MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my

Presiden Persatuan Jurulatih
Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, perancangan Persatuan
Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menghantar lima pemain muda dari usia 18 hingga
23 tahun beraksi di Liga Jepun kemungkinan terbantut sekiranya mentaliti pemain
negara masih ditakuk lama.
Katanya, pemain tempatan perlu
menghargai setiap peluang yang disediakan dengan tidak mengulangi ‘skrip’ sama
seperti pemain terdahulu yang membuat pusingan ‘U’ pulang ke tanah air.
“Usaha FAM sangat baik apabila
terus berusaha menjalinkan kerjasama dengan negara luar dan penghantaran pemain
muda beraksi di liga luar adalah perancangan bagus.
“Tapi persoalannya, mampukah
pemain ini kekal main di luar seperti Liga Jepun. Kadang-kadang sebab benda
remeh-temeh macam rindu kekasih lah, rindu roti canai lah, nasi lemak dan
sebagainya menyebabkan pemain kita tak tahan lama.
“Mental pemain juga cepat ‘koyak’
terutama bila dapat tekanan, dah merajuk nak balik. Jadi kalau perkara ini tak
ubah, sia-sia saja usaha FAM itu,” katanya ketika dihubungi Arena Metro,
semalam.
Kelmarin, Presiden FAM Datuk
Hamidin Mohd Amin berkata, peluang beberapa pemain muda berbakat termasuk dua
tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid dan Akhyar Rashid untuk beraksi
di luar negara terbentang luas terutama di Liga Satu (J1) Jepun.
Ia susulan permintaan Persatuan
Bolasepak Jepun (JFA) yang mahu FAM mencadangkan pemain terbaik untuk beraksi
di negara Matahari Terbit itu selewat-lewatnya pada saingan musim ini.
Safawi dan Akhyar dikatakan
berpeluang cerah berguru di Liga J selepas memenuhi kriteria yang ditetapkan,
bagaimanapun ia perlu mendapat kelulusan dan pelepasan JDT bagi merealisasikan
impian itu.
“Saya cadangkan sebelum pergi,
FAM kena buat kursus atau program kepada pemain terpilih mengenai budaya,
bahasa dan pemakanan di Jepun supaya pemain bersiap sedia untuk ke sana,” kata
bekas pengendali kebangsaan itu.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada
: Sabtu, 6 Julai 2019 @ 6:01 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan