SAFAWI Rasid dinobat sebagai pemenang anugerah bulanan
Pemain Terbaik Liga Super PFAM-ASIANA edisi Julai.
26 September 2019 8:15 PM
KUALA LUMPUR 26 Sept. - Bintang Johor Darul Ta’zim
(JDT), Safawi Rasid berharap lebih banyak pemain tempatan akan memenangi
anugerah bulanan Pemain Terbaik Liga Super Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional
Malaysia (PFAM)- PFAM-Asiana.my selepas dinobat sebagai pemenang edisi Julai
hari ini.
Safawi, 22, menerima undian tertinggi dengan 33.18
peratus (4,346 Undi) mengalahkan empat calon lain iaitu Sanjar Shaakhmedov
(Terengganu FC - 27.60 peratus/3,615 Undi), Sandro Da Silva (Selangor - 18.74
peratus/2,454 Undi), Herold Goulon (Pahang - 18.45 peratus/2,417 Undi) dan
Washington Brandao dari PJ City FC (2.04 peratus/267 Undi).
Anugerah itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif
PFAM, Izham Ismail di Johor Bharu hari ini. Turut hadir pada majlis tersebut adalah
pengasas asiana.my, Kamarul Akhir Mohamed Zan.
Safawi yang ditemui selepas majlis penyerahan tersebut
nyata gembira dan menyifatkan kerjasama dalam pasukan JDT turut menyumbang
kepada kemenangannya.
“Alhamdulillah, saya ucapkan terima kasih kepada PFAM
diatas penganjuran anugerah ini dan tidak lupa kepada penyokong JDT yang
sentiasa memberikan sokongan kepada saya dan menterjemahkan sokongan ini kepada
undian.
“Saya juga berharap lebih banyak pemain tempatan akan
muncul sebagai pemain terbaik bulanan pada masa akan datang,” katanya.
Safawi adalah pemain ketujuh JDT yang berjaya memenangi
anugerah tersebut selepas Luciano Figueroa (Julai 2015), Safiq Rahim (November
2015), Jorge Pereyra Diaz (Mac 2016), Juan Martin Lucero (April 2016), Izham
Tarmizi Roslan (Mei 2016) dan Naxto Insa (September 2017)
Dia menerima sebuah trofi dan sebingkai gambar
sumbangan asiana.my, wang tunai berjumlah RM1500, jersi khas tajaan Great
Heights dan gel sukan aktif tajaan Maselfix.
Secara keseluruhana, undian bagi Anugerah Pemain
Terbaik Liga Super PFAM-Asiana.my bagi musim 2019 mencatatkan jumlah
tertinggi sepanjang lima tahun penganjuran dengan 102,607 undi berbanding
33,193 pada 2018.
SUMBER-UTUSAN MALAYSIA ONLINE 26 September 2019 8:15 PM