Harimau Malaya tunggu magis
MyMetroArena
Daripada Zulfaizan Mansor di
Buriram dan Thailand
zulfaizan@nstp.com.my

SKUAD Harimau Malaya seakan sudah
boleh melupakan impian mara ke pusingan akhir Piala Asia 2019 selepas dibelasah
Korea Utara 4-1 pada aksi kelayakan Kumpulan B di Stadium I-Mobile, sebentar
tadi.
Kekalahan itu menyaksikan Harimau
Malaya kini hanya memiliki peluang yang sangat tipis untuk melepasi pusingan
kelayakan selepas hanya mengutip satu mata daripada empat perlawanan.
Berbaki dua aksi lagi, skuad
kendalian Nelo Vingada perlu menang semua perlawanan itu termasuk berdepan
Korea Utara, Isnin ini dan Lubnan pada 27 Mac tahun depan.
Namun, jika menang kedua-dua aki
itu sekali pun, Harimau Malaya masih perlu mengharapkan Hong Kong dan Korea
Utara tidak memenangi satu daripada dua perlawanan terakhir mereka.
Pada aksi sebentar tadi, gawang
Harimau Malaya bocor seawal minit ke-12 hasil sepakan penalti Pak Kwang Ryong
selepas bola terkena tangan kapten, Fadhli Shas.
Anak buah Vingada tampak terus
bergelut untuk menemui rentak selepas jentera tengah dilihat gagal membuat
hantaran menarik dengan ketiadaan Safiq Rahim yang masih berdepan
penggantungan.
Malang skuad Harimau Malaya
berterusan apabila Kim Yu Song menanduk masuk bola sepakan percuma Jong Il Gwan
pada minit ke-42 untuk meletakkan Korea Utara selesa mendahului 2-0.
Malah, hanya tiga minit bersambung
babak kedua, gawang Harimau Malaya yang dikawal Hafizul Hakim Khairul Nizam
Jothy bocor lagi dan kali ini hasil rembatan jarak dekat Kim Yong Il.
Tidak cukup dengan itu, Korea
Utara menambah derita Harimau Malaya selepas meledak gol keempat hasil sepakan
percuma Jong Il Gwan pada minit ke-58.
Tindakan Vingada memasukkan
Safawi Rasid pada 30 minit terakhir berjaya mengubah kedudukan selepas pemain
Johor Darul Ta’zim (JDT) itu meledak gol tunggal Harimau Malaya pada minit
ke-67.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada
: Jumaat, 10 November 2017 @ 11:17 PM