Selasa, 26 Mac 2019

Ayuh roboh Tembok Besar

GANDINGAN Safawi Rasid (kiri), Akhyar Rashid (tengah) dan Syahmi
GANDINGAN Safawi Rasid (kiri), Akhyar Rashid (tengah) dan Syahmi Safari menjadi sandaran Malaysia untuk menentang China dalam kelayakan Kejuaraan AFC B-23 di Stadium Shah Alam, malam ini.
FADHILUL IZMEL ISHAK

26 Mac 2019 3:00 AM
KUALA LUMPUR 25 Mac - Seri atau kalah tidak akan membawa Malaysia ke mana-mana.

Dalam kata lain, Malaysia mesti menumpaskan China dalam aksi terakhir Kumpulan J esok jika mahu me­raih tiket ke Kejua­raan AFC bawah 23 (B-23) di Bangkok, tahun depan.


Di atas kertas ia nampak sukar kerana China telah meledak 13 gol dalam dua perlawanan pertama selepas membelasah Laos 5-0 dan Filipina 8-0, namun jangan dilupa ada sebab mengapa Malaysia digelar ‘pembunuh gergasi’.

Skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee yang mengalahkan Filipina 3-0 dan Laos 1-0 dalam aksi terdahulu mengejutkan Arab Saudi dan Korea Selatan ketika memahat sejarah ke suku akhir Kejuaraan AFC B-23 di China, tahun lalu.

Kejayaan melayakkan diri ke Bangkok menawarkan tiket Sukan Olimpik 2020 untuk direbut, sasaran utama Kim Swee dan anak-anak buahnya.

“Esok kita turun dengan satu objektif iaitu mesti menang. Memang tidak mudah tetapi bukan mustahil,” kata Kim Swee.

Berdasarkan format pertan­­dingan, 11 juara kumpulan akan layak secara automatik ke pu­singan akhir, diikuti empat naib juara terbaik manakala Thailand sudah mengesahkan tiket selaku tuan rumah dari 8-26 Januari.

Biarpun ada empat slot ditawarkan kepada naib juara kumpulan, namun peluang Malaysia untuk layak cukup tipis kerana berada di ranking kelapan.

Selepas merehatkan beberapa tonggak seperti Safawi Rasid dan Nik Syahiran Nik Mat dalam kesebelasan utama menentang Laos, Kim Swee bersedia menurunkan semula barisan terbaiknya esok.



sumberArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/ayuh-roboh-tembok-besar-1.869722#ixzz5jGPoi2bB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 25 Mac 2019

Terima kasih Safawi!


MyMetroArena
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my
 
GOL tunggal pemain gantian Safawi Rasid membantu Malaysia mengatasi Laos 1-0 pada aksi kelayakan Kejohanan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Stadium Shah Alam, malam ini.

Sepakan percuma lencong Safawi dari sebelah kanan mengelirukan penjaga gol Laos, Kaharn Phetsivilay sekali gus melegakan skuad Ong Kim Swee yang mengharapkan kemenangan bagi mencerahkan peluang beraksi pada pusingan akhir di Bangkok, tahun depan.

Walaupun skuad negara perlu menjaringkan lebih banyak gol untuk bersaing dengan China namun kemenangan itu memberi kelebihan kepada mereka dan kekal menghuni tangga kedua kumpulan.

Kim Swee membuat percaturan mengejutkan apabila meletakkan Safawi dan Hadi Fayyadh Razak di bangku simpanan sebaliknya menampilkan Nik Azli Nik Alias dan Faisal Halim di jentera serangan.

Faisal, yang menjaringkan satu gol ketika menang 3-0 ke atas Filipina, bagaimanapun gagal bertindak cemerlang.

Malah Nik Azli dilayangkan kad kuning pada babak pertama kerana didakwa sengaja menjatuhkan badan untuk mendapatkan sepakan penalti.


NIK Azli (kanan) dipersalahkan pengadil kerana didakwa melayangkan badan untuk mencari penalti. — FOTO Sairien Nafis
Laos kendalian V Sundramoorthy yang sekali-sekala melancarkan serangan balas hampir menyumbat gol menerusi rembatan pemain tengah Vannasone Douangmaity pada minit ke-35 namun terkena palang sekali gus melegakan skuad B-23 negara.

Kim Swee akhirnya memasukkan Safawi menggantikan Faisal Halim manakala Jafri Firdaus Chew mengambil tempat Nik Azli dan ia sedikit sebanyak mengubah rentak perlawanan.

Sembilan minit sebelum tamat, Safawi menyelamatkan air muka Kim Swee dengan gol yang dinanti-nanti menerusi sepakan percuma cantik yang memperdaya penjaga gol lawan.

Malaysia akan berentap dengan China, yang terdahulu membelasah Filipina 8-0, Selasa ini bagi menentukan juara kumpulan.

Jika kalah, Malaysia perlu menanti sama ada mampu muncul antara empat pasukan naib juara kumpulan yang layak ke pusingan akhir.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 11:07 PM

Ahad, 24 Mac 2019

Safawi penyelamat Malaysia


BINTANG muda negara,  Akhyar Rashid melakukan tandukan ke arah
BINTANG muda negara, Akhyar Rashid melakukan tandukan ke arah pintu gol Laos sambil dicabar oleh pertahanan lawan dalam aksi kedua Kumpulan J Kelayakan Piala AFC 2020 di Stadium Shah Alam, malam ini. - IQBAL ROSLI
24 Mac 2019 10:39 PM

SHAH ALAM 24 Mac - Jaringan pemain gantian, Safawi Rasid pada lewat permainan memastikan Malaysia mengutip tiga mata berharga selepas berhempas pulas menewaskan Laos 1-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan J, Kelayakan Kejuaraan AFC B-23 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Safawi yang dibawa masuk pada minit ke-54 menyempurnakan sepakan bebas dari luar kotak penalti pada minit ke-81 untuk memastikan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee mengutip kemenangan kedua berturut-turut.


Tugas berat bakal menanti Malaysia dalam aksi terakhir Kumpulan J, Selasa ini apabila mereka bertemu China yang mengungguli kedudukan teratas dengan mengutip enam mata maksimum, malah meledakkan 13 gol, selain tidak dibolosi.

Hanya juara setiap kumpulan akan layak ke pusingan akhir secara automatik diikuti lima pasukan terbaik di tempat kedua dan itu bermakna skuad kendalian Kim Swee perlu menewaskan China di venue sama bagi memastikan slot automatik menjadi milik mereka.

Kim Swee perlu meningkatkan lagi ketajaman barisan serangan sekiranya berhajat melakar kemenangan ke atas China selain, barisan pertahanan perlu berhati-hati dengan bola hantaran tinggi yang menjadi kelebihan buat lawannya itu.

Satu lagi aksi Kumpulan J menyaksikan China membelasah Filipina 8-0 di venue yang sama di sebelah petang biarpun merehatkan sebahagian besar tonggak utama. - UTUSAN ONLINE
SUMBERArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/safawi-penyelamat-malaysia-1.868961#ixzz5jAC2QG00
© Utusan Melayu (M) Bhd