Farah Azharie
farahazharie@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Dua bintang muda
negara, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid meletakkan sasaran untuk membawa pulang
Piala AFF dua tahun lagi.
Harimau Malaya yang muncul naib
juara empat tahun lalu sekali lagi berdepan detik kekecewaan di pentas akhir
Piala AFF selepas kecundang menerusi agregat 2-3 kepada Vietnam, Sabtu lalu.
Safawi, 21, membuat lapan
penampilan dalam lapan perlawanan Piala AFF kali ini, manakala Akhyar yang
kerap dimasukkan sebagai pemain gantian beraksi enam perlawanan.
Safawi yang juga pemain sayap
Johor Darul Ta’zim (JDT), sudah mengumpul 17 penampilan dan meledak empat gol
termasuk ketika berdepan Vietnam pada final pertama kejohanan dwitahunan itu
membuktikan perkembangan positif bola sepak negara, terutama di bawah bimbingan
jurulatih Tan Cheng Hoe.
“Saya kecewa kerana tidak membawa
pulang piala, tapi bagi saya kami perlu meneruskan momentum ini terutama tampil
dengan corak permainan hantaran pendek dan lebih tersusun,” kata Safawi yang
menerima empat anugerah pada majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2018
(ABK2018) termasuk Pemain Paling Bernilai.
Sementara itu, Akhyar, 19,
berkata dia berjuang untuk membantu Malaysia mencapai sasaran meraih kejuaraan
kedua Piala AFF selepas 2010.
“Kami mencapai sasaran (ke final)
tapi tidak bernasib baik (untuk muncul juara) dan sekarang ini saya perlu fokus
kepada kelab. Saya harap dapat memberikan aksi lebih baik selepas ini.
“Bagi Piala AFF akan datang, saya
akan cuba yang terbaik untuk berada dalam pasukan," kata Akhyar yang kini
dikhabarkan bakal berhijrah ke JDT musim depan.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada
: Isnin, 17 Disember 2018 @ 7:07 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan