SUKAN»Bola
Ahad, 29 September 2019 | 2:20pm

Safawi (kanan) diasak pemain TFC
pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos,
Larkin, malam tadi. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Safawi akui rakan bantu cipta dua
gol
Oleh Rizar Mohd Noor
sukanteam@nstp.com.my
JOHOR BAHRU: Kematangan Safawi
Rasid tatkala diturunkan dalam kesebelasan utama Johor Darul Ta'zim (JDT)
membantu pasukan itu untuk membenam cabaran Terengganu FC (TFC) 4-1 pada aksi
suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam
tadi.
Dua gol yang terhasil oleh pemain
kelahiran Dungun, Terengganu dan dua gol lagi oleh pemain import sensasi
Harimau Selatan, Gonzalo Cabrera sudah cukup untuk juara Liga Super enam musim
berturut-turut mencipta kemenangan 5-1 secara agregat dan menempah tiket ke
separuh akhir piala berprestij itu.
Apapun pemain kebangsaan itu
tampak merendah diri dan menegaskan betapa dua gol yang terhasil dalam
perlawanan itu adalah daripada sokongan rakan sepasukan yang sentiasa memberi
kerjasama ketika beraksi.
"Tanpa rakan sepasukan sudah
tentu saya tidak dapat menjaringkan dua gol dan semuanya hasil kesungguhan
mereka yang inginkan JDT mara ke separuh akhir dan saya akui aksi menentang TFC
cukup mencabar kerana pasukan itu bukan calang-calang.
"Memang agak terkilan
apabila minit awal perlawanan saya memiliki peluang terbaik menjaringkan gol
tapi nasib belum menyebelahi saya ketika itu dan kemudian barulah saya lega
selepas menjaringkan pada minit ke-22 menerusi sepakan percuma.
"Gol kedua itu juga amat penting
kerana kita berjaya merentap semangat melawan pasukan lawan dan kami lebih
yakin meneruskan perlawanan dengan menguasai keseluruhan aksi malah saya akui
setiap posisi bermula di pertahanan, tengah dan serangan membentuk kombinasi
mantap sehingga berjaya merealisasikan kemenangan," katanya.
Ditanya mengenai bakatnya yang
pada awal sekadar beraksi bersama T-Team FC (kini dikenali Terengganu FC II)
ketika usia mencecah 19 tahun, dia mengakui berterima kasih kepada pemilik JDT,
Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim membawanya untuk menyertai
skuad Harimau Selatan.
Malah katanya, jika dia tidak
menyertai JDT kemungkinan prestasinya tidak seperti sekarang kerana pengalaman
berlatih di bawah jurulatih berkaliber selain mendapat pendedahan terbaik daripada
pemain import yang berkualiti beri motivasi kepadanya untuk bekerja keras
tampil beraksi dengan konsisten.
"Apapun saya juga tidak lupa
dengan bekas jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan yang mengesan bakat saya. Tapi
Tunku Mahkota Johor yang memainkan peranan penting untuk karier bola sepak saya
dan saya akan terus bekerja keras
"Kerana dalam sukan bola
sepak tiada istilah untuk saya sudah bagus, sebaliknya banyak lagi saya harus
dipelajari dan memahami teknik permainan yang lebih mantap dan ia akan
berterusan setiap hari menerusi latihan yang konsisten," kata Safawi.
SUMBER BERITA HARIAN ONLINE Ahad,
29 September 2019 | 2:20pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan