Cheng Hoe mahu para pemain lakar keputusan positif
MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI
30 Ogos 2019 9:50 AM
CHENG HOE (kiri) bersama penyerang Harimau Malaya, Safawi Rasid bercakap
pada sidang akhbar menjelang aksi menentang Jordan di Stadium Nasional, Bukit
Jalil, Kuala Lumpur semalam.
KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mempunyai misi
serampang dua mata menjelang perlawanan antarabangsa menentang Jordan di
Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam ini.
Kata Cheng Hoe, aksi menentang Jordan boleh dianggap sebagai medan untuk
memilih barisan 23 pemain yang akan dikekalkan untuk mengharungi saingan
kelayakan Piala Asia 2023/Piala Dunia 2022 yang akan bermula minggu depan.
Selain itu, Cheng Hoe mahu anak-anak buahnya melakar keputusan positif
dalam misi menaikkan ranking skuad Harimau Malaya yang kini berada di
kedudukan ke-159 dunia selain meningkatkan moral sebelum bertemu musuh tradisi,
Indonesia minggu depan.
“Kami telah melakukan persiapan terbaik sepanjang minggu dan barisan pemain
berada dalam keadaan yang sangat memuaskan untuk mengharungi perlawanan
menentang Jordan dan ia boleh dianggap sebagai medan ujian serta pemanas badan
sebelum bertemu Indonesia.
“Pemain juga tahu senarai pemain 23 yang akan bersama skuad Harimau Malaya
akan diumumkan selepas aksi menentang Jordan nanti dan saya harap mereka dapat
membuktikan keupayaan pada aksi kali ini,” katanya pada sidang akhbar di
Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.
Mengulas lanjut, Cheng Hoe enggan memikirkan status pasukan lawan yang
kemungkinan menurunkan barisan muda kerana apa yang penting adalah kualiti
pasukan Jordan hampir sama dengan skuad Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
“Tidak kisah mereka turunkan sama ada pasukan A atau pasukan B kerana apa
yang penting keputusan yang diraih nanti adalah positif dan berpotensi untuk
menaikkan ranking pasukan.
“Dalam perkembangan sama, saya percaya Jordan adalah pilihan tepat untuk
menguji pasukan Malaysia kerana selepas aksi bertemu Indonesia, kami dijadualkan
menentang UAE yang kualitinya tidak terlalu berbeza,” katanya.
Selain daripada Indonesia dan UAE, skuad negara diundi dalam Kumpulan G
pada kelayakan Piala Asia 2023/Piala Dunia 2022 bersama Thailand dan Vietnam.
SUMBER-KOSMO ONLINE 30 Ogos 2019 9:50 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan