MyMetroArena

Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
TAK perlu panik di atas
kemerosotan prestasi pemain sayap kebangsaan dan Johor Darul Ta'zim (JDT),
Safawi Rasid terutama selepas dia 'mengganas' sepanjang musim lalu.
Bekas pemain Harimau Malaya era
80an, Serbegeth Singh berkata, prestasi turun naik yang dialami oleh seorang
pemain profesional adalah sesuatu yang normal dan Safawi tidak terkecuali
daripada masalah itu.
Beliau percaya pemain kelahiran
Dungun, Terengganu itu akan bangkit dengan aksi lebih bertenaga apabila
memasuki fasa pertengahan Liga Malaysia (Liga-M) nanti.
"Bagi saya isu Safawi ini
perkara biasa sebagai seorang pemain kerana dalam bola sepak kadang-kadang ada
pasang dan surutnya.
"Lebih-lebih lagi musim lalu
dia dah berikan sepenuhnya hingga muncul pemain terbaik Liga Malaysia selain membantu
pasukan kebangsaan dalam kelayakan Piala Dunia dengan gol-gol menarik.
"Jadi untuk dia bangkit
mungkin memerlukan sedikit masa dan bagi lebih baik dia bermula perlahan 80
peratus sebelum dia bangkit dengan 100 peratus apabila memasuki separuh perjalanan
liga hingga habis," kata Serbegeth atau lebih dikenali dengan panggilan
Shebby ketika dihubungi.
Semalam, Arena Metro melaporkan
pemain yang memiliki rembatan kaki kiri 'ala roket' itu ditegur oleh pemilik
JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang hilang sabar dengan aksi merudum Safawi.
Menurut Tunku Ismail, kemerosotan
mendadak pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) dalam Anugerah
Bolasepak Kebangsaan (ABK) musim lalu itu disebabkan oleh tekanan daripada
kekasihnya.
Menurut Serbegeth, mengenai soal
peribadi Safawi dia tidak mahu masuk campur kerana setiap manusia ada kehidupan
mereka.
"Cuma satu nasihat saya,
Safawi jadilah diri sendiri dan berusaha bersungguh-sungguh tidak kira dalam
latihan mahupun dalam perlawanan serta ambil setiap teguran sebagai pembakar
semangat.
"Safawi seorang 'fighter'
dan saya yakin dia akan buktikan yang dirinya adalah pemain yang istimewa. Dulu
2017 saya pernah mengkritiknya, tapi selepas itu dia bangkit dan membuatkan
saya teruja dengan prestasinya," katanya.
Artikel ini disiarkan pada :
Khamis, 5 Mac 2020 @ 9:59 PM.[1]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan