MyMetroArena
Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my

KUALA LUMPUR:
Sama ada Harimau Malaya mahu menyimpan taring atau tidak, kemenangan 3-0 ke
atas Maldives pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional, Bukit
Jalil, malam tadi belum cukup meyakinkan.
Meskipun
kemenangan ke atas juara Piala Persekutuan Bolasepak Asia Selatan (SAFF)
September lalu itu dianggap positif namun hakikatnya masih banyak ‘kerja rumah’
yang perlu dilakukan oleh jurulatih Tan Cheng Hoe menjelang Piala AFF, Khamis
ini.
Jika tidak
kerana kecekapan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat, keputusan mungkin berubah
dengan Maldives tidak menurunkan ramai pemain utama serta tidak berlatih selama
enam minggu sejak bergelar juara.
Cheng Hoe
melakukan sedikit perubahan dalam kesebelasan utama dengan menurunkan Azrif
Nasrulhaq Badrul Hisham, Nor Azam Azih dan Aidil Zafuan Radzak yang tidak
berada dalam skuad ketika Malaysia tewas 0-1 di tangan Kyrgyzstan pada aksi
persahabatan 16 Oktober lalu.
Skuad negara
jelas membuat ancaman awal menerusi tandukan Shahrul Saad yang berjaya
diselamatkan penjaga gol Hussain Shareef pada minit kelima.
Penyerang
Zaquan Adha Radzak gagal menyudahkan peluang tiga minit kemudian namun
kesilapan itu ditebus pada minit ke-16 dengan menyumbat gol pembukaan menerusi
sepakan voli.
Namun Maldives
yang dibimbing jurulatih Croatia, Petar Segrt beberapa kali mencemaskan gawang
negara termasuk percubaan Ali Fasir pada minit ke-17 memaksa Khairul Fahmi
menyelamatkan keadaan.
Babak kedua
bersambung, pelawat yang menduduki ranking ke-151 berbanding Malaysia 169 lebih
berbahaya dengan serangan balas pantas.
Dua percubaan
Ibrahim Mahudhee pada minit ke-55 dan 60 hampir menghukum kesilapan pertahanan
Malaysia.
Cheng Hoe
melakukan enam pertukaran pada babak kedua termasuk menurunkan penyerang Safawi
Rasid dan Hazwan Bakri bagi memburu gol.
Percaturan itu
membuahkan hasil apabila Safawi meledak gol kedua pada minit ke-81 menerusi
sepakan menarik dalam kotak penalti sebelum pemain naturalisasi Mohamadou
Sumareh menambah gol pada minit ke-93 menerusi gerakan solo.
Malaysia akan
membuka kempen Piala AFF bertemu Kemboja dalam Kumpulan A Khamis ini sebelum
menentang Laos (12 November), Vietnam (16 November) dan Myanmar (24 November).
SUMBERArtikel
ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 11:08 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan