SUKAN»Bola
Sabtu, 20 April 2019 | 11:04pm

Pemain JDT, Safawi Rasid (kiri)
diasak pemain PKNS FC, Romel Oswaldo Morales ketika perlawanan Liga Super 2019
di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. - Foto Hairul Anuar Rahim
JDT berjaya balas dendam
Oleh Rizar Mohd Noor
bhsukan@nstp.com.my
JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim
(JDT) terus memimpin takhta Liga Super selepas menewaskan PKNS FC 3-1 di
Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.
Apa yang pasti ia kemenangan ke-25
berturut-turut dalam saingan liga sejak musim 2017 tatkala beraksi di Larkin
malah menebus kehampaan skuad Harimau Selatan yang tersingkir daripada saingan
Piala FA selepas tewas 0-1 kepada lawan sama, Selasa lalu.
Dua gol yang dicipta pada babak pertama
menerusi jaringan Afiq Fazail dan Gonzalo Cabrera hasil sepakan penalti dan
jaringan SAfawi Rasid di babak kedua menyaksikan JDT kini mengumpul 26 mata
dengan mengekalkan rekod tanpa selepas mengharungi 10 perlawanan liga.
Tuan rumah turun tanpa kelibat kapten Hariss
Harun yang digantung satu perlawanan selepas mengumpul tiga kad kuning dan
tempatnya diganti oleh Syamer Kutty Abba yang beraksi konsisten untuk menyekat
bahagian tengah anak didik Datuk K Rajagobal.
Selepas bermula garang sejak perlawanan
bermula, JDT tidak menunggu lama untuk merungkai jaringan apabila berpunca
daripada sepakan sudut Safawi pada minit kelapan tepat kepada Afiq Fazail yang
merembat bola kencang di luar kotak penalti menewaskan penjaga gol, Zarif Irfan
Hashimuddin.
Tuan rumah meneruskan usaha menambah jaringan
meraih sepakan penalti selepas pengadil perlawanan Nazmi Nasaruddin berjaya
mengesan bola terkena tangan pemain pertahanan PKNS FC berpunca daripada bola
sepakan Gonzalo Cabrera.
Pemain JDT, Diogo Luis Santo
(kiri) berebut bola dengan pemain PKNS FC, Nicholas Ryan Swirad ketika
perlawanan Liga Super 2019 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. - Foto
Hairul Anuar Rahim
Cabrera yang ditugaskan mengambil
sepakan penalti tenang merembat bola ke penjuru kanan gol pada minit ke-14 yang
menewaskan Zarif Irfan untuk meletak tuan rumah selesa mendahului 2-0.
Pada aksi babak kedua, JDT
menggandakan asakan untuk memburu gol ketiga namun jaringan Safawi pada minit
ke-46 dibatalkan selepas ofsaid.
Namun pelawat tampak tidak mahu
mengalah apabila bangkit untuk merapatkan jurang gol pada minit ke-48 hasil
jaringan menarik Gabriel Guerra yang merembat bola tepat ke penjuru kiri gol
menewaskan penjaga gol, Farizal Marlias.
Sedar pelawat mula garang untuk
memburu gol penyamaan, barisan serangan JDT berusaha untuk menambah jaringan
dan hasilnya pada minit ke-85 berpunca daripada bola lorongan Cabrera membuka
ruang buat Safawi merembat bola leret untuk memastikan kemenangan 3-1 memihak
JDT.
SUMBER BERITA HARIAN ONLINE Sabtu, 20 April 2019 | 11:04pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan