MyMetroArena
Zulfaizan
Mansor
zulfaizan@nstp.com.my

KUALA LUMPUR:
Tiga anugerah utama dimenangi Safawi Rasid sudah cukup untuk dijadikan tonik
terbaik buat pemain tengah Harimau Malaya itu menjelang aksi pembukaan Piala
AFF berdepan Kemboja di Phnom Penh, Khamis ini.
Pemain Johor
Darul Ta’zim (JDT) itu memenangi anugerah Pemain Paling Bernilai, Pemain Tengah
Terbaik dan Pemain Muda Harapan pada Majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2018
(ABK18) yang berlangsung di ibu negara malam tadi.
Malah, pemain
yang baru berusia 21 tahun itu mengakui anugerah berkenaan sudah pasti
meningkatkan lagi moralnya untuk turun berdepan Kemboja dan membantu skuad
kebangsaan sepanjang kempen Piala AFF.
“Bagi saya
anugerah ini satu kelebihan buat saya dan menambah lagi semangat untuk terus
mencipta kejayaan bersama pasukan kebangsaan di Piala AFF nanti.
“Saya pun
tidak sangka akan memenangi tiga anugerah ini terutama Pemain Paling Bernilai kerana
saya seperti pemain lain, kadang-kadang jadi dan kadang-kadang tidak.
“Bagi saya,
tiada apa-apa aura yang saya miliki setiap kali memasuki padang, ia adalah
rezeki Allah yang bantu saya beraksi dengan baik di atas padang,” katanya
ketika ditemui pada majlis ABK18, malam tadi.
Kemenangan
Safawi itu sebenarnya sudah dijangka berdasarkan persembahan cemerlang bersama
juara Liga Super JDT, skuad bawah 23 tahun (B-23) negara dan Harimau Malaya.
Bagi anugerah
Pemain Paling Bernilai, Safawi kini berada sebaris dengan pemain lain yang
pernah memenangi anugerah utama itu termasuk Helmi Eliza Elias (2008), Indra
Putra Mahayuddin (2009), Norshahrul Idlan Talaha (2010, 2011, 2012), Badhri
Radzi (2013), Khairul Azhan Khalid (2014), Safiq Rahim (2015), Ahmad Hazwan
Bakri (2016) dan Baddrol Bakhtiar (2017).
Mengulas
lanjut, Safawi menyifatkan semua anugerah yang dimenangi membuktikan
penghijrahannya ke JDT pada 2017 sebagai tindakan yang berbaloi.
“Saya rasa
sangat berbaloi (berhijrah ke JDT) kerana semua orang tahu di sana mempunyai
kemudahan yang paling bagus dan dibarisi pemain terbaik.
“Jadi, saya
banyak belajar daripada pemain senior dan mereka banyak membantu saya. Terima
kasih kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana memilih
saya sertai JDT,” katanya.
SUMBER-Artikel
ini disiarkan pada : Selasa, 6 November 2018 @ 4:51 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan