Rabu, 12 Mei 2021

Belah kanan saya nak - Safawi

Syazwan Msar

mohdsyazwan@hmetro.com.my



SAFAWI menganggap itu adalah petanda positif dalam merebut posisi terbabit. FOTO MIKAIL ONG

Kuala Lumpur: " Walau apa pun belah kanan saya nak".

Itu tekad tonggak Harimau Malaya Safawi Rasid yang tetap mahukan bahagian sayap kanan dalam pasukan adalah miliknya sekali gus akan berusaha mempertahankan posisi terbabit kelak.

Safawi berkata, ketika ini persembahannya sudah semakin baik malah menunjukkan peningkatan positif selepas hampir sebulan berehat akibat kecederaan lutut yang dialaminya dalam saingan Liga Super.

Dia berkata, walaupun melihat ketika ini saingan posisi sayap kanan agak hebat dengan rata-rata pemain yang ada seperti rakan sepasukan di Johor Darul Ta'zim (JDT) Mohamadou Sumareh, Akhyar Rashid dan Arif Aiman namun baginya itu adalah petanda positif dalam merebut posisi terbabit.

"Keadaan saya sekarang ini semakin baik dan semua sedia maklum bahawa kecederaan lutut agak susah untuk pulih malah mengambil masa agak lama untuk baik.

"Semua pemain akan berikan komitmen 100 peratus saya apabila bermain untuk JDT akan berikan terbaik untuk pasukan dan situasi itu sama bagi skuad kebangsaan.

"Kita sudah lama berehat iaitu hampir setahun dan sekarang ini selepas Hari Raya Aidilfitri akan turun untuk latihan sekali gus tidak sabar beraksi bersama rakan sepasukan.

"Saya tidak kisah siapa bermain di sebelah kanan namun perlulah beri 100 peratus komitmen nanti," katanya.Selain itu, pemain berasal dari Dungun, Terengganu itu berkata, ketika ini setiap pemain perlu tolak sifat sombong dengan masing-masing bantu antara satu sama lain bagi mencari keserasian dalam pasukan.

"Inilah masa pemain senior bantu mereka yang baru saja menyertai skuad kebangsaan seterusnya sekarang ini boleh kita melihat persaingan di setiap posisi," katanya.

Sebagai rekod, skuad kebangsaan akan dihimpunkan pada 16 Mei sebelum mengharungi dua aksi pemanas badan berdepan Kuwait dan Bahrain.

Ia sebagai persiapan untuk menghabiskan baki kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Dubai yang menyaksikan skuad kebangsaan akan berdepan UAE terlebih dahulu sebelum menentang pendahulu, Vietnam dan mengakhiri kempen peringkat kumpulan dengan aksi bertemu Thailand.

Ketika ini, mereka berada pada kedudukan terbaik untuk mara ke peringkat seterusnya apabila menghimpun sembilan mata untuk berada di tempat kedua di belakang Vietnam (11 mata) sementara Thailand berada di tempat ketiga dengan lapan mata dan UAE (enam mata).Disiarkan pada: Mei 11, 2021 @ 11:52p.1

___________________________________

Tiada ulasan:

Catat Ulasan