MyMetroArena
Rizar Mohd Noor
sukanteam@nstp.com.my

JOHOR BAHRU: Safawi Rasid muncul
wira Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila meledak dua gol untuk menewaskan Pahang
2-0 pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos,
Larkin, malam tadi.
Kemenangan itu menyaksikan skuad
Harimau Selatan semakin hampir untuk mempertahankan kejuaraan piala berprestij
itu selepas mara menerusi agregat 3-1 dan akan berdepan Terengganu pada aksi
separuh akhir.
JDT merobek semangat skuad Tok
Gajah seawal minit pertama menerusi gerakan menarik dimulakan Fernando Elizari
yang bertindak mengumpan bola kepada Ahmad Hazwan Bakri yang kemudian menyilang
umpanan untuk Safawi.
Safawi yang tidak dikawal mudah
melakukan sepakan lencong tepat ke penjuru kanan gawang yang gagal diselamatkan
penjaga gol pelawat, Mohd Helmi Eliza Elias.
ADVERTISING
Ahmad Hazwan yang menjadi
perancang gol pertama hampir menambah derita skuad Tok Gajah pada minit
kesembilan namun dia yang menerima umpanan Safawi sekadar menggegar palang
ketika Helmi Eliza sudah tertewas.
Pelawat yang ketinggalan cuba
bangkit dengan mengatur gerakan namun keampuhan benteng tuan rumah yang
diterajui Marcos Antonio dan Aidil Zafuan Abd Radzak berjaya menghalang gerakan
berbahaya anak didik Dollah Salleh.
Bersambung babak kedua, pelawat
makin garang untuk memburu gol penyamaan memaksa benteng tuan rumah bertungkus
lumus menghalang kelicikan Nor Shahrul Idlan Talaha yang sentiasa cuba menyusup
masuk ke dalam kotak penalti.
Tuan rumah yang sedar gol tunggal
itu masih belum mampu menyelamatkan mereka hampir menambah jaringan pada minit
ke-56 namun bola rembatan deras Gonzalo Cabrera ketika berada di dalam kotak
penalti hanya sipi dari gawang gol.
Safawi kemudian membuktikan dia
berada kelas tersendiri apabila menjaringkan gol kedua peribadi pada minit
ke-73 selepas pantas menyambar bola umpanan Natxo Insa sebelum memperdaya Helmi
Eliza.
Kedudukan 2-0 kekal sehingga
tamat perlawanan dan kemenangan itu turut menebus kehampaan JDT ketika tewas
0-3 kepada Pahang dalam aksi suku akhir kedua Piala FA pada 20 April lalu.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Sabtu, 29 September 2018 @ 11:46 PM