Harimau Selatan beri tentangan
sengit sebelum kalah
BINTANG muda Johor Darul Ta'zim
(JDT), Safawi Rasid berjaya meletakkan diri sebagai penjaring ketika aksi
menentang Shandong Luneng FC dalam aksi Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia di
Stadium Olimpik Jinan, sebentar tadi. - GAMBAR FACEBOOK JOHOR Southern Tigers.
09 April 2019 9:23 PM
196
KUALA LUMPUR 9 April -
Persembahan terpuji disajikan barisan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) walaupun
tewas tipis 1-2 kepada Shandong Luneng FC dalam saingan Liga Juara-Juara Asia
di Stadium Olimpik Jinan, sebentar tadi.
Sebaik sahaja sepak mula, kubu
pertahanan JDT diasak bertali arus oleh barisan serangan Shandong sehingga
memaksa barisan pertahanan diketuai Mauricio Nascimento bekerja keras.
Usaha tuan rumah untuk mencari
gol pendahuluan akhirnya berjaya menerusi tandukan bekas pemain Manchester
United, Maroune Fellaini pada minit ke-30 untuk meletakkan tuan rumah
mendahului 1-0.
Tujuh minit selepas itu, giliran
bekas penyerang Southampton, Graziano Pelle menggandakan jaringan selepas
menyempurnakan sepakan penalti selepas dia dijatuhkan pertahanan JDT, Aidil
Zafuan Abdul Radzak untuk menewaskan penjaga gol Harimau Selatan, Farizal
Marlias buat kali kedua.
Terdahulu, sepakan penalti itu
sedikit kontroversi apabila cubaan Aidil untuk mengeluarkan bola itu gagal
sebelum kakinya terkena Pelle menyebabkan penyerang Itali itu terjatuh.
Seminit selepas bersambung babak
kedua, skuad kendalian Li Xiaopeng berpeluang menggandakan jaringan namun
rembatan Jin Jingdao dalam kotak penalti berjaya dinafikan Farizal.
Keghairahan tuan rumah melakukan
serangan, dihukum pemain sayap JDT, Safawi Rasid dengan sepakan lencong menarik
dari luar kotak penalti bola menuju ke penjuru gol kanan gawang yang dikawal
penjaga gol Shandong, Wang Dalei untuk jaringan pertama peribadinya di pentas
kejuaraan berprestij Asia itu pada minit ke-60.
JDT hampir membawa pulang satu
mata berharga namun sepakan bola mati pemain tengah lincah dari Argentina,
Gonzalo Cabrera sekadar menggegar palang pasukan tuan rumah pada minit terakhir
babak kedua sekali gus melegakan Xiaopeng.
Kekalahan itu menyaksikan JDT
terus menghuni tangga tercorot Kumpulan E dengan satu mata selepas tewas dua
kali serta seri sekali selepas mengharungi tiga perlawanan.
Pasukan Harimau Selatan masih
berpeluang untuk meraih kemenangan sulung apabila bakal melayan kunjungan
Kashima Antlers dan Shandong di Stadium Tan Sri Dato Hassan Yunos, Larkin serta
berdepan Gyeongnam di laman lawan bagi aksi timbal balik. - UTUSAN ONLINE
SUMBERArtikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/bekas-bintang-epl-kecewakan-jdt-1.879513#ixzz5khRQdiQr
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan