MyMetroUtama

Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
PEMENANG dua kali Pemain Paling
Bernilai (MVP) Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK), Safawi Rasid dijulang
sebagai pemain termahal dalam Liga Malaysia (Liga M) dengan nilai pasaran
dianggarkan mencecah 300,000 Euro (RM1.3 juta).
Bagaimanapun, nilai ‘saham’
pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu turut dikongsi bersama tiga tonggak lain
yang disenaraikan oleh laman web terkenal www.transfermarkt.co.uk.
Berdasarkan prestasi sepanjang
musim lalu, Safawi sememangnya layak memegang status tonggak termahal apabila
membantu skuad Harimau Selatan meraih dua kejuaraan Liga Super dan Piala
Malaysia.
Beberapa jaringan penting
sepanjang musim termasuk sepakan percuma menarik ketika final Piala Malaysia
bertemu Kedah menyaksikan pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu muncul antara
peledak berbahaya JDT.
Aksi cemerlangnya diteruskan di
peringkat antarabangsa bersama skuad Harimau Malaya terutama ketika membenam
Indonesia 2-0 di Bukit Jalil yang menyaksikan dia meledak kedua-dua gol itu.
Sementara itu, nilai RM1.3 juta
turut diberikan kepada bekas ketua pasukan skuad Harimau Malaya dan JDT, Safiq
Rahim diikuti pemain tengah Kedah, Baddrol Bakhtiar dan tonggak pertahanan
Perak, Shahrul Saad.
Begitupun, tanda harga sebenar
Safiq mengalami sedikit kejatuhan berbanding musim lalu pada harga 360,000 Euro
(RM1.9 juta) yang berkemungkinan susulan kesan faktor usia selain tidak lagi
dipanggil memperkuatkan skuad kebangsaan.
Apa yang menarik, nilai tinggi
Shahrul meletakkan dirinya sebagai pertahanan paling mahal dalam kalangan
pemain tempatan di saingan Liga Super.
SHAHRUL pertahanan tempatan
termahal di Liga Super. FOTO Abdullah Yusof
Dalam senarai sama, Natxo Insa
yang beraksi untuk JDT mengungguli carta pemain berdarah campuran paling mahal
dengan nilai 400,000 Euro (RM1.7 juta) disusuli pemain Selangor, Brendan Gan
350,000 Euro (RM1.5 juta) dan seorang lagi pertahanan JDT, La’Vere Corbin-Ong
325,000 Euro (RM1.4 juta).
Kedudukan itu jauh meninggalkan
tonggak naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh pada nilai 275,000 Euro
(RM1.2 juta).
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Isnin, 20 January 2020 @ 6:31 AM