MOHD FIRDAUS YON | 05 Apr 2019

JDT tidak menghadapi masalah
bertemu Felda United apabila menguasai perlawanan dalam aksi Liga Super malam
tadi.
JOHOR Darul Ta’zim (JDT) melakar
kemenangan 3-1 ke atas Felda United dalam aksi Liga Super 2019 di Stadium Tan
Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin sebentar tadi.
Bermula aksi separuh masa
pertama, tuan rumah pantas mengatur gerakan dan mengasak pasukan pelawat
menerusi beberapa siri serangan yang dilancar.
Dibarisi oleh Gonzalo Cabrera,
Diogo Santo dan Safawi Rasid di bahagian serangan, JDT mempunyai banyak peluang
untuk meraih jaringan dan mendahului Felda United.
Bagaimanapun kesemua percubaan ke
arah gawang pasukan pelawat berjaya digagalkan oleh penjaga gol Felda United,
Norazlan Razali yang beraksi cemerlang.
Permainan Felda United
kemudiannya sedikit tempang apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas
Zahril Azri Zabri dilayangkan kad merah berikutan menerima dua kad kuning.
JDT kemudiannya memasukkan Nazmi
Faiz dan Akhyar Rashid menggantikan Leandro Velazquez dan Safawi bagi
memantapkan barisan serangan pasukan.
Stadium gamat seketika apabila
pengadil perlawanan memberikan kad kuning kedua yang membawa layangan kad merah
ke atas Thiago Junior.
JDT berjaya meraih gol pertama
perlawanan menerusi Cabrera yang melakukan rembatan kencang ke dalam gawang
Felda United pada minit ke-88.
Felda United kehilangan khidmat
kapten pasukan Hadin Azman yang turut dilayangkan kad merah oleh pengadil
perlawanan.
Bagaimanapun, pasukan pelawat
kembali menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma Jocinei Schad yang gagal
ditampan penjaga gol JDT pada minit ke-90.
Kegembiraan Felda United hanya
seketika apabila Akhyar menjaringkan gol kedua tuan rumah ketika permainan dua
minit memasuki masa tambahan.
Diogo menambah derita pasukan
pelawat apabila menjaringkan gol ketiga pasukan ketika permainan menuju ke
penamatnya, yang akhirnya membawa kepada kemenangan 3-1 JDT ke atas Felda
United di Larkin.
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 05 Apr
2019
Tiada ulasan:
Catat Ulasan