MyMetroArena
Rizar Mohd Noor
sukanteam@nstp.com.my
FAKTOR keletihan beberapa pemain Johor Darul Ta'zim (JDT)
menjadi punca pasukan itu gagal memberi persembahan terbaik apabila sekadar
menang tipis 2-1 mengatasi Selangor pada aksi separuh akhir pertama Piala
Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru, malam tadi.
Pengendali JDT, Benjamin Mora mengakui ayam tambatan
mereka, Safawi Rasid tidak menyerlah dalam perlawanan itu apabila tampak
keletihan dan gagal beraksi seperti biasa serta gagal mencipta peluang menjaringkan
gol.
Katanya, beraksi dalam saingan tempatan dan antarabangsa
menjejaskan rentak permainan pemain namun perlu menerima hakikat betapa
pentingnya pemain itu untuk menyumbang kepada skuad kebangsaan dan kemudian
memberi komitmen kepada kelab.
"Safawi tampak keletihan dan dia sudah berusaha
untuk beri yang terbaik. Kami akan memastikan dia kembali cergas dan seminggu
ini sebelum bertandang ke Shah Alam, Selangor, saya optimis dia akan bersedia
untuk aksi separuh akhir kedua.
"Apa pun pertembungan malam ini (malam tadi) amat
mencabar buat JDT kerana kita berdepan dengan pasukan yang bermain bola sepak
yang bukan datang ke sini untuk bertahan sebaliknya beraksi secara permainan
terbuka.
"Kami juga tidak beraksi seperti biasa dan seperti
yang saya katakan beberapa pemain agak keletihan dan ia menjejaskan kelancaran
permainan namun kami gembira membawa bekalan 2-1 ke Shah Alam," katanya.

Pemain JDT, Muhd Safawi Rasid (kiri) berebut bola dengan
pemain Selangor, Sandro Da Silva.
Mora menepis tanggapan betapa ketiadaan Diogo Luis Santo
yang tidak diturunkan pada perlawanan itu menjejaskan barisan serangan
sebaliknya kelibat Syafiq Ahmad yang mengambil alih tugas selaku penyerang
mempamerkan aksi konsisten dan mampu menjaringkan gol.
Katanya, corak permainan Santo dan Syafiq ada perbezaan
kerana pemain import dari Brazil itu gemar mengawal bola dan kerap berada di
dalam kotak penalti untuk melakukan penyudah manakala Syafiq lebih gemar
mencari bola dan melakukan gerakan.
"Kedua-dua pemain itu memainkan peranan penting
dalam pasukan JDT dan saya tidak mahu berbeza-beza mereka kerana masing-masing
ada kualiti permainan tersendiri, saya berpuas hati dengan komitmen Syafiq
dalam perlawanan ini.
"Kami masih belum pasti tahap kecederaan Diogo sama
ada dia akan diturunkan Sabtu ini atau tidak, semuanya bergantung pada
keputusan doktor Isnin ini dan kita tunggu sahaja nanti," katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Oktober 2019
@ 2:00 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan