
PEMAIN SAYAP JDT, Safawi Rasid
melakukan rembatan ketika aksi suku akhir kedua Piala Malaysia menentang
Terengganu FCI di Larkin. -Facebook JST
Mohamad Faizal Hashim
28 September 2019 10:50 PM
JOHOR BAHRU 28 Sept. - Johor
Darul Ta’zim (JDT) muncul pasukan pertama melangkah ke separuh akhir Piala
Malaysia selepas membaham Terengganu FC (TFC) 4-1 dalam aksi suku akhir kedua
di sini, sebentar tadi.
Dalam perlawanan di Stadium Tan
Sri Hassan Yunos, Larkin, Safawi Rasid dan Gonzalo Cabrera masing-masing
meledak dua gol pada babak pertama bagi membantu pasukan tuan rumah menempah
tiket ke peringkat empat terbaik menerusi agregat 5-1.
Cabrera membuka tirai jaringan
JDT pada minit ke-16 dengan menyempurnakan sepakan penalti setelah pemain
pertahanan mereka, La Vere Corbin Ong dikasari oleh Sanjar Shaakhmedov.
Enam minit berselang, Safawi
menggandakan kedudukan Harimau Selatan dengan membuat jaringan menerusi sepakan
percuma menewaskan penjaga gawang, Muhamad Ilham Amirullah Razali pada minit
ke-22.
Safawi menambah derita kelab
lamanya apabila menjaringkan gol kedua peribadi apabila memanfaatkan umpanan
cantik dari Diogo Luis Santo dengan melakukan sepakan gunting pada minit ke-36.
Pengendali Terengganu, Mohd.
Nafuzi Mahammad Zain seakan tidak mempunyai jawapan kepada serangan JDT apabila
benteng pertahanan skuad Penyu sekali lagi dibolosi menerusi jaringan Cabrera
yang mudah menolak masuk hantaran Corbin Ong pada minit ke-39.
Terengganu akhirnya memperoleh
gol pembukaan pada penghujung babak pertama menerusi jaringan kapten pasukan,
Andrew Lee Tuck hasil rembatan dari luar kotak penalti.
Skuad Penyu cuba bangkit pada
babak kedua perlawanan dengan mempertingkatkan rentak permainan namun gagal menambah
jaringan hingga tamat perlawanan.- SUMBER-UTUSAN ONLINE 28 September 2019 10:50
PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan