MyMetroUtama

Firdaus Hashim dan Najiy Jefri
am@hmetro.com.my
“SAYA tidak pernah
mengongkongnya. Selama ini saya menjaganya dengan baik kerana tidak mahu
kerjayanya terjejas,” kata pelakon Syifa Melvin, 26, mengenai dakwaan dia
dikatakan menjadi punca kepada kemerosotan prestasi bintang bola sepak negara
dan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang juga kekasihnya, Safawi Rasid, 23.
Syifa ketika dihubungi Harian
Metro berkata, selama ini dia menjaga Safawi dengan baik kerana tidak mahu
kerjaya pemain berstatus bintang itu terjejas seperti dulu apabila sering
dikaitkan dengan isu skandal bersama selebriti.
Menurut Syifa atau sebenarnya Nur
Syifa Athirah Amirol Melvin, sekiranya dia memberi tekanan kepada Safawi sudah
pasti pemain itu ‘angkat kaki’ dan memilih untuk tidak bersamanya.
“Kalau dia rasa saya mengawal
hidupnya, pasti sudah lama dia angkat kaki. Tapi, kenapa dia masih
mempertahankan hubungan ini? Dia sudah dewasa dan matang untuk membezakan
hubungan yang baik dan buruk,” katanya.
Semalam, pemilik JDT, Tunku
Ismail Sultan Ibrahim menerusi hantaran di Instagram mendakwa kemerosotan
mendadak pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) dalam Anugerah
Bolasepak Kebangsaan (ABK) musim lalu itu disebabkan tekanan daripada Syifa
untuk berkahwin dengan Safawi.
Susulan desakan itu, pemain
Harimau Malaya itu dikatakan hilang fokus hingga gagal memberi aksi terbaik
dalam padang.
Syifa berkata, dia sedih apabila
dituduh menjadi penyebab kepada aksi longlai Safawi dalam tiga aksi skuad
Harimau Selatan setakat ini selain mendesak Safawi berkahwin hingga dia hilang
fokus.
Dia juga dikatakan hanya mahu
menumpang di atas kekayaan dan populariti Safawi sebagai pemain bola sepak.
“Berapa banyak gaji dia pun saya
tak tahu. Saya bekerja siang dan malam untuk mencari rezeki dan duit sendiri. Tak
pernah sekali pun saya minta duit dia untuk sara hidup. Dia pun kenal saya
macam mana.
“Demi Allah, saya tak pernah
paksa dia berkahwin kerana saya tahu tanggungjawab dia besar. Dia mempunyai 13
adik-beradik dan saya faham apa yang dia hadapi. Namun, dalam setiap
perhubungan pasti ingin berakhir dengan perkara yang baik dan halal. Sebenarnya
perancangan untuk berkahwin dia yang suarakan dulu selepas hubungan kami mula
serius,” katanya.
Dalam pada itu, Syifa juga
percaya apa yang dikatakan Safawi kepada Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota
Johor menerusi perbualan WhatsApp adalah ketika mereka mempunyai masalah tahun
lalu.
“Dia masih muda dan mungkin tidak
cukup kuat untuk lalui perkara ini. Namun, saya percaya apa yang berlaku ini
akan menjadi pengajaran terbaik untuk dirinya,” katanya.
Terdahulu adik kepada Syatilla
Melvin itu turut menafikan mengongkong Safawi di laman story Instagramnya.
“Tak pernah paksa kahwin, tak
pernah mintak satu sen duit Safawi!! Demi Allah, Allah Maha Adil,” katanya yang
kemudian memadamkan ‘posting’ itu.
Malam kelmarin, Safawi membantu
JDT melakar kejutan ke atas kelab terkenal Korea Selatan, Suwon Bluewings
dengan kemenangan 2-1 pada aksi Kumpulan G, Liga Juara-Juara Asia (ACL) di
Stadium Sultan Ibrahim.
Artikel ini disiarkan pada :
Khamis, 5 Mac 2020 @ 6:40 AM.[1]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan