MyMetroArena
Rizar Mohd Noor
sukanteam@nstp.com.my

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) terus
unggul di tangga teratas carta liga selepas memastikan Selangor berputih mata
apabila menewaskan pasukan itu 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri
Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.
Perlawanan yang sepatutnya
berlangsung malam tadi namun ditunda malam ini akibat keadaan padang becak
nyata tidak menjejas corak permainan pantas yang dipamerkan kedua-dua pasukan
apabila masing-masing sering memburu jaringan.
Penguasaan ketara jelas milik
tuan rumah sebaik babak pertama bermula apabila mengasak ke kubu skuad Gergasi
Merah yang memaksa benteng pertahanan pelawat bertungkus lumus menghalang
gerakan berbahaya Safawi Rasid yang melakukan percubaan pada minit ke-12.
Ketika aksi memasuki minit ke-18,
Safawi gagal menyempurnakan sepakan percuma dengan jaringan walaupun bola
sepakannya dari jarak 25 meter tepat ke gawang gol namun penjaga gol pelawat,
Khairul Azhan Khalid sudah bersedia menangkap kemas.
Pelawat yang sering diasak cuba
untuk mengambil kesempatan bagi membuka tirai jaringan pada minit ke-32 namun
bola sepakan percuma oleh Rufino Segovia hanya sipi melencong daripada pintu
gol ketika penjaga gol, Farizal Marlias tertewas.
Bola hantaran lintang Sean Eugene
Selvaraj pada minit ke-36 hampir memerangkap benteng pertahanan tuan rumah
tetapi tindakan pantas Farizal yang berjaya menutup ruang menyukar Segovia
untuk menyambar bola daripada mencipta jaringan.
Tindakan Gonzalo Cabrera yang
mengumpan bola ke dalam kotak penalti pada minit ke-43 masih belum mampu beri
kelebihan buat tuan rumah selepas bola yang di tanduk Safawi hanya sipi di kiri
pintu gol pelawat ketika Khairul Azhan tertewas.
Sebaik babak kedua bermula, skuad
Harimau Selatan terus menambah tekanan pada benteng pelawat namun gerakan yang
dimulakan Corbin Ong dengan umpanan pada minit ke-51 di tanduk ke belakang
Safawi kepada Natxo Insa namun rembatan bola beliau lemah mudah Khairul Azhan
menangkap bola.
Selepas berhempas pulas mengasak
ke kubu pelawat, akhirnya gol yang dicari skuad Harimau Selatan menjelma pada
minit ke-60, bermula dengan gerakan solo Cabrera yang menyusup masuk ke dalam
kotak sebelum mengumpan untuk Ahmad Hazwan Bakri sekadar menolak bola
menewaskan Khairul Azhan.
Tiang gol sebelah kiri nyata
menjadi peghalang buat tuan rumah pada minit ke-66 untuk menambah jaringan
selepas bola rembatan Insa hasil gerakan menarik Cabrera ketika Khairul Azhan
sudah tertewas.
Larian pantas Safawi di posisi
sayap kiri pada minit ke-69 tatkala berjaya melepasi kawalan Amirul Haziq
Rasmizal bertindak melintang bola yang menyaksikan Nazmi Faiz Mansor bingkas
menyambar bola untuk merembat kencang menewaskan Khairul Azhan dan kedudukan
2-0 kekal milik JDT sekali gus memastikan Selangor terus terperosok.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Rabu, 2 Mei 2018 @ 11:29 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan