SUKAN»Bola
Khamis, 31 Januari 2019 | 6:09pm

Safawi yakin pasukannya mampu
mempertahankan Piala Sumbangsih. - Arkib NSTP
Safawi tidak rela diaib Perak
Oleh Rizar Mohd Noor
sukanteam@nstp.com.my
JOHOR BAHRU: Pemain sayap kanan
Johor Darul Ta'zim (JDT) Safawi Rasid yakin pasukannya mampu mempertahankan
Piala Sumbangsih dan mengutip tiga mata pertama apabila berdepan Perak pada
aksi pembuka tirai saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin,
Sabtu ini.
Dia yang dinobat Pemain Paling
Bernilai Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) musim lalu turut bersemangat untuk
berdepan skuad kendalian Mehmet Durakovic yang dilabel pasukan hebat selepas
menjuarai Piala Malaysia musim lalu dan mengakui persiapan pra-musim di
Thailand memberi kesan positif buat JDT.
"Piala Sumbangsih adalah
piala pertama yang dipertandingkan dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) dan
sudah tentu saya dan rakan sepasukan bertekad untuk mempamerkan aksi terbaik
memandangkan kami beraksi di laman sendiri,” kata Safawi.
"Sememangnya keputusan
positif ditagih kerana kami tidak mahu piala berkenaan terlepas kepada pasukan
lawan dan hilang tiga mata, malah kami sudah diterapkan semangat kekeluargaan
dan ia memainkan peranan penting apabila beraksi dalam kancah liga.
"Pada musim 2017, pertama
kali saya beraksi untuk JDT dan ia pengalaman perit selepas tewas 5-4 menerusi
penentuan sepakan penalti dan kami tidak mahu keperitan tiga musim lalu
berulang.”
Musim lalu, JDT merampas kembali
Piala Sumbangsih selepas menewaskan Kedah 2-1 hasil jaringan Luciano Figueroa,
yang kini membimbing skuad Harimau Selatan, dan pemain pertahanan Marcos
Antonio yang tidak lagi bersama skuad itu pada musim ini.
Mengulas mengenai aksi
persahabatan di Thailand, Safawi mengakui betapa komitmen tinggi semua pemain
dalam tiga perlawanan persahabatan yang dianggap kompetitif memberi pengalaman
bermakna bukan sahaja kepada dirinya malah turut membabit rakan sepasukan.
Katanya, setiap pemain memberi
kerjasama antara satu sama lain dan membentuk persefahaman yang baik ketika
menentang tiga kelab dari Thailand malah kombinasi mantap terhasil menerusi
gandingan pemain import dan pemain tempatan.
"Banyak yang kami pelajari
ketika di Thailand dan ia mencetusi inspirasi baharu buat kami untuk
mengharungi kempen Liga M yang kompetitif malah kami perlu berwaspada dengan
Perak yang dibarisi pemain muda.
"Kita tahu Perak bukan
calang-calang pasukan dan mereka mahu cari kemenangan di Larkin. Kita kenalah
beraksi dengan tenang dan fokus sepanjang 90 minit perlawanan tanpa membuat
kesilapan mudah," katanya.
SUMBER BERITA HARIAN ONLNE Khamis,
31 Januari 2019 | 6:09pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan