MyMetroArena
Rizar Mohd Noor
sukanteam@nstp.com.my

JOHOR Darul Ta'zim (JDT)
mengukuhkan kedudukan teratas liga selepas membenam PKNS FC 3-0 pada aksi Liga
Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.
Kemenangan itu amat bermakna buat
skuad Harimau Selatan selepas bangkit daripada kekalahan 4-0 di tangan Persija
Jakarta pada aksi Piala AFC, Selasa lalu, dan dua gol jaringan Gonzalo Cabrera
pada babak pertama dan kedua selain gol jaringan Safawi Rasid sudah cukup untuk
skuad bimbingan Raul Longhi menemui rentak kemenangan,
Tuan rumah mula menunjukkan
penguasaan seawal minit keenam apabila bola lontaran jauh Corbin Ong tepat
kepada Ahmad Hazwan Bakri yang bertindak melakukan tandukan namun bola sekadar
sipi daripada gawang gol.
Bola lorongan Corbin pada minit
ke-13 hampir memerangkap penjaga gol pelawat, Shahril Sa'ari selepas Cabrera
yang menyambar bola hantaran itu sekadar menolak jauh daripada gawang gol.
Namun selang seminit, asakan
berterusan tuan rumah menjelmakan gol yang dinanti skuad Harimau Selatan
apabila Cabrera yang menerima bola umpanan Nazmi Faiz Mansor bertindak menyusup
masuk ke dalam kotak penalti sebelum merembat bola leret menewaskan Shahril.
Tersentak dengan jaringan tuan
rumah itu, anak didik Datuk K Rajagobal cuba menyusun gerakan untuk memburu gol
penyamaan namun setiap taktikal yang dirancang mudah dipatahkan gandingan
Marcos Antonio dan Fadhli Shas yang kembali menguatkan benteng Harimau Selatan.
Bersambung babak kedua, anak
didik Longhi terus menggandakan asakan dan pada minit ke-50 Cabrera meledak gol
kedua peribadi selepas bijak melakukan sepakan percuma untuk menewaskan
Shahril.
Pelawat yang ketinggalan dua gol,
cuba untuk menambah sengat di posisi serangan dengan memasukkan bekas penyerang
JDT, Safee Sali pada minit ke-59 dan mengeluarkan Khyrill Muhymeen Zambri yang
kurang berkesan di posisi itu.
Ternyata JDT berada dalam kelas
tersendiri apabila menambah duka PKNS FC pada minit ke-66 selepas Safawi bijak
melencongkan bola dari luar kotak penalti tepat ke penjuru kanan gawang gol,
berpunca daripada bola umpanan Cabrera untuk meletak tuan rumah selesa dengan
jaringan 3-0.
Bagaimanapun kerancakan aksi itu
dicemari dengan tindakan Romel Morales yang melakukan terjahan keras terhadap
Nazmi Faiz pada minit ke-77 dan mengundang rasa tidak puas hati pemain tuan
rumah namun pengadil, Mohd Zohri Tajuddin sekadar melayangkan kad kuning kepada
Morales.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada
: Ahad, 15 April 2018 @ 12:31 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan