SAFAWI RASID (tengah) menjalani
latihan dengan rakan sepasukan di Padang Latihan Bung Karno, Jakarta sebagai
persiapan menghadapi Jepun dalam aksi bola sepak Sukan Asia 2018, hari ini.
24 Ogos 2018 3:00 AM
JAKARTA 23 Ogos - Penyerang skuad
bawah 23 tahun (B-23) negara, Safawi Rasid memasang impian untuk menjadi watak
pemusnah dalam aksi kalah mati menentang Jepun di saingan Sukan Asia yang akan
berlangsung di Stadium Patriot Candrabraga, Bekasi, dekat sini, esok.
Pemain berusia 21 tahun itu
menjadi fenomena di temasya edisi ke-18 itu selepas meledak empat gol dalam
tiga perlawanan bagi membantu Malaysia menamatkan saingan di kedudukan teratas
Kumpulan E.
Penyerang Johor Darul Ta’zim
(JDT) itu berjaya memainkan watak pemusnah ketika menundukkan Korea Selatan
selepas meledak dua gol dalam saingan yang berlangsung di Bandung, minggu lalu.
“Saya gembira dengan aksi yang
dipamerkan pada peringkat kumpulan termasuk perlawanan ketiga ketika menentang
Bahrain meskipun dimasukkan dalam sebagai pemain gantian.
“Saya berjaya meledak gol pada
perlawanan tersebut dan secara tidak langsung mendapatkan rehat yang cukup
untuk memastikan cergas sepenuhnya ketika menentang Jepun,” katanya.
Skuad muda negara disasarkan untuk
sekurang-kurangnya menyamai rekod kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia B-23
iaitu layak ke suku akhir.
Safawi mengakui bahawa Jepun
memiliki kelebihan tersendiri namun percaya dalam tempoh 90 minit perlawanan,
banyak perkara boleh berlaku.
“Saya berazam untuk berikan aksi
seratus peratus dan berusaha untuk menyudahkan peluang terhidang dengan
sebaiknya,” katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/safawi-mahu-jadi-watak-pemusnah-1.734726#ixzz5P45SKLGT
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan