Jumaat, 2 Julai 2021

JDT rebah lagi dek penangan Pohang

  SUKAN






SAFAWI (kiri) cuba melepaskan diri daripada dikawal pemain Pohang pada perlawanan peringkat Kumpulan G, ACL di Stadium Rajamangala, Bangkok petang semalam. – JOHOR SOUTHERN TIGERS

JDT rebah lagi dek penangan Pohang

Oleh MUHAMAD ARDIE PUTRA SUHAIMI

2 Julai 2021, 10:40 am

PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) mengulangi skrip sama apabila tewas sekali lagi kepada wakil Korea Selatan, Pohang Steelers dengan keputusan 0-2 pada aksi Kumpulan G, Liga Juara-Juara Asia (ACL) semalam.

Pada aksi di Stadium Rajamangala itu, skuad Harimau Selatan bimbingan Benjamin Mora membariskan kesebelasan terbaik dalam usaha membalas dendam atas kekalahan 1-4 kepada Pohang, Isnin lepas.

JDT mempertaruhkan jentera serangan terdiri daripada penyerang import, Bergson da Silva dan Safawi Rasid.

Kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan seimbang pada awal saingan dengan JDT terlebih dahulu meraih peluang keemasan tetapi rembatan percuma yang dilakukan oleh Safawi terkena palang gol pada minit ke-16.

Namun, kekebalan benteng JDT tidak bertahan lama apabila akhirnya dibolosi hasil gerakan cantik dilakukan oleh Pohang yang berjaya disudahkan oleh Lee Seung-mo pada minit ke-33.

Momentum tersebut diteruskan skuad Kim Gi-dong untuk menambah jaringan menerusi ledakan Kang Sang-Woo yang bijak menyudahkan hantaran Borys Tashchy berselang empat minit kemudian.

Bersambung babak kedua, skuad JDT memperkemaskan jentera serangan dengan memasukkan Guilherme de Paula dan Mohamadou Sumareh untuk digantikan dengan Bergson serta Safawi.

Namun, Pohang kekal mendominasi saingan dan dilihat memiliki rentetan peluang keemasan tetapi penjaga gol JDT, Farizal Marlias tangkas mengawal gawangnya daripada dibolosi buat kali ketiga.Peluang terbaik JDT pada babak kedua hadir menerusi gerakan cantik pemain muda, Arif Aiman Hanapi pada minit ke-78 tetapi hantarannya gagal disudahkan oleh De Paula dan keputusan kekal sehingga tamat perlawanan.1

________________________________

1https://www.kosmo.com.my/2021/07/02/jdt-rebah-lagi-dek-penangan-pohang/

Khamis, 1 Julai 2021

JDT gagal temui ramuan tundukkan Pohang

Ammar Hakim

Julai 1, 2021 20:06 MYT



JDT gagal temui ramuan tundukkan Pohang

JDT 0 POHANG 2

Johor Darul Ta'zim (JDT) terus dirudum kekalahan dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) selepas tewas 2-0 kepada Pohang Steelers di Stadium Rajamangala, sebentar tadi.

Dalam pertembungan aksi Kumpulan H, skuad kendalian Benjamin Mora itu ibarat harimau terluka disiram cuka, kekalahan 4-1 Isnin kepada lawan sama gagal diperbaiki dalam perlawanan ulangan antara kedua-dua pasukan.

Peluang terbaik juara Liga Super itu terhasil menerusi sepakan percuma Safawi Rasid yang menggegar tiang Pohang pada minit ke-17.

Bagaimanapun, mereka ketinggalan 16 minit kemudian, gerakan satu-dua yang dimulakan Goh Young-jun berjaya mencari Lee Seung-mo mudah meledak gol sulung perlawanan mnewaskan penjaga gol, Farizal Marlias.

Empat minit berselang giliaran Kang Sang-woo pula mencetak nama selaku penjaring selepas JDT sekali lagi gagal membaca permainan licik Pohang sekaligus ketinggalan 2-0 menuju bilik persalinan.

Perlawanan bersambung dalam separuh masa kedua dan JDT terus menyerap asakan pasukan lawan, Pohang melancarkan deretan percubaan demi percubaan untuk mendapatkan gol ketiga namun tidak berhasil.

Kemasukan pemain seperti Mohamadou Sumareh dan Guilhermi de Paula untuk memperkuatkan jentera serangan ternyata tidak menjelmakan impak apabila perlawanan berakhir dengan keputusan 2-0 hingga wisel penamat ditiupkan pengadil.1

_______________________________________________

1https://www.stadiumastro.com/bola-sepak/jdt-gagal-temui-ramuan-tundukkan-pohang-197265

Harimau Selatan tumbang lagi di Bangkok

TERJEMAHAN SINAR HARIAN | | 01 Julai 2021




Safawi Rasid diasak pemain Pohang Steelers dalam aksi Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, malam ini. - Foto Johor Southern Tigers
HASRAT pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk kembali bersaing dalam saingan Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia (ACL) tersentak apabila tewas 0-2 kepada Pohang Steelers di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, malam ini.
Dua gol pada babak pertama daripada Lee Seung-Mo pada minit ke-33' diikuti gol Kang Sang-Woo (37') sudah cukup memberikan laluan berliku kepada Harimau Selatan kendalian Benjamin Mora untuk mara pusingan 16 terbaik kejohanan.
Anak buah Mora akan berdepan dua lagi aksi peringkat kumpulan iaitu menentang Nagoya Grampus dan Ratchaburi FC pada Ahad dan Rabu depan misi kemenangan dalam perlawanan berkenaan.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/147554/BERITA/Sukan/Harimau-Selatan-tumbang-lagi-di-Bangkok© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf.1

__________________________

1https://www.sinarharian.com.my/article/147554/BERITA/Sukan/Harimau-Selatan-tumbang-lagi-di-Bangkok

Rabu, 30 Jun 2021

Khalid gesa pulihkan segera 'Messi Malaysia'

Oleh Zulfaizan Mansor - Jun 30, 2021 @ 1:30pm

zulfaizan@bh.com.my



Khalid Ali (kiri) dan Safawi Rasid.

KUALA LUMPUR: Usah biarkan Safawi Rasid tenggelam!

Itu luahan yang cuba disampaikan legenda bola sepak negara, Khalid Ali selepas dia meminta kemerosotan prestasi pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu segera dipulihkan.

Menganggap Safawi memiliki kelebihan seakan sama dengan bintang dunia, Lionel Messi, Khalid yang juga bekas pemain kebangsaan menjelaskan Safawi memerlukan jurulatih dan pakar psikologi untuk memulihkan semula prestasinya.

Katanya, Safawi memerlukan satu program yang betul dan jurulatih perlu mengkaji segala kekuatan dimilikinya bagi memastikan pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu lebih mantap dalam semua aspek termasuk tahap kecergasan.

"Kelemahan Safawi adalah untuk bermain penuh 90 minit. Jika kecergasan dia berada pada tahap terbaik sepenuhnya iaitu boleh beri komitmen 90 minit dalam sesuatu perlawanan, saya rasa dia memang tidak boleh digugat dan boleh dikatakan dia antara pemain terbaik di Asia.

"Dia masih pemain sayap terbaik di Malaysia dan saya tak nampak kecacatan pada diri Safawi. Tapi tiada orang yang nak keluarkan (kelebihan) dia. Messi boleh dikatakan agak perlahan juga, tapi kekuatan dia adalah berlari dengan bola dan itulah Safawi.

"Jurulatih kena kaji, maksudnya Safawi bukan pemain yang boleh bermain seperti pemain lain iaitu berlari satu padang. Dia main macam Messi, Messi boleh dikatakan bermain dalam satu zon yang mana apabila dia dapat peluang dia akan terus bergerak ke depan dan inilah Safawi," katanya kepada BH Sukan.

Kemerosotan prestasi Safawi menjadi perhatian terutama selepas pulih dari kecederaan yang dialami pada Mac lalu dengan dia dilihat gagal memberikan impak besar buat skuad kebangsaan ketika kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, awal bulan ini.

Mengulas lanjut, Khalid mengakui Safawi memerlukan masa dan bantuan untuk mengembalikan semula prestasinya kepada tahap terbaik.

"Sebenarnya Safawi ini mudah kecewa, dia bukan main tak bagus. Dia kecewa bila dia buat tak jadi, itu kena ada satu jurulatih dan psikologi untuk membetulkan cara dia.


"Kalau di liga tempatan memang keyakinan dia tinggi, letaklah dia menentang Terengganu, Selangor atau sebagainya dia memang yakin. Cuma tahap keyakinan dia untuk aksi antarabangsa tidak sampai lagi.

"Macam saya dulu bermain di posisi pertahan kanan, lepas itu (jurulatih Harimau Malaya) Karl-Heinz Weigang letak saya main penyerang dan tengah, saya tak boleh tapi dia asah saya sampai saya menjadi pemain yang boleh dikatakan terbaik dalam kelayakan ke Sukan Olimpik," katanya.1

______________________________________

1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/06/833897/khalid-gesa-pulihkan-segera-messi-malaysia

Disiarkan pada: Jun 30, 2021 @ 4:00pm.JDT harus bangkit

Rizar Mohd Noor

rizar@mediaprima.com.my



Tonggak JDT, Safawi Rasid menjalani latihan menjelang aksi berdepan Pohang Steelers esok. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers

Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim (JDT) akan bertemu sekali lagi FC Pohang Steleer pada aksi pusingan kedua Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, esok bakal membuat rombakan kecil di posisi pertahanan.

Ini berikutan dua pemainnya Mauricio Dos Santos dan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham terpaksa diketepikan pengendali JDT, Benjamin Mora apabila berdepan kelab dari Korea Selatan selepas mengumpul dua kad kuning.

Apapun Mora sedar kekalahan 1-4 kepada skuad kendalian Kim Gi-dong pada aksi Isnin lalu, beri kesan terhadap prestasi barisan pemainnya namun ia dapat diatasi selepas proses pemulihan dan latihan yang lebih tersusun untuk berdepan sekali lagi kelab dari Korea Selatan pada perlawanan timbal balik.

"Ya.. kami tidak dapat turunkan Mauricio kerana di gantung satu perlawanan tapi kami sudah kenal pasti pemain yang akan mengisi kekosongan tempatnya untuk bergandingan bersama Shane (Lowry) malah posisi Azrif (Nasrulhaq Badrul Hisham) juga ada pengganti.

"Kali kedua kami menentang Pohang dan ia peluang terbaik untuk tebus kesilapan yang dilakukan pada aksi pusingan pertama dan memperbaiki corak permainan yang lebih konsisten. Malah kami tahu cara mereka beraksi.

"Kami bersaing di pentas ACL semestinya mahu buktikan sesuatu dan ia bukan sekadar melengkapkan jadual perlawanan dan pasti akan turun dengan lebih mantap pada tiga aksi bermula dengan menentang kelab dari Korea Selatan," katanya.

Menurut Mora, selepas mengharungi tiga perlawanan yang sukar terutama tekanan pada aspek fizikal dan mental ia adalah keadaan luar biasa kerana belum pernah beraksi dalam saingan ACL dengan jadual yang padat namun proses pemulihan yang tersusun nyata membuat pemain tampak kembali bersedia mengharungi perlawanan seterusnya.

Sementara itu, kapten JDT Farizal Marlias bertekad untuk bangkit bersama rakan sepasukan memburu kemenangan apabila sekali lagi menentang Pohang Steelers dan ia peluang terbaik bagi membalas dendam kekalahan 1-4, baru-baru ini.

"Ia peluang terbaik untuk tebus kesilapan lalu. Kami berada di landasan terbaik untuk menang pada aksi lalu selepas mendahului 1-0 namun tiga sepakan penalti yang diberikan kepada pasukan lawan meranapkan segala harapan.

"Itulah bola sepak namun aksi kali kedua merupakan episod berbeza kerana kami perlu raih mata untuk kekal bersaing di pentas ACL dan harapan kami mahu lakar kejutan," kata Farizal.

Disiarkan pada: Jun 30, 2021 @ 4:00pm1

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/06/724626/jdt-harus-bangkit

Selasa, 29 Jun 2021

Safawi terima ‘layanan terbaik’ di JDT



SAFAWI RASID

Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM

28 Jun 2021, 9:49 pm

JOHOR BAHRU: Prestasi hambar Safawi Rasid yang dilihat bergelut untuk mempamerkan aksi terbaiknya terus menjadi perdebatan antara kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dan skuad kebangsaan.

Pengarah Teknikal Kelab JDT, Alistair Edwards menjelaskan. bahawa Safawi telah menunjukkan kemajuan yang baik susulan kecederaan yang dialami sebelum meninggalkan kelab untuk tugasan antarabangsa.

Itu sekali gus menyangkal dakwaan bekas pemain antarabangsa, Datuk Jamal Nasir dan pemerhati bola sepak, Zakaria Rahim bahawa JDT perlu bertanggungjawab atas aksi hambar Safawi pada masa ini.

Jelasnya, untuk rekod, penyerang kelahiran Terengganu itu mengalami kecederaan pada 13 Mac lalu dan hanya kembali ke kesebelasan utama pada 16 April lalu.

Walaupun masih dalam proses pemulihan hingga ke tahap sepenuhnya, Safawi telah melakukan lima permulaan, tiga kali beraksi dari bangku simpanan dan menjaringkan dau gol dalam 364 minit sebelum ‘international break’.

Untuk mengatakan intensiti latihan adalah tanggungjawab kelab sepenuhnya tidak tepat kerana pemain menjalani kem latihan yang panjang bersama skuad kebangsaan kerana pemain berada di sana dari 16 Mei hingga 16 Jun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Alistair lagi, perjalanan pemulihan untuk kembali ke intensiti tinggi buat Safawi masih lagi berjalan sebelum ‘international break’.

Katanya, penyerang berusia 24 tahun itu hanya kembali ke JDT seminggu sebelum Liga Juara-Juara Asia (ACL) apabila dia terbang terus ke Thailand dari Emiriah Arab Bersatu.

Kelab ini akan membimbing Safawi kembali pulih sepenuhnya, sedia untuk bola sepak intensiti tinggi dan membina semula tahap keyakinan beliau dalam beberapa minggu akan datang,” katanya.

Seblum ini, pemilik pasukan JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menuding jari terhadap skuad kebangsaan yang melakukan latihan berintensiti rendah menjadi punca ayam tambatannya itu hilang taring.

Biarpun dikritik hebat banyak pihak selepas bergelut untuk memberikan persembahan yang terbaik, Tunku Ismail tetap mempertahankan Safawi dan menjelaskan JDT dalam proses membantu memperbaiki prestasi pemain kelahiran Terengganu itu.

Belum pulih 100 peratus daripada kecederaan, jurulatih (Tan Cheng Hoe) mengambilnya untuk sertai Harimau Malaya. Kesan daripada latihan intensiti rendah, Sampai sekarang prestainya masih menurun.

Sekarang kami kena perbaiki dia macam kami kena bantu setiap pemain menyertai pasukan kebangsaan bagi menjalani latihan pusat macam pergi makan angin,” kata Tunku Ismail.1

______________________________________

1https://www.utusan.com.my/sukan/2021/06/safawi-terima-layanan-terbaik-di-jdt/

Safawi alami sindrom OTS

Oleh Zulfaizan Mansor - Jun 29, 2021 @ 2:22pm

zulfaizan@bh.com.my



Safawi (depan) meraikan jaringannya ketika menentang Thailand pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

KUALA LUMPUR: Pemain sayap Harimau Malaya dan Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid didakwa mengalami 'over training syndrome (OTS)' atau sindrom terlebih latihan hingga menyebabkan prestasinya semakin merosot.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa menjelaskan OTS adalah sindrom yang memberi kesan kepada tubuh badan atlet dan gangguan hormon menyebabkan mereka gagal memberikan fokus yang diperlukan dalam pertandingan sebenar.

Justeru, beliau tidak menolak kemungkinan sindrom itu sedang dialami Safawi dan langkah terbaik untuk memulihkan semula prestasinya adalah memberikan rehat yang cukup.

"Selepas liga (Malaysia) musim lalu dia terus pergi Portugal, berlatih. Selepas tiga bulan dia balik Malaysia, berlatih dan selepas itu bermula liga, dia berlatih lagi.

"Kemudian masuk kelayakan Piala Dunia dia pun berlatih juga, jadi dia tiada kadar rehat yang cukup untuk sistem tubuh dia terutama sistem saraf dan Safawi mungkin melalui proses OTS.

"Ia menyebabkan gangguan neurohormon hingga fokusnya terganggu dan dengan latihan berterusan menyebabkan dia kelesuan walaupun dia mengambil vitamin.

"Badan dia juga tidak boleh bertindak balas dengan baik terhadap latihan yang diberikan walaupun luaran nampak dia bekerja. Kelesuan ini bukan sistem tubuh saja, tapi otak pun lesu kerana sistem saraf dikawal oleh otak.

"Safawi perlukan rehat dan tenangkan fikiran. Sebab itu pemain di Eropah pergi bercuti di pantai ketika tempoh rehat liga. Namun, mereka masih berjoging atau buat latihan ringan untuk kekalkan kecergasan," katanya kepada BH Sukan, semalam.

Safawi yang sebelum ini menjadi tonggak harapan Harimau Malaya dan Harimau Selatan dilihat mengalami kemerosotan prestasi terutama ketika kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, awal bulan ini.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa latihan intensiti rendah bersama skuad kebangsaan menjadi antara punca prestasi pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu merosot.

Namun, BH Sukan semalam melaporkan bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail menegaskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan skuad kebangsaan tidak boleh disalahkan kerana yang perlu menyediakan pemain berada pada tahap terbaik adalah tanggungjawab kelab.

Selain itu, Mohd Sadek berpendapat kecederaan yang dialami Safawi sebelum ini juga menyebabkan dia mengalami tekanan tinggi dalam usaha untuk mengembalikan semula prestasi terbaik kerana kesan kecederaan itu.

"Kelab perlu buat kajian, mereka ada psikologi, perubatan dan pakar sains sukan. Maklumat perlu dikumpulkan dan diputuskan barisan kejurulatihan. Kalau dia terus ditekan, itu akan mengganggu mood dia.

"Mungkin dengan memberikan rehat dalam dua atau tiga minggu dapat memulihkan semula keyakinan dan fokus Safawi, serta memulihkan semula sistem neurohormon dia," katanya.1

_____________________________________________

1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/06/833516/safawi-alami-sindrom-ots

Isnin, 28 Jun 2021

JDT berkeras Harimau Malaya perlu bertanggungjawab

Oleh Zulfaizan Mansor - Jun 28, 2021 @ 9:56pm

zulfaizan@bh.com.my



JDT sangkal perlu bertanggungjawab susulan prestasi hambar Safawi.

KUALA LUMPUR: Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) menyangkal dakwaan bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail bahawa kelab itu perlu bertanggungjawab atas aksi hambar Safawi Rasid.

Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards dalam kenyataan di Facebook rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers, hari ini, menjelaskan Safawi menunjukkan kemajuan yang baik susulan kecederaan yang dialami sebelum meninggalkan kelab untuk tugasan antarabangsa bersama Harimau Malaya.

Beliau berkata, Safawi mengalami kecederaan pada 13 Mac dan hanya kembali berada dalam kesebelasan utama pada 16 April, tetapi masih dalam proses pemulihan hingga ke tahap sepenuhnya.

"Secara keseluruhan, Safawi menjaringkan dua gol, melakukan lima permulaan, tiga kali beraksi dari bangku simpanan dan bermain 364 minit sebelum 'international break'.

"Untuk mengatakan bahawa intensiti latihan sepenuhnya merupakan tanggungjawab kelab adalah tidak tepat kerana kem latihan yang panjang oleh pasukan kebangsaan di mana pemain berada di sana dari 16 Mei hingga 16 Jun.

"Perjalanan pemulihan dan kembali ke intensiti tinggi Safawi masih lagi berjalan sebelum 'international break'. Safawi hanya kembali ke JDT seminggu sebelum Liga Juara-Juara AFC, terbang terus ke Thailand dari Emiriah Arab Bersatu.

"Kelab ini akan membimbing Safawi kembali pulih sepenuhnya, sedia untuk bola sepak intensiti tinggi dan membina semula tahap keyakinan beliau dalam beberapa minggu akan datang," katanya.

Jamal dalam laporan BH Sukan, hari ini dilaporkan berkata Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan skuad kebangsaan tidak harus dipersalahkan atas kemerosotan prestasi Safawi.

Dia berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menganggap prestasi Safawi merosot kerana latihan intensiti rendah bersama skuad kebangsaan.

Jamal, bagaimanapun menjelaskan perkara berkaitan seperti intensiti latihan dan tahap kecergasan pemain adalah tanggungjawab kelab pemain itu.1

___________________________________

1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/06/833283/jdt-berkeras-harimau-malaya-perlu-bertanggungjawab

Ahad, 27 Jun 2021

JDT perlu bertanggungjawab prestasi hambar Safawi

Oleh Zulfaizan Mansor - Jun 28, 2021 @ 2:10pm

zulfaizan@bh.com.my



Jamal anggap Harimau Malaya bukan punca prestasi Safawi merosot.

KUALA LUMPUR: Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail menegaskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan skuad Harimau Malaya tidak wajar dipersalahkan susulan kemerosotan prestasi Safawi Rasid.

Justeru, Jamal tidak bersetuju dengan kenyataan pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mendakwa prestasi Safawi merudum kerana latihan intensiti rendah bersama skuad kebangsaan ketika kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sebelum ini.

Sebaliknya, bekas pemain kebangsaan itu menjelaskan semua kelab, bukan sahaja JDT perlu menyalahkan diri sendiri sekiranya pemain mereka yang dipanggil mewakili skuad kebangsaan gagal mempamerkan persembahan cemerlang.

"Tugas FAM adalah membentuk pasukan untuk bertanding di peringkat antarabangsa, bukan tugas mereka membuat latihan yang intensiti rendah atau tinggi. Saya bercakap berdasarkan pengalaman sebagai bekas pemain, pengurus pasukan dan pengurusan dalam persatuan bola sepak.

"Apa saja berkaitan intensiti, tahap kecergasan atau sebagainya terpulang kepada kelab masing-masing. Pasukan kebangsaan hanya membentuk persefahaman pemain dan bagi kelayakan Piala Dunia baru-baru ini Harimau Malaya tidak cukup masa terutama kerana COVID-19.

"Saya tak menyalahkan FAM kerana mereka hanya memilih pemain terbaik dari kelab untuk mewakili negara. Jadi, kalau pemain bermain tak bagus, jangan salahkan bahawa latihan FAM tak betul."Lahirnya seseorang pemain adalah dari kelab bukan FAM. Saya cakap fakta, saya tak cakap suka-suka. Bukan saya tak suka TMJ (Tunku Ismail) atau JDT, tidak. Saya komen dari segi kenyataan, yang mesti kita terima hakikat," katanya kepada BH Sukan, semalam.

Selain itu, Jamal menganggap punca utama kemerosotan prestasi Safawi adalah disebabkan pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu tidak mendapat minit permainan yang kompetitif mencukupi.

Beliau turut menyifatkan tindakan JDT meminjamkan Safawi ke kelab Portimonense sebelum ini juga sebagai satu kerugian selepas dia tidak beraksi sebarang perlawanan dalam Liga Portugal.

"Bola sepak memerlukan minit permainan dan perlawanan kompetitif. Kalau setakat pergi (ke Portugal) untuk berlatih tiada guna, ia memberi kesan (kepada persembahan pemain) kerana bola sepak ini seni.

"Safawi merosot bukan sebab siapa-siapa, dia merosot sebab tak cukup permainan kompetitif. Kalau kerana kecederaan, kita sudah ada doktor dan fisioterapi pasukan untuk memastikan sama ada dia layak atau tidak untuk dibawa (bersama pasukan)," katanya.1

__________________________________________________

1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/06/833062/jdt-perlu-bertanggungjawab-prestasi-

hambar-safawi

Sabtu, 26 Jun 2021

TMJ selar pengurusan Harimau Malaya

 SUKAN



SAFAWI dilihat bergelut untuk mencari prestasi terbaik bersama JDT selepas pulang daripada tugasan bersama skuad kebangsaan. – FB JOHOR SOUTHERN TIGER

TMJ selar pengurusan Harimau Malaya

Oleh MOHD KHAIRI MOHAMAD

27 Jun 2021, 10:15 am

PEMILIK kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengkritik pengurusan skuad Harimau Malaya apabila menjadi ‘dalang’ kemerosotan pres­tasi yang dialami oleh pemain sensasi, Safawi Rasid.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) mendakwa prestasi Safawi ketika pulang daripada tempoh pinjaman bersama kelab Liga Portugal, Portimonense SC cukup baik.

Lepas pulang daripada Portugal dia (Safawi) menjaringkan gol. Aksi pertama Piala Sumbangsih dah jaringkan gol. Selepas itu dia alami kecederaan. Pulih daripada kecederaan dia jaringkan gol lagi.

Belum 100 peratus pulih, jurulatih (Tan Cheng Hoe) ambil untuk Harimau Malaya. Sesi latihan yang intensiti rendah. Sampai sekarang ‘down’.

Sekarang kami kena ‘repair’ dia macam kami kena ‘repair’ setiap pemain kebangsaan yang dapat panggilan yang pergi berlatih macam pergi bercuti,” katanya yang membalas kritikan netizen di laman Instagram semalam.

Sebagai rekod, seramai 13 pemain JDT ‘diperam’ dalam skuad kebangsaan selama hampir sebulan bermula pertengahan Mei lalu bagi mengharungi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Bagaimanapun, sebaik pulang ke pangkuan Harimau Selatan minggu lalu, beberapa tonggak utama pasukan termasuk Safawi agak bergelut khususnya dalam membantu pasukan yang kini bersaing pada peringkat Kumpulan G saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Thailand.

Sebelum ini, TMJ turut secara terbuka menawarkan diri untuk menguruskan skuad Harimau Malaya selepas kecewa menyaksikan kegagalan pasukan mempamerkan aksi yang diharapkan di UAE.

Antara bentuk perubahan yang mungkin dibawa Tunku Ismail dalam pasukan adalah melantik jurulatih baharu, menyediakan fasiliti latihan terbaik serta memanggil pemain yang benar-benar bersedia untuk menyarung jersi negara.1

______________________________________

1https://www.kosmo.com.my/2021/06/27/tmj-selar-pengurusan-harimau-malaya/

Latihan skuad kebangsaan berintensiti rendah – TMJ



TUNKU ISMAIL SULTAN IBRAHIM

Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM

27 Jun 2021, 11:00 am

JOHOR BAHRU: Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menuding jari terhadap skuad kebangsaan yang melakukan latihan berintensiti rendah sehingga menjadi punca ayam tambatannya, Safawi Rasid hilang taring.

Tunku Mahkota Johor memberitahu, perkara sama turut berlaku kepada pemain lain apabila pulang ke pasukan setelah dipanggil menyertai latihan bersama skuad kebangsaan.

Biarpun dikritik hebat sele­pas bergelut untuk memberikan persembahan yang terbaik, Tunku Ismail tetap mempertahankan Safawi dan menjelaskan JDT dalam proses membantu memperbaiki prestasi pemain kelahiran Terengganu itu.“Lepas pulang daripada Portugal, dia banyak menjaringkan (gol). Dalam aksi pertama iaitu perlawanan Sumbangsih dia sudah menjaringkan gol. Selepas itu dia alami kecederaan, namun masih temui sentuhan penyudah selepas pulih.

Belum pulih 100 peratus da­ripada kecederaan, jurulatih (Tan Cheng Hoe) mengambilnya untuk sertai Harimau Malaya. Kesan daripada latihan intensiti rendah, sampai sekarang prestasinya masih menurun.

Sekarang kami kena perbaiki dia macam kami kena bantu setiap pemain menyertai pasukan kebangsaan bagi menjalani latihan pusat macam pergi makan angin,” kata Tunku Ismail.

Tunku Ismail berkata demi­kian menerusi komen di Instagram ekorharimaumalaya yang menyifatkan persembahan Safawi kurang memberangsangkan pada aksi Liga Juara-Juara bertemu Ratchaburi, semalam.

Pada perlawanan itu, Safawi masuk sebagai pemain gantian menggantikan Akhyar Rashid namun kemasukannya dilihat ga­gal memberi impak.

Ketika menyertai skuad kebangsaan baki kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 yang berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), penyerang berusia 24 tahun itu menjaringkan satu gol menerusi sepakan penalti membantu pasukan menang 1-0 ke atas Thailand. – UTUSAN.1

_____________________________________________

1https://www.utusan.com.my/terkini/2021/06/latihan-skuad-kebangsaan-berintensiti-rendah-tmj/

Tunku Ismail tampil pertahan Safawi

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



PRESTASI Safawi menurun sejak kebelakangan ini. FOTO Johor Southern Tigers

Kuala Lumpur: Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menemplak pengurusan skuad Harimau Malaya apabila kelabnya terpaksa menanggung kecederaan dan prestasi pemain dek kerana latihan yang tidak mencapai intensiti yang sepatutnya.

Seramai 13 pemain JDT berada dalam skuad kebangsaan selama hampir sebulan pada pertengahan Mei lalu bagi mengharungi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Bagaimanapun sebaik pemain pulang ke pangkuan skuad Harimau Selatan minggu lalu, beberapa tonggak utama pasukan seperti Safawi Rasid dilihat masih gagal mencapai tahap sebenar dan ia terserlah pada saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang sedang berlangsung ketika ini di Bangkok, Thailand.

Lantas, ramai pihak terutamanya penyokong tidak senang dengan prestasi Safawi yang hilang sentuhannya apabila gagal memberi impak yang diharapkan.

Begitupun, Tunku Ismail tampil mempertahankan anak buahnya itu apabila menyalahkan skuad kebangsaan yang gagal menyediakan Safawi di tahap terbaik dan menyifatkan anak didik Tan Cheng Hoe seolah pergi bercuti dan bukannya berlatih di UAE.

"Lepas pulang daripada Portugal dia (Safawi) menjaringkan gol. Aksi pertama sumbangsih dah jaringkan gol. Selepas itu dia alami kecederaan. Pulih dari kecederaan dia jaringkan gol lagi.

"Belum 100 peratus pulih jurulatih (Cheng Hoe) ambik untuk Harimau Malaya. Sesi latihan yang intensiti rendah. Sampai sekarang 'down'.

"Sekarang kami kena 'repair' dia macam kami kena 'repair setiap pemain kebangsaan yang dapat panggilan yang pergi berlatih macam pergi bercuti," katanya yang membalas kritikan netizen di laman Instagram semalam.

Sebelum ini, Tunku Ismail secara terbuka menawarkan diri untuk menguruskan skuad Harimau Malaya selepas kecewa dengan prestasi tidak memuaskan dalam kempen Kelayakan Piala Dunia di UAE.

Antara bentuk perubahan yang mungkin di bawa Tunku Ismail dalam pasukan adalah melantik jurulatih baharu, menyediakan fasiliti latihan terbaik serta memanggil pemain yang benar-benar bersedia untuk menyarung jersi negara.Malaysia sekadar menamatkan kedudukan di tangga ketiga di belakang UAE dan Vietnam yang muncul juara dan naib juara Kumpulan G sekaligus menempah slot ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia dan layak automatik ke Piala Asia.

Skuad negara tidak layak ke Piala Dunia namun masih berpeluang merebut tiket ke Piala Asia apabila bakal bersaing di pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia pada Februari tahun depan.Disiarkan pada: Jun 26, 2021 @ 12:57pm.1

_________________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/06/722843/tunku-ismail-tampil-pertahan-safawi

Jumaat, 18 Jun 2021

Maafkan saya - Safawi

Syazwan Msar

mohdsyazwan@hmetro.com.my



Pemain Harimau Malaya, Safawi Rasid (kiri) meraikan jaringannya ketika berdepan Thailand.

Kuala Lumpur: Gara-gara terlalu 'over' meraikan gol penalti seolah-olah menyindir pengkritiknya hingga menimbulkan rasa tidak puas hati peminat bola sepak tanah air, tonggak Harimau Malaya Safawi Rasid akhirnya tampil memohon maaf di atas perbuatannya itu.

Safawi yang juga pemain sayap Johor Darul Ta'zim (JDT) tampil memohon maaf menerusi laman instagramnya selepas menyedari tindakan terbabit mengguris dan menyinggung perasaan penyokong bola sepak tanah air.

"Terima kasih kepada penyokong dan penonton yang selalu ada di belakang kami (Harimau Malaya), saya minta maaf atas celebration (meraikan gol) yang tidak menyenangkan itu, perkara tersebut tidak akan berulang lagi. Maaf sekali lagi," katanya.

Terdahulu, pemain paling bernilai 2018 dan 2019 itu berjaya menyumbat gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-55 sekali gus berjaya menundukkan Thailand 1-0 untuk berada di kedudukan ketiga Kumpulan G saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

Namun, tindakannya meraikan gol dengan menyuruh 'keyboard warrior' atau penyokong yang mengkritiknya supaya menutup mulut mengundang rasa tidak puas hati pelbagai pihak.

Dia juga turut dilihat menjerit tanda puas disusuli aksi melompat tinggi ke udara dan berlaga dada dengan Giulherme De Paula yang dilihat agak keterlaluan.

Malah, jaringan itu yang berpunca daripada sepakan penalti dianggap oleh pemerhati bola sepak tidak memberi sebarang erti atau membuktikan pemain berasal dari Dungun, https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/06/719506/maafkan-saya-safawiTerengganu itu berada pada tahap terbaik.

Mengikut rekod, prestasi Safawi pada baki perlawanan kempen kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 dilihat tenggelam hingga dia gagal untuk beraksi 90 minit apabila diturunkan pengendali Harimau Malaya Tan Cheng Hoe.Disiarkan pada: Jun 18, 2021 @ 3:31pm.1

________________________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/06/719506/maafkan-saya-safawi(diakses pada 18 Jun 2021)

Khamis, 17 Jun 2021

Safawi minta maaf, mengaku silap ketika meraikan gol



CARA Safawi dan De Paula meraikan gol juga tidak disenangi penyokong. - IHSAN MEDIA SOSIAL

Oleh Meja Sukan

18 Jun 2021, 12:18 pm

PETALING JAYA: Safawi Rasid meminta maaf atas kesilapannya meraikan jaringan pasukan negara ketika membantu Harimau Malaya menewaskan Thailand 1-0 dalam perlawanan terakhir Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Rabu lalu.

Dalam hantaran di Instagram Story di akaun Safawi Rasid @safawirasid29, pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) itu juga berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut.

Alhamdulillah syukur, terima kasih kepada penyokong dan penonton yang selalu ada di belakang kami.

Saya minta maaf atas celebration yang tidak menyenangkan itu.

Perkara tersebut tidak akan berulang lagi, maaf sekali lagi,” kata Safawi.

Safawi, 24, mencetus kemarahan penyokong apabila menunjukkan gaya menekan papan kekunci sebelum meletakkan jari di bibir sebagai isyarat diam sejurus selepas menyempurnakan sepakan penalti yang membantu Malaysia mencatat satu-satunya kemenangan dalam tiga perlawanan yang diharungi di Dubai.

Ramai yang menganggap perbuatan itu ditujukan kepada keyboard warriors atau ‘tentera bawang’ yang sering mengkritik persembahan pasukan negara dalam media sosial.

Tidak hanya berang dengan perbuatan ‘menekan papan kekunci’ Safawi, penyokong Harimau Malaya juga menyindir cara pemain kelahiran Terengganu itu ketika meraikan jaringannya bersama penyerang naturalisasi, Guilherme de Paula.

Kedua-dua mereka melompat, sebelum melagakan dada, perbuatan yang disifatkan peminat agak keterlaluan melihat kepada prestasi ‘sederhana’ Harimau Malaya dan kemenangan hanya diraih menerusi sepakan penalti.1

__________________________________________________

Gol penalti Safawi ‘diamkan’ pengkritik

 SUKAN



SAFAWI meraikan jaringannya bersama Syafiq Ahmad ketika membantu Harimau Malaya menewaskan Thailand 1-0 pada aksi terakhir Kumpulan G di Stadium Al Maktoum, Dubai awal pagi semalam. – NASIRRUDDIN YAZID/FAM

Gol penalti Safawi ‘diamkan’ pengkritik

Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH

17 Jun 2021, 10:40 am

BINTANG Harimau Malaya, Muhammad Safawi Rasid enggan menganggap dirinya sebagai pemain terbaik perlawanan meskipun muncul wira selepas me­nyempurnakan sepakan penalti untuk menewaskan Thailand 1-0 di Stadium Al Maktoum, Dubai awal pagi semalam.

Ia kemenangan sangat bermakna buat Harimau Malaya yang akhirnya berjaya menutup kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, sekali gus menamatkan badi empat kekalahan berturut-turut di pentas antarabangsa.

Walaupun hanya sepakan pe­nalti, namun gol itu meredakan tekanan dan menutup mulut para pengkritik yang mempertikaikan kemampuan pemain sayap sensasi Johor Darul Ta’zim itu dalam skuad kebangsaan.

Bukan saya pemain terbaik perlawanan, tetapi semua pemain layak meraihnya. Ia bukan perlawanan mudah menentang Thailand, tetapi kami bagi komitmen terbaik dan memberikan segala-galanya untuk memastikan tiga mata dibawa pulang.

Pujian dan penghormatan harus diberikan kepada semua pemain, ketua jurulatih, barisan kejurulatihan dan staf pasukan,” katanya.

Safawi, 24, yang dikritik hebat dalam dua perlawanan terdahulu, membuktikan dia masih relevan dalam skuad kebangsaan apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-52 selepas dia dijatuhkan pertahanan Thailand, Ernesto Phumipha.

Kemenangan itu menyaksikan Harimau Malaya menutup kempen Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada tempat ketiga di belakang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam.

Ia sekali gus melayakkan Malaysia secara automatik ke pu­singan kelayakan ketiga Piala Asia 2023 bersaing dengan 24 pasukan bertanding untuk me­rebut 11 slot ke pusingan akhir nanti.

Sebanyak 13 pasukan layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 termasuk tuan rumah, China, Jepun, Syria, Qatar, Korea Selatan, Australia, UAE, Iran, Arab Saudi, Vietnam, Lebanon, Oman dan Iraq.1

________________________________________________

Rabu, 16 Jun 2021

Safawi lega bantu Harimau Malaya menang

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



SAFAWI (kiri) berkata kejayaan melakar tiga mata itu adalah ‘buah tangan’ terbaik buat penyokong bola sepak tempatan. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia

Kuala Lumpur: Penjaring tunggal negara, Safawi Rasid mengakui lega apabila sepakan penaltinya berjaya membantu skuad Harimau Malaya merakam kemenangan tipis 1-0 ke atas Thailand dalam Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al Maktoum, Dubai, awal pagi tadi.

Safawi yang dimasukkan sebagai pemain gantian pada awal babak kedua tidak menunggu lama untuk memecah kebuntuan apabila mudah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-52 selepas dia dijatuhkan dalam kotak penalti.

Jelas pemain sayap berusia 24 tahun itu, kejayaan melakar tiga mata itu adalah 'buah tangan' terbaik buat penyokong bola sepak tempatan yang selama ini sentiasa berada di belakang pasukan.

Malah, Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) sebanyak dua kali itu (2018, 2019) turut dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan itu.

Bagaimanapun, tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) itu menganggap keseluruhan pasukan adalah pemain terbaik pada aksi terakhir Kumpulan G menentang skuad Gajah Perang itu.

"Pertama sekali tahniah kepada pasukan yang beri komitmen terbaik dan 'superb' malam ini (awal pagi tadi).

"Bukan mudah lawan Thailand, tapi saya rasa dari pihak pengurusan, barisan kejurulatihan, pemain hari ini kita berikan all out untuk meraih kemenangan dan tiga mata bagi di bawa balik ke Malaysia.

"Bagi saya bukan saya pemain terbaik perlawanan, tetapi keseluruhan pasukan," katanya pada sidang media selepas aksi terbabit.

Kemenangan ke atas Thailand yang dibimbing jurulatih dari Jepun, Akira Nishino itu meletakkan Malaysia menduduki tangga ketiga kumpulan dengan 12 mata daripada lapan aksi untuk menolak jiran tetangga itu ke tempat keempat dengan sembilan mata.

Kejayaan berkenaan turut menyaksikan skuad negara meraih slot ke peringkat kumpulan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia yang dijadualkan berlangsung pada 11 November depan untuk merebut 12 tiket ke pusingan akhir di China pada 2023 nanti.

Untuk rekod, hasrat beraksi ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia musnah selepas anak didik Tan Cheng Hoe tewas dalam dua aksi terdahulu kepada tuan rumah (0-4) dan Vietnam (1-2) untuk mengucapkan selamat tinggal ke Piala Dunia.

Disiarkan pada: Jun 16, 2021 @ 12:50pm.1

_________________________________________________

Gol tunggal Safawi tundukkan Thailand

 



SAFAWI Rasid meraikan gol kemenangan selepas menyudahkan sepakan penalti bersama Syafiq Ahmad - Ihsan FAM

Oleh ROZAIDI ZULKIFLI

16 Jun 2021, 3:00 am

PETALING JAYA : Skuad Harimau Malaya akhir berjaya merasai kemanisan kemenangan selepas menundukkan Thailand 1-0 dalam aksi terakhir kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al Maktoum, sebentar tadi.

Keputusan itu membantu skuad kebangsaan mengakhiri kempen kelayakan di kedudukan ketiga kumpulan dan pulang ke tanah air sekurang-kurang membawa pulang satu keputusan positif.

Sebaik sahaja wisel permulaan ditiup, anak buah Tan Cheng Hoe bermula garang apabila hampir didepan pada minit kesembilan namun peluang itu gagal disudahkan pemain sayap negara, Akhyar Rashid biarpun berdepan situasi satu lawan satu dengan penjaga gol Thailand, Chatchai Budprom.

Skuad Harimau Malaya sekali lagi menguji Chatchai dan kali ini menerusi tandukan penyerang naturalisasi, Guilherme De Paula namun bola tepat ke dakapan penjaga gol berusia 34 tahun itu pada minit ke-21.

Enam minit kemudian, giliran pertahanan negara, Aidil Zafuan Abd Radzak pula mempunyai peluang namun sekali lagi tandukannya tepat menuju ke dakapan Chatchai.

Pemain tengah negara, Nor Azam Azih turut membuat Chatchai cemas menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-41 namun percubaan itu masih gagal menggegar jaring lawan.

Skuad Gajah Perang juga berjaya mencipta beberapa peluang namun buntu untuk menembusi gawang gol negara yang dikawal Khairulazhan Khalid menyaksikan kedudukan 0-0 kekal sehingga berakhir babak pertama.

Bersambung babak kedua, skuad negara dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan, Mohammed Khled selepas pertahanan Thailand menjatuhkan Safawi Rasid.

Peluang keemasan itu dimanfaatkan oleh bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu untuk membuka tirai jaringan buat skuad Harimau Malaya pada minit ke-52.

Tersentak dengan jaringan itu, Thailand hampir menyamakan kedudukan namun tandukan penyerang, Suphanat Mueanta berjaya diselamatkan Khairulazhan pada minit ke-59.

De Paula turut berpeluang mencetak nama sebagai penjaring namun rembatannya dalam kotak penalti pada minit ke-65 sedikit tersasar melepasi palang gol lawan.

Begitupun, 10 minit terakhir skuad negara seperti hilang rentak, selain beberapa pemain kelihatan keletihan apabila lebih banyak bertahan di tempat sendiri dengan menerima asakan bertali arus pasukan Thailand.

Kemenangan itu meletakkan Malaysia menamatkan kempen pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di tangga ketiga dengan 12 mata dibelakang Vietnam di tangga kedua (17) dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) muncul juara kumpulan G (18).

UAE berjaya muncul juara selepas menewaskan Vietnam 3-2 dalam aksi terakhir kumpulan pada waktu yang sama.

Terdahulu, pada pertemuan pertama kedua-dua pasukan di Stadium Nasional Bukit Jalil, 14 November 2019 menyaksikan Malaysia turut melakar kemenangan 2-1 ke atas Thailand.1

______________________________________________________

Isnin, 24 Mei 2021

'Goodluck Harimau Malaya, Superwi' - Syifa

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



Tonggak skuad kebangsaan, Safawi Rasid.

Kuala Lumpur: "Doaku sentiasa bersamamu Superwi." Itu titipan doa mengiringi perjuangan bintang bola sepak negara, Safawi Rasid yang ketika ini bersama skuad Harimau Malaya dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Ucapan doa dan selamat maju jaya itu diluahkan pelakon, Syifa Melvin buat kekasihnya itu di Story Instagram miliknya dengan turut meletakkan emoji love.

Malah, Safawi atau kini diberi gelaran Superwi oleh peminat bola sepak tempatan turut memuatnaik semula ucapan itu di laman sama kepunyaannya dengan membalas emoji kasih sayang.

"Semoga perjalanan ke Dubai selamat, Insya Allah kembali dengan kejayaan yang membanggakan negara dan kelab (ACL untuk JDT). Selamat maju jaya Harimau Malaya dan awak," tulis Syifa.

Kisah percintaan Safawi dan Syifa sebenarnya bukan rahsia lagi apabila pelakon yang juga adik kepada Syatilla Melvin itu pernah dilihat bersama keluarga Safawi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Klia) di Sepang ketika menghantar pemain itu untuk beraksi di Portugal.

Malah, Syifa sendiri pernah memuatnaik janji di laman sosial untuk menjaga keluarga Safawi sepanjang ketiadaan pemain sayap itu di Eropah bersama kelab Portimonense SC pada penghujung tahun lalu.

Ketika ini, skuad negara sedang berada di UAE bagi membuat persiapan terakhir menjelang kempen kelayakan menentang tuan rumah pada 3 Jun ini serta dua lagi aksi bertemu Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun) untuk mencongak peluang mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia serta tiket automatik ke Piala Asia.

Ucapan istimewa dari kekasihnya itu diharapkan dapat melonjakkan semangat dan motivasi Safawi membantu pasukan negara pada kempen kelayakan itu.

Disiarkan pada: Mei 24, 2021 @ 1:16pm.1

________________________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/05/709525/goodluck-harimau-malaya-superwi-syifa

Ahad, 23 Mei 2021

Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia: Safawi harap skuad negara segera serasi

Muzaffar Musa

Mei 22, 2021 19:56 MYT



Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia: Safawi harap skuad negara segera serasi

Penyerang negara, Safawi Rasid, berharap kesemua pemain Harimau Malaya dapat segera menemui keserasian menjelang kempen pusingan kedua kelayakan Piala Dunia/ Piala Asia di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan depan.

Menjelang aksi pemanas badan menentang Kuwait di Dubai malam esok, bintang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu yakin pemain yang baru dipanggil skuad kebangsaan -- antaranya penyerang muda, Lukman Hakim Shamsudin -- dapat menyumbangkan sesuatu buat pasukan dan keserasian perlu segera ditemui mereka sebagai persiapan terbaik sebelum memulakan kempen berkenaan.

"Kami semua agak akrab dan bersatu hati kerana di sini kami perlu cepat (menyesuaikan diri) memandangkan sudah lama tidak bersama," katanya seperti yang dilaporkan Nadi Arena.

"Ini merupakan aksi pemanas badan kami, jadi setiap pemain perlu cepat serasi di antara satu sama lain kerana ia amat penting untuk perlawanan seterusnya.

"Daripada segi taktikal juga, kami perlu cepat serasi untuk mendapatkan kombinasi terbaik.

"Saya rasa ini adalah pasukan terbaik untuk kejohanan ini, jadi saya anggap pemain yang baru (dipanggil) dapat memberikan sesuatu buat pasukan. Saya harap pasukan kita akan layak ke pusingan berikutnya," katanya

Skuad negara akan memulakan kempen kelayakan itu dengan berdepan pasukan tuan rumah, UAE, pada 4 Jun ini.

Malaysia kini berada di tangga kedua Kumpulan G dan hanya ketinggalan dua mata di belakang pendahulu, Vietnam.1

_________________________________