MyMetroArena
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my

KUALA TERENGGANU: Sebelum ini
pertahanan kental skuad Terengganu FC (TFC), Kamal Azizi Zabri rakan sepasukan
dengan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid ketika menyarung jersi
T-Team pada 2016.
Malah dua pemain itu antara
tonggak penting jurulatih The Titans kelahiran Indonesia ketika itu, Rahmad
Darmawan dalam aksi separuh akhir Piala Malaysia musim itu sebelum tunduk
kepada Selangor dengan agregat 1-5.
Namun ia drama yang sudah menjadi
lipatan sejarah dan kini dua pemain muda itu sudah memilih haluan berbeza dan
bakal ‘bermusuh’ seketika apabila bertembung pada separuh akhir pertama Piala
Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok.
“Secara peribadi, ini separuh
akhir kedua saya dalam Piala Malaysia dengan dua pasukan berbeza dan sudah
tentu saya mahu memberikan aksi terbaik 100 peratus selepas gagal layak ke
final ketika menyarung jersi T-Team tiga tahun lalu.
“Saya juga sudah bersedia untuk
merantai pergerakan Safawi yang juga bekas rakan sepasukan biarpun pemain itu
kini semakin mencipta nama bersama JDT dan skuad kebangsaan,” kata Kamal yang
lebih mesra dipanggil ‘Ayoh’.
Ketika ditanya prestasi semasa
juara bertahan itu, anak jati kelahiran Bukit Perah Ajil, Kuala Berang itu
mengakui skuad Harimau Selatan antara pasukan terbaik Liga Malaysia dan sudah
tentu pencabarnya perlu mempunyai strategi ampuh untuk menundukkan mereka.
“Hakikatnya kami sudah bersedia
dan tidak gentar dengan reputasi skuad Harimau Selatan, apatah lagi pasukan itu
sudah tidak kebal apabila tewas kepada Kuala Lumpur, Pahang dan Kelantan serta
terbaharu kepada skuad Liga Perdana, MIFA.
“Kami mahu mencipta sejarah
meraih kejuaraan kerana Piala Malaysia ada prestijnya tersendiri. Dengan
semangat kekeluargaan yang begitu akrab dalam kalangan rakan, saya percaya kami
mampu mara ke final,” kata pemain berusia 25 tahun itu.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 8:11 P