist’ sepanjang 3,088 minit permainan membabitkan 37
penampilan.
Nama Muhammad Safawi kini menjadi
sebutan seluruh peminat bola sepak tanah air, selepas meledak dua gol dalam
kejayaan Malaysia menewaskan Indonesia 2-0 pada aksi Kumpulan G Kelayakan Piala
Dunia 2022/ Piala Asia 2023, di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa lalu.
Kemenangan itu sekali gus
membantu skuad Harimau Malaya kendalian ketua jurulatih Tan Cheng Hoe,
melengkapkan tahun 2019 dengan penuh gemilang.
Kim Swee yang membimbing Muhammad
Safawi bersama skuad kebangsaan serta skuad B-22 negara mengakui, pemain
kebangsaan itu memiliki kekuatan kaki kiri dan sering meluangkan masa sekitar
15-20 minit membuat latihan tambahan, selepas tamat sesi latihan pasukan.
“Kita dapat lihat Safawi kini
berada pada tahap berbeza dan ini bukan saja daripada hasil usaha barisan
jurulatih, tetapi keyakinan diri Safawi sendiri dan kesungguhan beliau yang
membawanya ke tahap cukup baik ini.
“Dalam sesi latihan beliau fokus
kepada setiap keadaan tetapi yang memberi kelebihan sudah tentu sepakan
percumanya, di mana beliau mempunyai kesungguhan untuk berlatih (sepakan
percuma) setiap hari, selepas tamat latihan.
“Apabila kita berlatih dengan
baik ketika sesi latihan, ia akan berlaku serta ‘menjadi’ di setiap
perlawanan,” jelas Kim Swee.
Pengguguran Muhammad Safawi
mendapat pelbagai reaksi positif dan negatif oleh peminat tempatan, namun apa
yang pasti sebagai jurulatih, Kim Swee hanya mahukan yang terbaik buat pemain
itu.
Adakah dengan keputusan Kim Swee
ini, seluruh peminat bola sepak tempatan akan menyaksikan peningkatan prestasi
lebih baik daripada Muhammad Safawi pada musim 2020? – BERNAMA.[i]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan