SUKAN»Bola
Isnin, 17 Disember 2018 | 1:25pm

Safawi Rasid ketika beraksi dalam
perlawanan menentang Vietnam pada aksi final kedua Piala AFF 2018 di Stadium My
Dinh Vietnam. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Safawi pemain terbaik negara
Oleh Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Sekalipun bintang
muda negara, Safawi Rasid dilihat tidak begitu menyerlah pada kempen Piala AFF
2018, pemain berusia 21 tahun itu tetap dianggap sebagai pemain terbaik negara
pada kejohanan yang sudah melabuhkan tirainya, kelmarin.
Pandangan itu dilontarkan
Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),
Dr Zulakbal Abd Karim yang mengakui penggempur Johor Darul Ta'zim (JDT) itu
mampu menjadi tonggak buat pasukan negara jika terus diberi peluang mewakili
negara pada pentas antarabangsa selepas ini.
"Dia begitu sesuai dengan
sistem permainan yang diterapkan jurulatih Tan Cheng Hoe dan nampak dia berjaya
menyesuaikan diri dengan mengikut kehendak dimahukan Cheng Hoe.
"Jika dinilai secara
keseluruhan, dia masih lagi muda dan wajar diberikan lebih banyak lagi minit
perlawanan. Dengan kombinasinya bersama beberapa pemain senior, saya yakin dia
mampu meningkatkan lagi prestasinya," katanya ketika dihubungi Sukan NSTP,
hari ini.
Prestasi anak kelahiran Dungun
itu dipersoalkan apabila sekadar mampu menyumbat satu gol sepanjang kempen
Piala AFF 2018 iaitu ketika meledak jaringan penyamaan menerusi sepakan percuma
lencong pada aksi final pertama bertemu Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil
yang berkesudahan dengan 2-2.
Bagaimanapun, penampilan
pertamanya pada saingan Piala AFF 2018 perlu dijadikan pertimbangan meskipun
dia seharusnya boleh memberikan lebih impak pada skuad kebangsaan bagi kempen
kali ini.
Mengulas lanjut prestasi anak
buah Cheng Hoe pada kejohanan dwitahunan itu, Zulakbal yang juga Jurutunjuk
Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menyifatkan beberapa kelemahan yang
dimiliki skuad negara menyebabkan mereka terpaksa kempunan terlepas gelaran
'Raja Asia Tenggara' kepada Vietnam.
"Bahagian tengah adalah bahagian
paling kurang efektif sama ada ketika serangan mahupun bertahan selain barisan
pertahanan yang kadang kala berdepan dengan situasi melakukan kesilapan mudah
sehingga menghadiahkan gol kepada lawan.
"Transisi daripada menyerang
kepada bertahan dan sebaliknya juga kurang teratur. Ini mungkin berpunca
daripada aspek fizikal di mana secara zahirnya, Malaysia tidak kurang dari
aspek taktikal dan psikologi.
"Namun apabila berhadapan
dengan lawan yang lebih baik dari segi daya tahan, kelajuan, ketangkasan serta
kuasa, ia menjejaskan aplikasi keupayaan teknikal ketika tempo permainan pada
tahap tertinggi," katanya.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE 17.2.2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan