SUKAN»Bola
Sabtu, 25 Mei 2019 | 2:14pm

SAFAWI Rasid.
Safawi azam beri persembahan
terbaik
Oleh Rizar Mohd Noor
sukanteam@nstp.com.my
JOHOR BAHRU: Kekuatan mental
serta berbekal semangat juang tinggi menjadi azimat buat pemain sayap kanan
Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid untuk melayani kunjungan Kedah pada aksi
Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.
Safawi yang tidak diturunkan pada
aksi terakhir menentang Gyeongnam FC dalam aksi terakhir Kumpulan E Liga
Juara-Juara Asia (ACL), baru-baru ini yang menyaksikan skuad Harimau Selatan
tewas 0-2 tampak mahu mengembalikkan rentak kemenangan pasukan juara liga lima
musim berturut-turut itu.
"Ya..saya tidak diturunkan
dalam aksi terakhir ACL akibat penggantungan satu perlawanan, namun sepanjang
berada di Korea Selatan kami meneruskan latihan bukan sahaja persiapan
menentang Gyeongnam FC malah berlatih untuk berdepan Kedah juga.
"Pertembungan menentang
Kedah adalah aksi terakhir sebelum rehat selama hampir dua minggu dan ia
perlawanan penting bagi kami dan tidak boleh melepaskan peluang untuk mencipta
kemenangan di laman sendiri.
"Kami tidak boleh terlalu
selesa berada di puncak liga walaupun sudah menjarakkan 10 mata dengan Pahang,
sebaliknya harus konsisten dan memberi fokus sepenuhnya dalam baki perlawanan
liga terutama menentang Kedah," katanya.
Dalam pertembungan pusingan
pertama 29 Mac lalu, JDT sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan Kedah
tatkala beraksi di Stadium Darul Aman dan Safawi mencipta gol pada minit ke-10
babak pertama menerusi sepakan percuma dalam perlawanan itu.
Ditanya sama ada akan mengulangi
jaringan ketika menentang Kedah dalam perlawanan itu, Safawi menegaskan
segalanya adalah hasil kerjasama berpasukan dan tidak mungkin untuk dia
melakukan secara berseorangan malah dia juga berharap tuah stadium keramat JDT
akan terus menyebelahi pasukan itu.
Apapun dia tampak tidak menafikan
kekuatan skuad Lang Merah kendalian Aidil Sharin Sahak memiliki aura dan
kekuatan tersendiri yang mampu mengundang ancaman kepada skuad Harimau Selatan
seandai barisan pemain terleka mahupun tersilap langkah.
"Kami juga harus berwaspada
dengan corak permainan Kedah yang kita tahu mereka dibarisi pemain hebat. Namun
semangat saya dan rakan sepasukan selain semangat penyokong JDT akan cetus
motivasi kepada kami memberi persembahan terbaik.
"Kerjasama berpasukan yang
sudah lama dibentuk menjadi kunci utama untuk berdepan Kedah malah kami membuat
persiapan rapi untuk berdepan Kedah dan sokongan daripada penyokong JDT akan
menambah lagi kekuatan kami apabila turun beraksi nanti," katanya.[1]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan