MyMetroArena
Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my

BERIKUTAN
faktor kecederaan dan kepenatan, jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe
terpaksa mengetepikan khidmat empat tonggak skuad negara yang beraksi pada
Sukan Asia Jakarta-Palembang bulan lalu.
Pada sesi
latihan rasmi bermula hari ini di Stadium Kompleks Sukan USIM, hanya 23 pemain
melaporkan diri selepas Rizal Ghazali dari Kedah, Safawi Rasid, Adam Nor Azlin
dan Syafiq Ahmad (Johor Darul Ta’zim) mendapat pelepasan Cheng Hoe.
“Menerusi
laporan doktor, Rizal mengalami kecederaan lutut, Syafiq minta pelepasan kerana
baru menimang cahaya mata, Safawi terlalu banyak perlawanan jadi kami bagi dia
rehat, yang penting saya nak dia sedia pada Piala AFF nanti.
“Adam juga
keletihan jadi kami bagi dia pelepasan. Saya rasa 23 pemain sudah cukup, saya
harap pemain yang lapor diri ini bebas daripada kecederaan dan dapat beri
tumpuan 100 peratus,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Skuad Harimau
Malaya akan berlatih selama dua hari sebelum bertemu Taiwan di Taipei, Jumaat
ini dan Kemboja di Phnom Penh pada 10 September bagi aksi persahabatan
antarabangsa untuk persiapan menghadapi Piala AFF, November depan.
Turut
kelihatan pada sesi latihan kali ini sembilan pemain baharu terdiri daripada
penjaga gol Farizal Marlias (JDT), Fazly Mazlan (JDT II), Akhyar Rashid
(Kedah), Nik Akif Syahiran Nik Mat (Kelantan), Shahrel Fikri Md Fauzi (Nakhon
Ratchasima), Norshahrul Idlan Talaha (Pahang), Mahalli Jasuli (PKNS FC), Syahmi
Safari (Selangor) dan Azzizan Nordin (Sabah).
“Seperti yang
anda tahu, beberapa pemain baru dipanggil iaitu Matyo (Norshahrul), Farizal,
Nik Akif dan Azzizan. Yang penting saya tak mahu pemain tertekan dan saya mahu
pemain pamer prestasi yang baik,” katanya.
SUMBERArtikel
ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 8:57 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan