
PERLAWANAN Piala Malaysia di
antara JDT dan UiTM FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Jumaat lalu
gagal nenarik kehadiran penonton yang ramai. - BERNAMA
Fadhilul Izmel Ishak
06 Ogos 2019 6:00 AM
KUALA LUMPUR - Sudahlah berdepan
kekangan kewangan, kualiti Liga Malaysia (Liga M) pula kurang menarik - dua
faktor utama yang membawa kepada kemerosotan jumlah penonton ke stadium.
Bekas pertahanan Harimau Malaya
yang membawa Malaysia layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980, Datuk Jamal Nasir
Ismail percaya, ekonomi negara yang kurang memberangsangkan menyebabkan peminat
lebih selektif kerana tidak mampu membeli tiket untuk semua perlawanan.
Katanya, harga tiket jelas
membebankan penyokong, terutama mereka yang datang bersama keluarga.
“Dengan keadaan ekonomi yang
teruk, penonton pasti lebih selektif. Kalau satu keluarga ada empat ahli, sudah
berapa harga tiket di situ? Itu belum masuk duit makan minum. Lebih baik mereka
berjimat.
“Betul, memang situasi ini tidak
sihat sebab kantung pasukan juga akan berkurangan tetapi orang berniaga ketika
ini pun teruk.
“Yang datang ke stadium sekarang
mungkin penyokong setia. Saya percaya, apabila Piala Malaysia memasuki
peringkat suku akhir kehadiran penyokong akan bertambah,” katanya kepada Utusan
Malaysia.
Jamal yang memiliki 165 cap
bersama skuad kebangsaan tidak menolak mutu permainan yang dipamer kebanyakan
pasukan turut menjadi penyumbang kepada kemerosotan penyokong di stadium.
Sementara itu, legenda bola sepak
Kelantan, Dali Omar berkata, kualiti permainan kurang menarik antara yang
mendorong peminat ‘menjauhi’ perlawanan.
Dali yang beraksi bersama kelab
Australia, Perth Glory dari 1975 hingga 1977 menegaskan, pasukan Liga M perlu
meningkatkan kualiti permainan jika mahu lebih ‘disayangi’ penyokong.
“Kalau penyokong tak nak pergi
stadium, mana boleh paksa. Orang dah benci. Orang dah jemu. Pemain kita tidak
setaraf. Saya sedih tengok bola sepak tempatan.
“Terus-terang saya katakan, saya
sendiri sudah tidak peduli dengan bola sepak Malaysia,” katanya.
Kempen awal Piala Malaysia 2019
yang membuka tirai, Jumaat lalu menyaksikan kemerosotan ketara penonton ke
stadium, termasuk melibatkan dua pasukan terbaik negara ketika ini - Johor
Darul Ta’zim (JDT) dan Pahang.
Biarpun masih segar menjuarai
Liga Super buat musim keenam berturut-turut, namun hanya 5,860 penonton hadir
ke Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Jumaat lalu ketika JDT mengalahkan
UiTM FC 3-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan B.
Situasi lebih buruk berlaku di
Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Sabtu lalu apabila hanya 4,200 peminat
menonton pertemuan di antara naib juara liga, Pahang dan Pulau Pinang. – SUMBER
UTUSAN 06 Ogos 2019 6:00 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan