MyMetroArena
Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my

SHAH ALAM: Johor Darul Ta’zim
(JDT) meneruskan misi mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia apabila mara ke
suku akhir selepas menewaskan MIFA 3-0 dalam aksi terakhir Kumpulan C di
Stadium Shah Alam malam tadi.
Kemenangan itu membolehkan JDT
muncul juara kumpulan dengan sembilan mata untuk bertemu naib juara Kumpulan D
Pahang pada saingan kalah mati.
Manakala MIFA kecewa gagal
mengiringi JDT ke pusingan seterusnya apabila Kelantan memintas kedudukan kedua
dengan mengalahkan Kedah 2-0.
Sebaik wisel permainan
dibunyikan, JDT yang diambang penyingkiran awal terus melancarkan serangan
bertali arus ke kubu pasukan tuan rumah.
Penyerang muda Safawi Rasid
berjaya meloloskan diri pada minit ke-6 namun sepakannya dihalang pemain
pertahanan MIFA.
Kelab Harimau Selatan itu
kemudian terlepas peluang keemasan apabila tandukan Fernando Marquez terkena
palang selepas menerima hantaran Safawi di minit ke-35.
Biarpun banyak bertahan, MIFA
yang dibimbing K Devan hampir mengejutkan pasukan pelawat namun sepakan pemain
import Korea Selatan, Bae Beom Geun melepasi palang ketika gawang sudah terbuka
luas pada minit ke-40.
Pada minit ke-54, nasib terus
tidak menyebelahi JDT apabila sepakan percuma Gonzalo Cabrera terkena tiang
manakala bola tandukan Fadhli Shas yang membuat tindakan susulan juga singgah
di palang gol.
Saat yang dinantikan anak buah
Benjamin Mora akhirnya tiba pada minit ke-63 apabila Cabrera menyudahkan
sepakan penalti selepas Marquez dikasari oleh pertahanan MIFA.
Cabrera meraikan gol itu bersama
Marquez yang ketika itu menerima rawatan di dalam ambulans di tepi padang.
JDT bertambah selesa apabila
Safawi menggamatkan stadium dengan jaringan menarik menerusi sepakan percuma menewaskan
penjaga gol Mohd Muhaimon Mohamad buat kali kedua di minit ke-72 sebelum
menyempurnakan sepakan penalti di minit ke-83.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Ahad, 16 September 2018 @ 11:36 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan