Sabtu, 18 Ogos 2018 | 4:53pm

AKSI Safawi Rasid ledak gol
pertama ketika menentang Korea Selatan, semalam. - Foto BERNAMA
Safawi puas benam ego Korea
Selatan
Oleh Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: ‘Pembunuh’ Korea
Selatan, Safawi Rasid puas selepas dua golnya membantu skuad negara
menenggelamkan ego juara bertahan itu pada aksi Sukan Asia 2018
Jakarta-Palembang, malam tadi.
Malah, penyerang Johor Darul
Ta’zim (JDT) turut melontarkan rasa gembiranya selepas rakan sepasukannya
berjaya menunjukkan semangat juang tinggi bagi mengekang kemaraan ‘Taeguk
Warriors’ yang mengasak sehingga berjaya mengurangkan defisit jaringan.
“Alhamdulillah kerana kami
berjaya mendapat keputusan yang positif. Saya berbangga dengan rakan sepasukan
kerana berjaya mengikut perancangan disusun jurulatih.
“Sudah tentu kami gembira kerana
dapat menewaskan pasukan yang dianggap pilihan dan juga juara bertahan edisi
lalu,” katanya pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.
Safawi boleh dianggap sebagai
pemain negara paling menyerlah pada temasya kali ini selepas terbabit dengan
semua lima gol yang dijaringkan pasukan negara dalam dua aksi setakat ini.
Penyerang berusia 21 tahun itu
membuka akaun golnya ketika menentang Krygyzstan pada aksi pertama menerusi
sepakan penalti sebelum menjadi perancang dengan melakukan hantaran buat
jaringan Akhyar Rashid dan Syafiq Ahmad pada aksi yang berkesudahan 3-1 itu.
Safawi meneruskan ‘naluri
pembunuhnya’ apabila meledak dua gol pada aksi kedua bertemu Korea Selatan
sekali gus menyaksikan dia kini sudah mengumpul tiga jaringan dalam dua
perlawanan yang diharungi.
Terdahulu, skuad bola sepak
negara membuktikan tiada apa yang mustahil apabila membuat kejutan terbesar
pada temasya terbesar Asia itu apabila mengejutkan Korea Selatan 2-1 dalam aksi
kedua Kumpulan E, malam tadi.
Safawi muncul sebagai wira negara
apabila meledak kedua-dua gol dalam aksi berlangsung di Stadium Si Jalak
Harupat, Bandung yang menyaksikan Malaysia menamatkan kemarau kemenangan selama
44 tahun di tangan Korea Selatan dalam temasya terbesar Asia itu.
Kali terakhir Malaysia menewaskan
lawan itu pada temasya Teheran 1974 yang menyaksikan skuad negara dibarisi
legenda bola sepak negara, Datuk Mokhtar Dahari menang 3-2 pada pusingan kedua
sebelum menamatkan aksi dengan meraih pingat gangsa.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Sabtu,
18 Ogos 2018 | 4:53pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan