MyMetroArena

Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
SELEPAS kecewa pada aksi pertama
siri jelajah pramusim di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Johor Darul Ta'zim (JDT)
bangkit dalam aksi kedua dengan menewaskan kelab Dibba Al-Fujairah 1-0 di
Stadium Club Dibba, semalam.
Anak buah Benjamin Mora yang
tewas 0-2 kepada juara Liga Latvia, FC Riga Isnin lalu, berjaya meraih
kemenangan ke atas kelab divisyen satu UAE itu sekaligus memberi keyakinan
menjelang tiga lagi aksi selepas ini.
Pada aksi itu, skuad Harimau
Selatan tampil dengan kesebelasan terbaik termasuk menurunkan ayam tambatannya,
Diogo Santo dan Safawi Rasid.
Diogo yang berasal dari Brazil
memperagakan ketajamannya apabila meledak gol pertama seawal minit keempat buat
mengejutkan pasukan tuan rumah.
Ketinggalan 1-0 menyaksikan kelab
tuan rumah yang kini berada pada zon penyingkiran Liga UAE memperkemaskan aksi
memburu gol penyamaan.
Namun kekentalan barisan
pertahanan JDT mengekang asakan berterusan tuan rumah membolehkan juara Liga
Super enam kali berturut-turut itu menamatkan saingan dengan kemenangan.
Harimau Selatan yang bakal
beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) buat musim kedua berturut-turut, akan
meneruskan aksi pra musim berdepan skuad kebangsaan Turkmenistan Ahad ini
diikuti kelab Slovakia, MSK Zilina (29 Januari) dan Emirates FC (30 Januari).
Untuk rekod, dalam kempen ACL,
skuad Harimau Selatan diundi dalam Kumpulan G dan akan bertemu Vissel Kobe dari
Jepun pada 12 Februari ini di Stadium Misaki Park, Kobe.
Kemudian gergasi kelab Liga
Malaysia itu akan membuka tirai saingan domestik menentang Kedah bagi merebut
Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, 28 Februari ini.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Jumaat, 24 January 2020 @ 7:50 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan