PENYERANG Malaysia,Safawi Rasid
(kiri) meraikan jaringan keduanya bersama Adam Nur Azlin dalam perlawanan
dengan Korea Selatan dalam Kumpulan E bacara bola sepak Sukan Asia ke-18 di
Stadium Si Jalak Harupat, Bandung semalam. – AP
Azan Fitri Ahmad Hidzir &
Zazali Jamian
18 Ogos 2018 3:00 AM
JAKARTA 17 Ogos - Skuad negara
mengesahkan tempat mereka dalam pusingan kalah mati bola sepak Sukan Asia 2018
dengan cukup bergaya apabila menumpaskan pasukan pilihan Korea Selatan yang
diperkuatkan bintang Tottenham Hotspurs, Son Heung-min 2-1 dalam saingan
Kumpulan E, Sukan Asia 2018 di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung hari ini.
Kejayaan ini merupakan yang pertama
buat Malaysia ke atas Korea Selatan dalam Sukan Asia selepas kali terakhir
tewas 0-3 dalam temasya 2014 di Incheon. Kejayaan ini juga bermakna mereka
membalas dendam kekalahan 2-1 kepada Korea Selatan dalam suku akhir Kejohanan
Bawah 23 Asia di China Januari lalu.
Kemenangan ke atas Korea Selatan
sekali gus meletakkan Malaysia selaku penghuni baharu kedudukan teratas dalam
Kumpulan E selepas meraih enam mata daripada dua perlawanan. Malaysia
menumpaskan Kyrgyzstan 4-0 dalam perlawanan pertama kelmarin.
Skuad negara, yang hanya
memerlukan keputusan seri untuk ke pusingan kedua, bermula dengan baik dalam
pertemuan antara dua pasukan yang mengambil harimau sebagai lambang mereka dan
berjaya menyaingi asakan Korea Selatan pada babak pertama apatah lagi selepas
mendahului.
Malaysia membuka tirai jaringan
seawal minit kelima menerusi Safawi Rasid yang mengambil peluang terhidang
selepas penjaga gawang Korea Selatan, Song Bum-keun terlepas bola daripada
dakapannya setelah berlaga dengan pemain pertahanan.
Korea Selatan mempunyai peluang
terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-12 tetapi percubaan Kim
Geon-ung gagal menemui sasaran.
Lima minit kemudian Korea Selatan
sekali lagi meraih peluang berharga namun percubaan Hwang Ui-jo dari dalam
kotak penalti hasil hantaran silang Hwang Hee-chan sekadar melepasi gawang.
Ketika hampir memasuki waktu
rehat, Safawi meledak gol kedua perlawanan selepas memperdayakan pertahanan
lawan sebelum melakukan percubaan dari luar kotak untuk sekali lagi menewaskan
Bum-keun.
Ini menjadikan jumlah jaringan
Safawi kepada tiga selepas turut menemui sasaran ketika bertemu Kyrgyzstan.
Separuh masa kedua menyaksikan
skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee diasak bertalu-talu namun ketangkasan
benteng pertahanan yang diterajui Dominic Tan berjaya mengekang lawan.
Terdesak untuk mencari gol, Korea
Selatan membawa masuk Heung-min pada pertengahan babak kedua namun barisan
negara masih mampu menyerap tekanan sehinggalah Ui-jo berjaya melepasi
perangkap offside untuk merapatkan jurang gol.
Mereka hampir menyamakan kedudukan
pada minit ke-87 namun sepakan bebas Heung-min.
Malaysia akan bertemu Bahrain
dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Isnin ini. – UTUSAN
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/malaysia-tumbangkan-korea-selatan-1.731406#ixzz5OiCwBTgf
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan